Universiti perlu melahirkan insan berkeupayaan, bukan sekadar graduan berijazah
Dalam era kecerdasan buatan, automasi dan ekonomi digital, sebahagian besar pengetahuan teknikal boleh dipelajari secara kendiri melalui platform dalam talian.
Oleh: DR SITI HAWA NGALIM
APABILA laporan mengenai peningkatan jumlah graduan yang bekerja di bawah tahap kelayakan akademik mereka menjadi tajuk utama baru-baru ini, pelbagai pihak segera mencari puncanya. Ada yang menyalahkan kelembapan ekonomi, ada yang mempersoalkan lambakan graduan manakala sebahagian lagi menganggap universiti gagal menyediakan graduan yang memenuhi kehendak industri.
Namun persoalan sebenar mungkin lebih besar daripada sekadar isu peluang pekerjaan. Adakah kita selama ini terlalu menumpukan kepada usaha melahirkan graduan yang berilmu tetapi kurang memberi perhatian untuk membentuk insan yang benar-benar berkeupayaan menghadapi dunia sebenar?
Laporan Statistik Graduan Malaysia 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan hampir 1.6 juta graduan bekerja dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap kemahiran mereka, bersamaan kira-kira 36.1 peratus daripada graduan yang bekerja. Angka ini bukan sekadar statistik pasaran buruh, malah memberi isyarat bahawa memiliki segulung ijazah sahaja tidak lagi menjamin laluan kerjaya yang diharapkan.
Hakikatnya, kebanyakan graduan bukan gagal kerana kurang pengetahuan. Mereka telah mengikuti kuliah, menyiapkan tugasan, menjalani latihan industri dan menamatkan pengajian dengan keputusan yang baik. Namun apabila melangkah ke alam pekerjaan, mereka berhadapan dengan cabaran yang jauh berbeza daripada apa yang dihadapi di bilik kuliah.
Majikan hari ini bukan sekadar mencari individu yang tahu melakukan sesuatu tugas. Mereka mencari pekerja yang mampu menyelesaikan masalah, membuat keputusan di bawah tekanan, berkomunikasi dengan berkesan, belajar perkara baharu dengan pantas serta bekerjasama dalam pasukan yang pelbagai latar belakang.
Dalam era kecerdasan buatan (AI), automasi dan ekonomi digital, sebahagian besar pengetahuan teknikal boleh dipelajari secara kendiri melalui platform dalam talian. Apa yang semakin sukar dicari ialah individu yang mempunyai kematangan berfikir, daya tahan, integriti, kepimpinan dan kebolehsuaian apabila berhadapan dengan perubahan.
Inilah nilai sebenar yang membezakan seseorang graduan.
Pengalaman mengendalikan program Supporting Postgraduate Advancement, Resilience and Knowledge (S.P.A.R.K.) bersama pelajar siswazah di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia, memberikan satu pemerhatian yang menarik. Apabila peserta diminta mengenal pasti aspek yang paling ingin mereka perbaiki sepanjang pengajian, majoriti tidak memilih kemahiran penyelidikan atau pengetahuan saintifik.
Sebaliknya, mereka memilih pengurusan masa, penyusunan keutamaan, perancangan pencapaian (milestone mapping) dan disiplin kendiri. Pada pandangan pertama, jawapan itu mungkin kelihatan remeh. Namun sebenarnya ia mencerminkan sesuatu yang lebih mendalam. Ramai pelajar cemerlang dari segi akademik masih bergelut mengurus diri sendiri apabila berdepan kebebasan dan tanggungjawab yang semakin besar.
Keupayaan seperti mengurus masa, berunding, mengendalikan konflik, mengurus emosi, membuat keputusan dan memimpin orang lain sering dianggap akan berkembang secara semula jadi apabila seseorang meningkat dewasa. Realitinya tidak begitu. Keupayaan-keupayaan ini perlu dipupuk, dilatih dan diperkukuhkan melalui pengalaman yang disengajakan. Sama seperti kemahiran makmal atau pengetahuan teori, kemahiran insaniah juga memerlukan latihan yang berterusan.
Di universiti, kehidupan pelajar lazimnya tersusun. Jadual kuliah telah ditetapkan, tugasan mempunyai tarikh akhir dan peperiksaan menjadi ukuran utama pencapaian. Namun selepas memasuki alam pekerjaan, tiada siapa lagi yang akan mengingatkan bila perlu meningkatkan kemahiran baharu, menyelesaikan masalah pelanggan, mengurus projek atau memimpin sesebuah pasukan. Di sinilah bermulanya jurang antara pencapaian akademik dengan kecemerlangan kerjaya.
Universiti tidak seharusnya melihat peranan mereka berakhir apabila pelajar menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang. Sebaliknya, pendidikan tinggi perlu menjadi ruang untuk membentuk individu yang mampu belajar sepanjang hayat, menyesuaikan diri dengan perubahan serta berani menghadapi ketidakpastian.
Persoalannya, bagaimanakah universiti boleh memainkan peranan yang lebih bermakna dalam membina keupayaan ini?
Jawapannya bukan dengan menambah lebih banyak peperiksaan atau tugasan. Sebaliknya, universiti perlu memperkayakan pengalaman pembelajaran yang memberi ruang kepada pelajar berhadapan dengan situasi sebenar. Projek bersama industri, penyelidikan rentas disiplin, program khidmat masyarakat, aktiviti keusahawanan, pertukaran antarabangsa, persatuan pelajar dan program kepimpinan bukan lagi sekadar aktiviti kokurikulum. Semua ini ialah “makmal kehidupan” yang mengajar pelajar mengurus manusia, menyelesaikan konflik, membuat keputusan, berunding, mengurus sumber dan belajar daripada kegagalan.
Ironinya, kemahiran seperti inilah yang paling sukar diterjemahkan dalam transkrip akademik tetapi paling dihargai oleh majikan. Tidak hairanlah semakin banyak organisasi antarabangsa mengakui bahawa kejayaan seseorang pekerja pada masa hadapan bukan lagi ditentukan semata-mata oleh kelayakan akademik. Sebaliknya, daya tahan, kebolehsuaian, pemikiran kritikal, kreativiti, komunikasi dan keupayaan bekerjasama kini menjadi antara kompetensi yang paling diperlukan dalam dunia pekerjaan yang sentiasa berubah.
Atas sebab itu juga, usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan tidak boleh dipikul oleh universiti sahaja. Industri perlu membuka lebih banyak peluang pembelajaran berasaskan pengalaman, manakala kerajaan perlu terus mengukuhkan kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan sektor pekerjaan. Inisiatif seperti latihan industri berkualiti, program padanan bakat dan pembangunan kemahiran masa hadapan yang digerakkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad merupakan langkah yang wajar diperkasakan bagi memastikan jurang antara bilik kuliah dan dunia pekerjaan terus dirapatkan.
Dalam masa yang sama, pelajar sendiri perlu mengubah cara mereka melihat kehidupan di universiti. Kampus bukan sekadar tempat mengumpul gred, memenuhi syarat graduasi atau mengejar Anugerah Dekan. Ia merupakan ruang terbaik untuk mencuba perkara baharu, memimpin organisasi, menyelesaikan masalah sebenar dan membina keyakinan diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Hakikatnya, majikan pada hari ini tidak hanya bertanya, “Apakah yang anda pelajari?” Mereka juga ingin mengetahui, “Apakah yang pernah anda lakukan?”, “Bagaimana anda menyelesaikan cabaran?” dan “Apakah nilai yang boleh anda bawa kepada organisasi?”.
Soalan-soalan inilah yang menentukan sama ada seseorang graduan benar-benar bersedia atau sekadar memiliki sijil akademik.
Malaysia memerlukan lebih ramai graduan yang bukan sahaja cekap dalam bidang masing-masing tetapi juga mampu mencipta pekerjaan, memimpin perubahan, menyesuaikan diri dengan teknologi baharu dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Aspirasi ini selari dengan usaha negara untuk mengurangkan kadar skill-related underemployment kepada 30 peratus menjelang tahun 2030.
Oleh itu, ukuran kejayaan universiti pada masa hadapan tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan bilangan graduan yang menerima ijazah ketika konvokesyen atau kedudukan dalam ranking antarabangsa. Sebaliknya, kejayaan sebenar ialah sejauh mana graduan mampu membina kerjaya yang bermakna, menyesuaikan diri dengan perubahan, memimpin organisasi, menyelesaikan masalah masyarakat dan terus belajar sepanjang hayat.
Akhirnya, dunia tidak lagi kekurangan graduan yang memiliki pengetahuan. Apa yang semakin diperlukan ialah insan yang mempunyai kebijaksanaan menggunakan ilmu, keberanian menghadapi cabaran, kematangan membuat pertimbangan dan keupayaan membawa perubahan. Kerana pada akhirnya, universiti yang benar-benar cemerlang bukanlah universiti yang hanya melahirkan graduan berijazah, tetapi universiti yang berjaya melahirkan insan berkeupayaan.
* Penulis merupakan seorang Pensyarah Kanan di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia.

