Pesakit Parkinson, mahasiswa UiTM jayakan projek SULAM melalui seni
Program selama dua hari itu menghimpunkan pesakit Parkinson, penjaga, bekas penjaga dan mahasiswa dalam satu ruang pembelajaran yang meraikan seni serta interaksi sosial.
KUALA LUMPUR, 8 Julai 2026 – Getaran tangan bukan penghalang kepada kreativiti apabila pesakit Parkinson bersama mahasiswa Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjayakan projek Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) Express Without Words yang mengetengahkan seni sebagai medium komunikasi, empati dan hubungan kemanusiaan.
Program selama dua hari yang berlangsung di pusat operasi Persatuan Penyakit Parkinson Malaysia (MPDA) baru-barui ini menghimpunkan pesakit Parkinson, penjaga, bekas penjaga dan mahasiswa dalam satu ruang pembelajaran yang meraikan seni serta interaksi sosial.
Berteraskan tema lima deria, peserta mengikuti pelbagai aktiviti yang merangsang pergerakan, komunikasi dan kreativiti, termasuk sesi zumba, permainan ekspresi Guess What Am I, aktiviti mewarna batik, Remember & Reflex, pewarnaan arca tanah liat yang dibentuk oleh mahasiswa dan diwarnakan oleh pesakit Parkinson serta gotong-royong menyediakan makan tengah hari di dapur MPDA bersama penjaga pesakit.
Keseluruhan pengalaman itu mewujudkan ruang pembelajaran dua hala yang menyatukan mahasiswa, pesakit Parkinson dan komuniti melalui aktiviti harian yang menerapkan nilai empati, kerjasama dan saling memahami.
Pensyarah penasihat projek, Ts. Dr. Azroz Mohd berkata, pengalaman bersama komuniti itu membuka perspektif baharu kepada mahasiswa mengenai makna sebenar pembelajaran di luar bilik kuliah.

“Sebagai pensyarah, saya sengaja memberi ruang kepada pelajar untuk memimpin keseluruhan projek. Mereka merancang, berunding, menyelesaikan masalah dan berinteraksi sendiri dengan komuniti. Saya hanya menjadi pembimbing apabila diperlukan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu selari dengan matlamat SULAM yang bukan sahaja menekankan pencapaian akademik, malah membentuk graduan yang mempunyai nilai empati, kepimpinan dan tanggungjawab sosial.
Sementara itu, Timbalan Dekan Akademik FiTA, Ts. Dr. Erman berkata, pembelajaran paling bermakna berlaku apabila pelajar keluar daripada zon selesa dan melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat.
“Saya percaya pembelajaran yang paling bermakna berlaku apabila pelajar keluar daripada zon selesa dan melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat. Di situlah mereka belajar menjadi manusia, bukan sekadar memperoleh gred,” katanya.
Program itu turut memperlihatkan bagaimana seni mampu menjadi medium komunikasi yang inklusif apabila peserta yang berdepan cabaran pergerakan dan pertuturan akibat penyakit Parkinson masih dapat menyampaikan perasaan melalui warna, tekstur dan bentuk yang dihasilkan.

Seorang peserta, Jagathisvary, 68, berkata, beliau gembira dapat berkarya walaupun pergerakannya tidak lagi selincah dahulu.
“Saya gembira dapat berkarya seperti ini. Walaupun pergerakan tidak lagi lincah seperti dahulu, saya masih boleh berkongsi perasaan melalui seni,” katanya.
Pengerusi MPDA, Sarah Lew berkata kerjasama dengan institusi pengajian tinggi merupakan usaha penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit Parkinson, selain memberi peluang kepada pesakit untuk terus aktif, berkreativiti dan berinteraksi dengan komuniti.
“Kami amat menghargai kesungguhan pelajar UiTM yang hadir bukan sekadar untuk menjalankan program, tetapi benar-benar meluangkan masa mengenali komuniti Parkinson. Kerjasama seperti ini membantu meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa individu yang hidup dengan Parkinson masih mampu berkarya, berinteraksi dan menyumbang apabila diberikan ruang serta sokongan,” katanya.
Selain menghasilkan karya seni, program itu turut berjaya membina hubungan antara dua generasi daripada latar belakang berbeza apabila mahasiswa bukan sahaja membantu peserta menyiapkan karya, malah mendengar pengalaman hidup mereka, berkongsi cerita dan membina hubungan yang bermakna.
Fasa pertama Express Without Words merupakan permulaan kepada siri kolaborasi yang akan diteruskan menerusi Fasa 2 pada 2 dan 3 Julai di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM Kampus Puncak Perdana.
Orang ramai dijemput menghadiri Fasa 2 Express Without Words bagi menyaksikan pameran hasil karya peserta, menyertai aktiviti interaktif dan bersama-sama meningkatkan kesedaran mengenai penyakit Parkinson melalui seni dan kreativiti.
