Menunggang agama demi secebis rezeki haram

Penipuan yang bertopeng agama ini mudah berlaku kerana umat Islam secara psikologinya mudah tersentuh dengan sesuatu yang dilabel dengan agama.

Feature Image (4)

ISLAM adalah agama yang komprehensif dalam mengatur hubungan antara makhluk dengan Allah SWT dan hubungan sesama makhluk. Di samping itu, agama juga menjanjikan dosa-pahala, nikmat-azab dan syurga-neraka. Namun begitu, agama semakin dieksploitasi dan disalahgunakan demi keuntungan duniawi sehingga fenomena ini ibarat kudis yang berkembang menjadi tokak.

Ia nampak perkara yang kecil tetapi jika dibiarkan berlarutan akan menjadi barah dalam masyarakat Islam. Apabila sesuatu dibalut dengan nama Allah dan Islam, ramai orang yang mudah lembut hati kerana ingin mengejar pahala dan keredhaan Allah SWT. Lantas kelembutan itu dimanipulasi oleh penipu dan penjenayah dalam mencari peluang untuk meraih kesenangan yang sementara, sedangkan azabnya berpanjangan.

Dalam ruang kehidupan kini, urusan agama telah mengalami proses komodifikasi dan komersialisasi. Ia tidak sekadar sistem kepercayaan dan keimanan tetapi telah menjadi komoditi yang boleh dibungkus, dilabel, dipasarkan dan dijual di media sosial dan platform dalam talian dengan nilai komersil, harga yang lumayan dan janji pulangan ukhrawi.

Pada masa kini, penipuan yang bertopeng agama semakin marak. Jenayah ini telah menunggang agama untuk meraup keuntungan. Sebagai misal, penipuan pakej haji dan umrah, badal haji, wakaf, sedekah, ibadah korban dan dam haji dan seumpamanya.

Para penjenayah tidak gusar dengan janji azab Allah SWT. Bahkan di Tanah Suci Mekah dan Madinah, dan dalam bulan Zulhijjah mereka tanpa segan silu melakukan penipuan. Di antara bentuk penipuan tersebut termasuklah; pertama, penipuan pakej haji dan umrah.

Ia antara penipuan yang dilaporkan saban tahun di media massa. Penawaran pakej yang tidak wujud. Pelanggan telah membayar sejumlah wang tetapi visa tidak diproses, tiket dan penginapan tidak ditempah. Mangsa rasa marah dan sedih kerana impian telah dikhianati. Mereka diumpankan dengan frasa “ujian Allah”, “belum dijemput menjadi tetamu Allah” dan “takdir Ilahi” supaya redha dengan penipuan yang dilakukan oleh pengendali pakej.

Kedua, penipuan pakej badal haji. Ia adalah ibadat yang disyariatkan bagi melaksanakan ibadah haji bagi individu yang telah meninggal dunia atau masih hidup tetapi mengalami keuzuran kekal yang menghalangnya daripada menunaikan haji sendiri. Namun menjelang musim haji, aktiviti pemasaran pakej badal haji semakin giat dilakukan. Harga yang ditawarkan tidak sebanding dengan realiti harga permit dan kos haji yang sebenar.

Harga yang murah menjadi umpan kepada ahli waris untuk melaksanakan badal haji kerana ia mampu dibayar demi melunaskan rukun Islam yang kelima bagi insan yang disayangi. Apatah lagi zaman kecerdasan buatan (AI), gambar-gambar boleh dimanipulasi dengan mudah sebagai bukti pelaksanaan badal haji. Sayangnya, masih lagi ramai yang terpedaya dengan umpan murah yang digunakan.

Ketiga, penipuan sembelihan dam haji. Dam atau denda adalah tebusan yang perlu dilaksanakan oleh jemaah haji kerana adanya pelanggaran pantang larang haji atau meninggalkan wajib haji dalam proses pelaksanaan ibadah haji. Dalam pelaksanaan dam ini, ramai jemaah telah menyerahkan wang kepada pihak tertentu untuk menguruskan dam haji tanpa melalui Tabung Haji dan pihak berkuasa Arab Saudi. Timbul kebimbangan tentang kesahihan sama ada haiwan dam benar-benar disembelih dan diagihkan atau tidak.

Keempat, penipuan ibadah korban. Ibadah korban dilaksanakan oleh umat Islam bermula dari 10-13 Zulhijjah setiap tahun. Rentetan itu, ketika menjelang sambutan Aidiladha, pihak-pihak telah menguar-uarkan iklan korban yang bertebaran di media sosial baharu. Pakej ini ada yang ditawarkan dalam negara dan di luar negara. Ia merangkumi lokasi di pedalaman, tempat minoriti Muslim, bahkan di tempat-tempat konflik.

Dari segi harga, terdapat pakej yang menawarkan harga jauh lebih rendah daripada pasaran, gambar binatang korban cantik ditunjukkan, saiz haiwan yang layak dan menggunakan duta-duta para agamawan. Namun, proses perwakilan tidak dilakukan dengan jelas, maklumat pelaksanaan ibadah korban dan pengagihan daging tidak lengkap, kadangkala haiwan korban tidak sesuai dengan gambaran awal.

Selain itu juga, penipuan juga biasanya melibatkan haiwan korban. Haiwan yang ditawarkan peringkat tempahan tidak sama dengan haiwan yang dihantar kepada pembeli pada hari korban. Haiwan yang dipersetujui lain dan yang dihantar haiwan lain yang lebih rendah kualiti dan saiznya. Begitu juga dengan haiwan-haiwan yang kecil, sama ada haiwan yang sakit atau haiwan tidak cukup umur juga dijadikan korban.

Di samping itu, terdapat juga pihak yang mengambil kesempatan dengan mengenakan kos pengurusan ibadah korban yang tinggi hingga membebankan pihak peserta korban. Harga yang ditawarkan juga tidak sebanding dengan haiwan yang dikorbankan dengan alasan pelbagai kos tambahan.

Jelasnya, penipuan yang bertopeng agama ini mudah berlaku kerana umat Islam secara psikologinya mudah tersentuh dengan sesuatu yang dilabel dengan agama. Ia ibarat simpanan deposit pahala untuk mereka di akhirat kelak. Apa yang malang, ibadah yang dilakukan itu kemungkinan tidak terlaksana seperti badal haji dan dam haji, dan jika terlaksana, kemungkinan ia menghadapi risiko tidak sah kerana haiwan yang sakit dan tidak cukup umur.

Pihak penipu telah menggunakan pelbagai taktik manipulasi, penyamaran dan modus operandi untuk mengelabui mata mangsa. Mereka menggunakan simbolik orang thiqah dan beriman dengan imej jubah, serban, lebai atau membawa gelaran ustaz atau syeikh. Penampilan yang dikaitkan dengan imej kesolehan menyebabkan sebahagian masyarakat mudah memberikan kepercayaan tanpa membuat semakan lanjut.

Begitu juga, pengharapan terhadap balasan pahala dan dijanjikan dengan pahala berganda sebab berada di bulan baik, tanah haram dan seumpamanya. Ramai mangsa mudah tersentuh untuk melakukan kebajikan dan kebaikan untuk diri dan juga insan tersayang. Suguhan emosi ini mampu melembutkan hati para mangsa.

Di samping itu, dalam melaksanakan tuntutan ibadah, ramai orang yang memilih untuk melakukan secara rahsia dan privasi kerana ia urusan manusia dengan Allah SWT, selain untuk mengelakkan diri daripada dilabel sebagai riyak atau menunjuk-nunjuk dalam ibadah. Jadi, mangsa kurang bertanya dengan orang lain, dan memilih untuk mendiamkan diri dan pasrah sahaja walaupun tahu ditipu kemudiannya.

Tegasnya, perbuatan menipu dalam urusan ibadah adalah dilarang dengan tegas dalam Islam. Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya para peniaga akan dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang-orang yang berdosa, melainkan orang yang bertakwa kepada Allah, berbuat baik, dan jujur (HR al-Tirmizi).

Dalam penawaran pakej palsu dan penipuan dam dan korban adalah termasuk dalam perbuatan yang dilarang Syarak. Lebih-lebih lagi ia dilakukan dalam bulan haram Zulhijjah dan di Tanah Haram. Bahkan Nabi Muhammad SAW telah menegaskan larangan perbuatan menipu ini dalam hadis: Dan barangsiapa yang menipu kami maka bukanlah dia daripada kalangan kami (HR Muslim).

Hadis Nabi SAW jelas menunjukkan bahawa penipuan merupakan satu dosa besar, hinggakan Nabi SAW tidak mengaku sebagai umat bagi mereka yang suka menipu orang lain.

Sehubungan dengan itu, terpedaya dengan penipuan dalam urusan agama merupakan satu kesilapan yang perlu dielakkan. Umat Islam perlu berhati-hati dan membuat penyelidikan yang mendalam sebelum melabur wang dalam urusan ibadah agar tidak lebur dan menjadi sia-sia.

Ini disebabkan para penipu umpama serigala kebuluran yang menanti mangsa demi mencari secebis rezeki dengan jalan yang dimurkai Allah SWT, walau tidak diakui sebagai umat Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya ibadah yang diterima Allah SWT bukan sahaja memerlukan niat yang ikhlas, bahkan juga jalan pelaksanaannya mestilah benar, telus dan bertepatan dengan panduan syariat.