IPGK Dato Razali Ismail pacu inovasi warga pendidik di SeDRI 2026
Seminar bertemakan “Melestari Visi Dato’ Razali Ismail” yang berlangsung di Kuala Nerus, Terengganu pada 29 hingga 30 April lepas.
KUALA LUMPUR, 13 Mei 2026 – Seminar Penyelidikan Pendidikan dan Inovasi Dato’ Razali Ismail (SeDRI) 2026 anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI) menjadi platform memperkasa budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga pendidik serta siswa guru.
Seminar bertemakan “Melestari Visi Dato’ Razali Ismail” yang berlangsung di Kuala Nerus, Terengganu pada 29 hingga 30 April lepas itu menghimpunkan warga akademik, penyelidik dan siswa pendidik bagi berkongsi idea serta inovasi berkaitan pendidikan semasa.
Pelbagai sesi pembentangan penyelidikan dan inovasi pendidikan diadakan di beberapa lokasi sekitar kampus termasuk Bilik Al-Amin, Bilik Al-Hikmah, Hab STEM dan Dewan Al-Farabi.
Seorang siswa pendidik IPGKDRI yang juga jawatankuasa penganjur seminar, Nur Damia Irdina berkata program itu memberi peluang kepada peserta menampilkan idea yang praktikal dan sesuai diaplikasikan dalam bilik darjah.

“Saya teruja melihat banyak idea inovasi yang dekat dengan realiti pendidikan semasa. Inovasi pendidikan tidak semestinya sesuatu yang rumit kerana kadang-kadang idea paling memberi kesan lahir daripada pengalaman sebenar bakal guru atau pelajar,” katanya.
Beliau berkata penglibatan sebagai urus setia seminar turut memberi pengalaman berharga dalam aspek pengurusan program, komunikasi dan kerja berpasukan dalam suasana profesional.
Menurutnya, pengalaman tersebut membantu siswa pendidik memahami cabaran sebenar dunia pendidikan selain meningkatkan keyakinan untuk berdepan situasi kerja pada masa hadapan.
Seminar itu digerakkan melalui kerjasama pihak pengurusan IPGKDRI, unit inovasi dan penyelidikan, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar serta Kelab Inovasi dan Penyelidikan (KELIP).

Hari kedua seminar diteruskan dengan sesi pembentangan selari sebelum diakhiri dengan majlis penutupan serta penyampaian hadiah kepada peserta terpilih.
Penganjuran SeDRI 2026 mencerminkan usaha berterusan IPGKDRI dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi bagi melahirkan pendidik masa hadapan yang kreatif serta berdaya saing.
