Algoritma kini mencorak semula nilai bandar
Jika pelan pengezonan membentuk corak pembangunan fizikal, algoritma pula semakin mempengaruhi sejauh mana sesebuah tempat itu rancak beroperasi.

SEJAK sekian lama, aksesibiliti menjadi penentu utama kepada nilai sesebuah tanah. Prinsip ini belum pupus, cuma pendekatannya sedang berubah. Ekonomi digital tidak melenyapkan fungsi ruang fizikal, sebaliknya ia menjadikan faktor ‘lokasi’ itu lebih kompleks. Tanah kekal bernilai mengikut lokasinya, namun takrifan ‘di mana’ itu kini membawa maksud yang lebih luas berbanding sekadar jarak ke jalan raya, stesen transit atau pusat tumpuan ramai.
Kini, nilai lokasi turut diukur berdasarkan sama ada ia berada dalam lingkungan kawasan perkhidmatan penghantaran, tahap keterlihatannya dalam algoritma platform serta kualiti prasarana digitalnya untuk menyokong perkhidmatan bandar berpacukan data. Trafik pejalan kaki masih penting tetapi radius perkhidmatan (service radius) kini mengambil alih peranan yang sama besar.
Jika pelan pengezonan membentuk corak pembangunan fizikal, algoritma pula semakin mempengaruhi sejauh mana sesebuah tempat itu rancak beroperasi. Pendek kata, infrastruktur digital kini telah melengkapi prasarana tradisional sebagai kayu ukur baharu dalam menilai bandar.
Nilai Komersial Bukan Lagi Sekadar Bergantung Pada Trafik Pejalan Kaki
Dahulu, lokasi perniagaan yang strategik lazimnya diukur berdasarkan lambakan pejalan kaki. Walaupun logik ini masih terpakai bagi perniagaan yang mengharapkan pelanggan singgah (walk-in), ia bukan lagi satu-satunya faktor penentu.
Bagi kebanyakan peniaga, radius perkhidmatan kini jauh lebih penting. Sebuah premis di laluan sekunder yang sunyi mungkin mampu meraih keuntungan besar asalkan ia dikelilingi kawasan perumahan padat dan boleh memenuhi pesanan dengan pantas menerusi platform penghantaran. Pengusaha makanan berskala kecil kini tidak lagi terdesak mencari lot kedai mewah di tepi jalan utama jika majoriti jualan mereka dijana menerusi aplikasi.
Begitu juga dengan farmasi, kedai runcit atau dobi, nilai perniagaan mereka tidak lagi bergantung kepada berapa ramai orang yang lalu-lalang, tetapi berapa ramai pelanggan yang boleh dicapai dalam masa 15 hingga 30 minit. Anjakan ini secara langsung mengubah landskap nilai komersial. Lot kedai yang tersorok mampu menjadi sangat berharga jika ia terletak di lokasi strategik berhampiran komuniti yang mempunyai permintaan tinggi.
Di bandar-bandar seluruh Malaysia, kita dapat melihat lot kedai sekunder, lot komersial kejiranan, dapur awan (cloud kitchens) dan pusat pengedaran mikro semakin mendapat sambutan demi menyokong model perniagaan berasaskan penghantaran. Kesimpulannya, jangkauan digital (digital reach) kini telah menjadi penggerak nilai yang baharu. Lokasi strategik bukan sekadar tempat orang berkumpul tetapi sejauh mana ia pantas, mudah dan murah untuk dicapai secara digital berulang kali.
Algoritma dan Infrastruktur Digital Membentuk Nilai Baharu Bandar
Nilai tanah bandar hari ini bukan lagi dibentuk sekadar oleh jalan raya, stesen kereta api atau corak pembangunan yang boleh dilihat dengan mata kasar. Ia kini turut dipacu oleh sistem digital di sebalik tabir.
Algoritma menentukan kawasan mana yang mempunyai permintaan tinggi, perniagaan mana yang paling menonjol dan laluan mana yang paling menguntungkan dari segi komersial. Sebagai contoh, syarikat logistik tidak lagi merancang lokasi gudang secara semberono, mereka menganalisis ketumpatan pesanan, corak pengguna dan kecekapan masa perjalanan.
Platform penghantaran makanan pula boleh meningkatkan penarafan (rating) sesebuah restoran semata-mata kerana ia terletak di zon capaian yang cekap. Malah, sistem e-panggilan (ride-hailing) sering menghalakan kenderaan ke kawasan perumahan tertentu atas faktor kelajuan laluan, walaupun ia menyumbang kepada kesesakan jalan-jalan kecil.
Senario ini membuktikan bahawa kelebihan sesebuah lokasi kini adalah hasil gabungan prasarana fizikal dan jejak digitalnya. Premis yang cantik di mata kasar boleh jatuh merudum sekiranya ia tenggelam dalam algoritma carian dan aliran data pengguna. Sebaliknya, lokasi terpencil boleh hidup subur jika ia cemerlang dalam sistem algoritma yang menghubungkan permintaan dan kecekapan penghantaran.
Pada masa yang sama, kemudahan digital (seperti jalur lebar, pusat data, sistem bayaran tanpa tunai dan rangkaian awan) telah menjadi nadi asas sesebuah bandar—sama pentingnya dengan kemudahan air dan elektrik. Perkara ini menuntut satu realiti baharu dalam perancangan bandar. Pihak berkuasa tempatan mungkin mengawal pelan pengezonan dan kelulusan pembangunan tetapi entiti swasta secara senyap turut mengawal corak pergerakan bandar melalui algoritma harga dan laluan.
Walaupun teknologi ini memudahkan pihak berkuasa mengkaji data kesesakan atau memantau corak penggunaan tanah, isunya tetap berbalik kepada tadbir urus. Jika algoritma semakin berkuasa menentukan nilai tanah bandar, pelaksanaannya haruslah lebih telus, adil dan bertanggungjawab.
Bagi penggiat industri hartanah dan persekitaran binaan, ini adalah satu anjakan paradigma yang tidak boleh diabaikan. Perancang bandar, penilai hartanah, pemaju dan penggubal dasar tidak boleh lagi menilai tanah menggunakan metrik lapuk. Elemen sokongan digital seperti keterlihatan di platform, kecekapan penghantaran, kepadatan zon pesanan, dan pendedahan kepada aliran trafik algoritma—kini wajib diambil kira.
Ekonomi digital bukan sekadar agenda teknologi. Ia juga adalah agenda penggunaan tanah, agenda perancangan infrastruktur dan agenda tadbir urus pentadbiran.
Daya Tahan Ekonomi di Era Digital
konomi digital turut merombak cara sesebuah bandar mendepani krisis. Jika dahulu, peniaga cukup terkesan apabila jalan ditutup akibat banjir, kesesakan teruk, atau wabak penyakit. Jika pelanggan tidak datang, pendapatan akan terjejas teruk. Kini, ekonomi digital menyediakan satu “talian hayat” alternatif.
Perniagaan masih boleh beroperasi dan mendekati pelanggan melalui platform e-dagang, pemasaran media sosial dan khidmat penghantaran. Kafe, pusat tuisyen, klinik, mahupun peruncit kecil tidak lagi terikat semata-mata kepada pembeli fizikal. Ia memang tidak menghapuskan risiko perniagaan sepenuhnya tetapi ia menyediakan sistem sandaran (redundancy). Bandar yang hanya bergantung pada pelanggan fizikal adalah sangat berisiko. Sebaliknya, bandar yang mengintegrasikan jualan fizikal dan maya mempunyai ruang yang lebih luas untuk bernafas ketika krisis melanda.
Di Malaysia, peralihan ini sangat kritikal, terutamanya apabila musim banjir monsun atau kesesakan jalan raya melumpuhkan pergerakan harian. Kemampuan pendigitalan kini adalah sebahagian daripada daya tahan ekonomi sesebuah perniagaan. Namun, daya tahan ini bersyarat. Ia memerlukan kestabilan prasarana internet, infrastruktur kalis banjir, keadilan platform dan pemerkasaan kemahiran supaya peniaga kecil tidak terus tertindas oleh yuran platform yang cekik darah.
Inilah sebabnya dasar kerajaan memainkan peranan penting. Ekonomi digital tidak seharusnya diagungkan sebagai ubat ajaib untuk segala masalah bandar, sebaliknya ia harus dilihat sebagai lapisan pelindung tambahan agar ekonomi tempatan lebih anjal dan fleksibel dalam mengharungi tekanan.
Satu Anjakan Perspektif
Kesimpulannya, ekonomi digital tidak menjatuhkan nilai bandar, ia mengubah kriteria yang menjadikannya berharga. Di ibu kota seperti Kuala Lumpur, nilai bandar hari ini diterjemahkan melalui interaksi rumit antara rangkaian jalan raya, seni bina bangunan, corak pejalan kaki, capaian digital dan janaan algoritma.
Hakikatnya, pepatah “lokasi amat penting” itu masih kekal relevan cuma peraturan yang mentakrifkan apa itu “lokasi yang strategik” kini telah pun ditulis semula.

