Realiti kemiskinan Gen Z yang rumit

Kita sering menganggap bahawa apabila seseorang mempunyai pekerjaan dan pendapatan, maka kehidupannya sudah terjamin.

Feature Image (2)

GAJI masuk setiap bulan. Ada kerja. Hidup nampak stabil tetapi semakin ramai anak muda hari ini hidup dalam satu realiti yang sukar dijelaskan. Mereka tidak miskin mengikut definisi rasmi, namun masih berasa tertekan, tidak pasti dengan masa depan, dan penat emosi.

Persoalannya mudah tetapi cukup mengganggu: Jika semuanya nampak baik, kenapa masih ramai yang rasa tidak cukup?
Inilah dilema sebenar generasi muda hari ini. Kita sering menganggap bahawa apabila seseorang mempunyai pekerjaan dan pendapatan, maka kehidupannya sudah terjamin. Namun realiti yang sedang berlaku menunjukkan gambaran yang jauh lebih kompleks.

Pada pandangan luar, generasi muda di Malaysia dilihat semakin maju. Mereka berpendidikan tinggi, celik teknologi dan mempunyai akses kepada pelbagai peluang yang tidak dinikmati generasi terdahulu. Mereka juga lebih terbuka, lebih berhubung dan lebih bersedia menghadapi dunia yang pantas berubah.

Namun di sebalik kemajuan ini, wujud satu realiti yang lebih senyap dan jarang dibincangkan secara terbuka. Ramai anak muda yang tidak dikategorikan sebagai miskin, tetapi tetap berasa terhimpit, tertekan dan tidak pasti dengan arah masa depan mereka.

Selaku penyelidik berkaitan kajian kemiskinan, didapati semakin ramai golongan pelajar dan profesional muda yang secara teknikalnya tidak miskin dari sudut jumlah pendapatan. Namun, golongan ini masih bergelut dengan tekanan hidup, ketidaktentuan kerjaya dan keletihan mental. Kehidupan mereka mungkin tidak mencerminkan kemiskinan secara langsung dalam definisi tradisional, tapi jelas terdapat kekurangan yang tidak dapat diukur melalui komponen pendapatan semata-mata.

Selama ini, kemiskinan sering dinilai berdasarkan pendapatan. Jika sesebuah isi rumah melepasi paras tertentu, ia dianggap berada dalam keadaan yang baik. Namun, andaian ini tidak sentiasa mencerminkan realiti sebenar. Pendapatan yang mencukupi tidak semestinya membawa kepada kestabilan hidup.

Seorang anak muda mungkin mempunyai pekerjaan, tetapi masih berdepan dengan status pekerjaan secara kontrak, ketidakpastian masa depan, peluang kenaikan yang terhad atau tekanan kerja yang berpanjangan. Dalam keadaan ini, pendapatan hanya menceritakan sebahagian daripada kisah kehidupan mereka.

Sebagai contoh, Aifa, 26 tahun, bekerja sepenuh masa di Kuala Lumpur dengan gaji tetap setiap bulan. Secara angka, beliau tidak tergolong dalam kategori miskin. Namun, selepas menolak sewa rumah, komitmen keluarga dan kos sara hidup yang tinggi, baki yang tinggal sering kali tidak mencukupi. Lebih mencabar, tekanan kerja dan ketidakpastian masa depan membuatkan beliau kerap berasa penat secara emosi walaupun kehidupannya nampak stabil di luar.

Di sinilah Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) menjadi semakin relevan. Pendekatan ini melihat kemiskinan secara lebih menyeluruh, bukan sekadar pendapatan tetapi juga keadaan kehidupan sebenar seperti akses kepada pendidikan berkualiti, kesihatan yang baik, keadaan tempat tinggal yang selesa serta pekerjaan yang stabil dan bermakna.

Secara amnya, Malaysia telah memperkenalkan pendekatan ini sejak tahun 2016 bagi memahami dengan lebih tepat pelbagai bentuk kekurangan yang dialami masyarakat. Dari sudut data, keadaan negara menunjukkan peningkatan apabila nilai MPI menurun dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun begitu, angka ini tidak sentiasa mencerminkan realiti sebenar yang dirasai oleh golongan muda. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kemiskinan relatif di Malaysia masih berada sekitar 16 peratus hingga 17 peratus, menunjukkan bahawa walaupun ramai yang melepasi garis kemiskinan mutlak, sebahagian besar masih hidup dalam keadaan serba kekurangan dari segi kualiti hidup dan peluang.

“Kesejahteraan bukan sekadar tentang berapa banyak yang kita peroleh, tetapi sejauh mana kita mampu hidup dengan stabil, mempunyai tujuan dan merasakan kemajuan.”

Bagi Generasi Z, makna kebahagiaan juga semakin berubah. Mereka tidak lagi menilai kehidupan berdasarkan pendapatan semata-mata. Sebaliknya, mereka melihat kepada kesihatan mental, keseimbangan antara kerja dan kehidupan, hubungan sosial serta peluang masa depan.

Dalam dunia pekerjaan, generasi ini membawa jangkaan yang berbeza. Mereka mahukan kerja yang bermakna, fleksibiliti, persekitaran kerja yang selamat dari segi emosi serta peluang untuk berkembang. Apabila jangkaan ini tidak dipenuhi, ramai yang mula berasa hilang motivasi dan mengalami keletihan emosi. Fenomena tekanan dan keletihan melampau dalam kalangan pekerja muda kini semakin ketara walaupun mereka mempunyai pekerjaan.

Keadaan ini sebenarnya berkait rapat dengan keperluan asas manusia seperti autonomi, keupayaan dan hubungan sosial. Generasi Z hari ini dilihat lebih proaktif dalam mengurus kerjaya mereka. Mereka bukan sahaja menyesuaikan diri dengan pekerjaan, tetapi juga cuba membentuk cara kerja dan persekitaran agar selari dengan matlamat hidup. Mereka mempunyai jangkaan yang jelas terhadap nilai organisasi dan cara sesuatu pekerjaan sepatutnya dijalankan.

Keadaan ini menuntut organisasi untuk lebih responsif, terutamanya dalam menyediakan peluang pembelajaran, pembangunan kerjaya serta sistem ganjaran yang adil dan bermakna. Secara keseluruhannya, generasi ini membina kerjaya dengan pandangan masa depan yang jelas. Walaupun minat dan kepuasan dalaman amat penting, ganjaran seperti gaji dan insentif tetap memainkan peranan dalam menentukan tahap kepuasan kerja.

Namun, apabila pekerjaan tidak menawarkan fleksibiliti, peluang untuk berkembang atau persekitaran yang menyokong, ramai pekerja muda mula berasa tidak bermotivasi dan kurang berpuas dengan kehidupan mereka. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh melemahkan kesetiaan terhadap organisasi dan meningkatkan kecenderungan untuk berhenti kerja. Apabila keadaan ini berlarutan, ia bukan sahaja menjejaskan motivasi kerja tetapi turut memberi kesan kepada kesejahteraan hidup secara menyeluruh.

Apa yang berlaku bukanlah isu terpencil namun ia adalah gabungan pelbagai faktor yang saling berkait. Antaranya adalah akses pendidikan yang terhad dimana ia boleh menjejaskan kebolehpasaran kerjaya, seterusnya pekerjaan yang tidak stabil pula mengurangkan rasa keselamatan serta persekitaran kerja yang menambah tekanan emosi, walaupun seseorang itu tidak miskin dari segi pendapatan. Gabungan faktor ini boleh menyebabkan mereka berasa terperangkap dan sukar untuk maju.

Di Malaysia, cabaran ini turut dipengaruhi oleh ketidaksamaan struktur. Walaupun negara Malaysia telah mencapai status berpendapatan sederhana tinggi, jurang antara bandar dan luar bandar serta antara kumpulan pendapatan masih ketara.

Golongan muda daripada keluarga B40 atau komuniti terpinggir lebih mudah terdedah kepada pelbagai kekurangan, termasuk akses pendidikan yang terhad, jaringan sosial yang lemah serta peluang pekerjaan yang lebih sempit. Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada pendapatan, tetapi juga kepada laluan kerjaya dan kesejahteraan jangka panjang mereka.

Justeru, memahami kesejahteraan golongan muda memerlukan pendekatan yang lebih luas. Kebahagiaan bukan sekadar tentang pendapatan, tetapi tentang peluang, kestabilan dan keupayaan untuk melihat masa depan dengan lebih yakin. Hakikatnya, sebuah generasi boleh berpendidikan, mempunyai pekerjaan dan sentiasa berhubung, namun masih berasa tidak pasti tentang kedudukan dan arah hidup mereka.

Menangani isu ini memerlukan perubahan dalam pendekatan dasar dan juga cara organisasi berfungsi. Usaha membantu golongan muda tidak boleh hanya tertumpu kepada peningkatan pendapatan semata-mata. Sebaliknya, ia perlu melibatkan pengukuhan sistem pendidikan, peningkatan kualiti pekerjaan, peluasan akses digital serta pembentukan persekitaran kerja yang lebih sihat dan menyokong. Organisasi memainkan peranan penting dalam menyediakan budaya kerja yang inklusif, menjaga kesejahteraan mental pekerja serta membuka laluan pembangunan kerjaya yang jelas.

Dalam konteks ini, usaha mengurangkan kemiskinan bukan hanya berkaitan ekonomi tetapi juga kualiti kehidupan secara menyeluruh. Seiring dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13, tumpuan perlu diperluas daripada sekadar membantu golongan muda menambah pendapatan kepada memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna dan sejahtera kerana pada akhirnya, kemajuan sebenar bukan hanya diukur melalui angka, tetapi melalui sejauh mana anak muda berasa yakin dengan masa kini dan mempunyai harapan terhadap masa depan.