Orientasi dan pembentukan jati diri pelajar IPT
Pada asasnya, program orientasi bertujuan membantu pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan di institusi pengajian tinggi.

SETIAP kali bermulanya sesi kemasukan baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT), program orientasi menjadi antara acara utama yang diberikan perhatian. Pelbagai IPT akan berkongsi detik sambutan pelajar baharu melalui platform rasmi masing-masing manakala para pelajar turut berkongsi pengalaman mereka di media sosial untuk tatapan masyarakat.
Maka tidak menghairankan apabila program orientasi sering mendapat pelbagai reaksi daripada warganet. Ada yang melihatnya sebagai satu usaha positif untuk meraikan pelajar selepas melalui perjalanan panjang sebelum melangkah ke alam pengajian tinggi. Ada yang teruja melihat kemeriahan sambutan yang dianjurkan. Namun, ada juga yang mula mempersoalkan bentuk pengisian yang dipilih dan sejauh mana ia selari dengan peranan universiti sebagai institusi ilmu.
Pada asasnya, program orientasi bertujuan membantu pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan di institusi pengajian tinggi. Selain memperkenalkan persekitaran kampus, sistem akademik dan kemudahan yang disediakan, orientasi turut menjadi wadah awal untuk memupuk semangat kekitaan, memperkenalkan budaya institusi serta membentuk kefahaman tentang tanggungjawab sebagai warga IPT.
Namun, orientasi mempunyai makna yang lebih besar daripada sekadar sebuah program sambutan. Orientasi bukan sekadar memperkenalkan pelajar kepada universiti, tetapi turut memperkenalkan universiti kepada pelajar. Segala perkara yang diperlihatkan, diraikan dan diberikan penekanan sepanjang tempoh tersebut menjadi gambaran awal tentang nilai serta budaya yang ingin dibina oleh sesebuah institusi.
Dalam usaha mencipta pengalaman pertama yang bakal sentiasa diingati, sesetengah institusi memilih untuk menampilkan elemen kemeriahan dan hiburan sebagai salah satu tarikan utama. Kehadiran artis jemputan, persembahan berskala besar atau aktiviti yang mencetuskan keterujaan tinggi sememangnya mampu memberikan pengalaman yang sukar dilupakan kepada pelajar baharu.
Sudah tentu, pelajar baharu wajar diraikan. Mereka telah berusaha untuk sampai ke tahap ini dan sambutan yang baik mampu memberikan rasa dihargai serta membina hubungan positif antara pelajar dengan institusi. Namun, di sebalik usaha mencipta kenangan manis, terdapat satu persoalan lebih besar yang perlu direnungkan: apakah pengalaman pertama yang ingin kita tinggalkan kepada pelajar ketika mereka melangkah masuk ke alam pengajian tinggi?
Pelajar IPT yang melangkah ke alam pengajian tinggi datang daripada pelbagai latar belakang dan laluan pendidikan. Program seperti asasi dan diploma lazimnya menerima pelajar yang baru sahaja meninggalkan alam persekolahan manakala program sarjana muda pula menerima pelajar daripada pelbagai laluan prauniversiti seperti asasi, matrikulasi dan diploma selain sebahagian lepasan sekolah menengah.
Walaupun perjalanan mereka berbeza, mereka berkongsi satu persamaan iaitu sedang melalui fasa perubahan daripada persekitaran pendidikan yang lebih dipandu kepada kehidupan yang memberikan kebebasan serta tanggungjawab yang lebih besar.
Bagi sebahagian daripada mereka, kehidupan di IPT merupakan pengalaman pertama berjauhan daripada keluarga, mengurus kehidupan sendiri dan membuat keputusan tanpa pemantauan yang sama seperti sebelumnya. Dalam tempoh inilah identiti mula dibentuk. Mereka mula mengenali lingkungan sosial baharu, memahami nilai yang diraikan oleh komuniti sekeliling dan membina cara mereka membawa diri sebagai warga kampus.
Jati diri pelajar IPT bukan sekadar identiti sebagai seorang mahasiswa atau warga universiti, tetapi merangkumi keupayaan membawa diri dengan matang, beradab, berintegriti dan bertanggungjawab dalam setiap keputusan yang dibuat.
Atas sebab itu, minggu orientasi mempunyai peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar tempoh suai kenal. Ia merupakan peluang pertama sesebuah institusi memperkenalkan budaya kampus kepada generasi baharu yang bakal menjadi sebahagian daripada komuniti tersebut.
Apa yang diperkenalkan kepada pelajar pada peringkat awal ini akan mempengaruhi cara mereka memahami kehidupan di IPT. Jika nilai ilmu, integriti, disiplin dan tanggungjawab menjadi perkara utama yang diketengahkan, maka nilai tersebut akan menjadi sebahagian daripada identiti yang cuba dibina. Sebaliknya, jika pelajar lebih banyak diperkenalkan kepada kebebasan tanpa disertai kesedaran tentang tanggungjawab, mereka mungkin membina persepsi bahawa kehidupan di universiti semata-mata ialah ruang untuk menikmati pengalaman baharu tanpa batasan yang perlu mereka fahami.
Hal ini bukan bermaksud elemen hiburan perlu diketepikan daripada kehidupan kampus. Hiburan bukanlah sesuatu yang asing dalam budaya ilmu, malah ia boleh menjadi sebahagian daripada proses pendidikan apabila dirancang dengan tujuan yang betul. Persembahan kebudayaan, teater, muzik, deklamasi puisi atau pelbagai bentuk seni yang dipersembahkan sendiri oleh pelajar bukan sahaja mampu memeriahkan suasana, malah menjadi medan mencungkil bakat, membina keyakinan diri, memupuk semangat kerjasama dan mengeratkan hubungan antara warga kampus.
Pendekatan sedemikian juga memberikan peluang kepada pelajar untuk menjadi penggerak utama dalam membina budaya kampus, bukan sekadar menjadi penonton kepada sesuatu persembahan. Mereka belajar bahawa universiti ialah ruang untuk menyumbang, berkarya dan berkembang sebagai individu.
Dalam masa yang sama, keseimbangan perlu diberikan perhatian. Hiburan melampau berlaku apabila elemen tersebut diberikan kedudukan yang terlalu dominan sehingga mengatasi tujuan asal orientasi. Apabila keterujaan semata-mata menjadi ukuran kejayaan sesuatu program, terdapat risiko mesej pembentukan nilai semakin tenggelam.
Isu sebenar bukanlah kewujudan hiburan tetapi apakah nilai yang hadir bersamanya. Sesuatu hiburan masih boleh menjadi sebahagian daripada budaya universiti sekiranya ia berjalan seiring dengan adab, kesopanan, kepelbagaian dan identiti sebuah institusi ilmu.
Kampus yang baik bukanlah kampus yang menolak keseronokan, tetapi kampus yang mengajar pelajarnya tentang keseimbangan. Kebebasan bukan bermaksud bebas melakukan apa sahaja, manakala kemeriahan bukan bermaksud mengetepikan nilai.
Kematangan seseorang pelajar dapat dilihat melalui kebolehannya menikmati sesuatu pengalaman dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab. Dalam kehidupan universiti, mereka bukan sahaja perlu belajar mengurus tugasan akademik, tetapi juga belajar mengurus diri, hubungan sosial dan kebebasan yang dimiliki.
Akhirnya, orientasi mungkin hanya berlangsung dalam tempoh yang singkat, tetapi kesannya mampu bertahan sepanjang perjalanan seseorang pelajar di IPT. Ia merupakan pertemuan pertama antara pelajar dengan budaya institusi dan menjadi gambaran awal tentang insan yang ingin dilahirkan.
Institusi pengajian tinggi bukan sekadar bertanggungjawab melahirkan graduan yang cemerlang dalam bidang masing-masing, tetapi juga individu yang mempunyai jati diri, integriti dan kebijaksanaan dalam mengurus kebebasan. Ini kerana kejayaan pendidikan tinggi bukan hanya diukur melalui apa yang seseorang pelajar tahu, tetapi juga melalui siapa mereka akan menjadi.

