Jangan biarkan tragedi menambah stigma

Apakah kita benar-benar memahami kehidupan remaja OKU, khususnya individu autisme?

Feature Image (1)

BERITA mengenai kejadian seorang pelajar menikam rakan sekolah di Selangor baru-baru ini benar-benar mengejutkan masyarakat. Lebih menyedihkan apabila timbul laporan bahawa pelajar tersebut merupakan seorang remaja autisme dan dipercayai telah lama berhadapan dengan pengalaman dibuli. Perlu ditegaskan bahawa fakta sebenar kejadian masih berada dalam siasatan pihak berkuasa. Oleh itu, kita tidak seharusnya membuat kesimpulan atau menghukum mana-mana pihak berdasarkan maklumat yang belum disahkan.

Namun, di sebalik insiden tragis ini, ada persoalan yang jauh lebih besar yang perlu kita renungkan sebagai sebuah masyarakat. Apakah kita benar-benar memahami kehidupan remaja OKU, khususnya individu autisme? dan adakah kita telah menyediakan persekitaran yang selamat serta menyokong mereka untuk membesar dengan bermaruah?

Selama ini, perhatian terhadap anak-anak autisme banyak tertumpu kepada fasa awal kehidupan. Ibu bapa berusaha menghantar mereka ke program intervensi awal, terapi pertuturan, terapi cara kerja dan pelbagai bentuk sokongan lain. Apabila mereka semakin membesar dan kelihatan mampu belajar di sekolah arus perdana, ramai yang beranggapan mereka sudah tidak lagi memerlukan bantuan.

Hakikatnya, cabaran sebenar sering bermula apabila mereka memasuki alam remaja. Saya ingin menyampaikan beberapa pandangan dan suara hati daripada ibu-bapa dan komuniti yang mempunyai pengalaman bersama-sama golongan OKU ini.

Ramai remaja autisme, terutama yang mempunyai kebolehan berkomunikasi dan akademik yang baik, berusaha keras menyesuaikan diri dengan persekitaran. Mereka belajar meniru tingkah laku rakan-rakan, mengawal reaksi, menyembunyikan kesukaran dan berusaha kelihatan “normal”.

Dalam bidang autisme, keadaan ini dikenali sebagai masking. Walaupun kelihatan berjaya dari luar, proses ini memerlukan tenaga emosi yang sangat besar. Mereka mungkin pulang ke rumah dalam keadaan terlalu letih, cemas atau tertekan tanpa sesiapa benar-benar menyedarinya.

Apabila keadaan ini digabungkan dengan pengalaman dibuli, diejek atau disisihkan, tekanan yang dipendam boleh menjadi semakin berat. Tidak semua akan bertindak secara agresif. Malah, majoriti individu autisme tidak bersifat ganas dan lebih cenderung menjadi mangsa buli berbanding pelaku. Namun, mana-mana manusia yang hidup dalam tekanan berpanjangan memerlukan sokongan yang sewajarnya sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Atas sebab itu, isu ini tidak boleh dilihat semata-mata sebagai tanggungjawab ibu bapa atau sekolah. Ia adalah tanggungjawab seluruh masyarakat.

Kita sering menekankan pendidikan akademik kepada anak-anak tetapi berapa ramai yang benar-benar mengajar mereka bagaimana menghormati dan berinteraksi dengan rakan-rakan OKU? Berapa ramai ibu bapa berbincang dengan anak-anak tentang kepelbagaian cara manusia berfikir, berkomunikasi dan mengekspresikan emosi?

Anak-anak yang tipikal perlu didedahkan sejak kecil bahawa terdapat rakan-rakan yang mungkin sukar memahami bahasa kiasan, kurang selesa dengan bunyi bising, mengambil masa lebih lama untuk menjawab, atau mempunyai minat yang berbeza. Perbezaan ini bukan alasan untuk mengejek atau memulaukan mereka. Sebaliknya, ia peluang untuk memupuk empati, kesabaran dan rasa hormat terhadap kepelbagaian manusia.

Mendidik anak-anak agar menyantuni rakan OKU sebenarnya merupakan pendidikan nilai yang akan membentuk masyarakat masa hadapan. Mereka perlu belajar bahawa tidak semua orang menunjukkan emosi dengan cara yang sama, tidak semua orang memahami isyarat sosial dengan mudah, dan tidak semua orang mampu mempertahankan diri apabila menjadi mangsa buli. Kadangkala, senyuman, sapaan, pelawaan bermain atau kesediaan menjadi pendengar sudah cukup memberi makna besar kepada seorang remaja yang berasa terasing.

Sekolah juga memainkan peranan penting dalam membina budaya inklusif. Namun, guru tidak boleh memikul tanggungjawab ini bersendirian. Mereka mempunyai pelbagai tugas lain yang perlu dilaksanakan. Oleh itu, usaha membina persekitaran yang inklusif memerlukan kerjasama ibu bapa, komuniti, persatuan, pakar psikologi, profesional kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan.

Masyarakat juga perlu mengubah cara kita melihat individu OKU. Jangan hanya mengenali mereka melalui kad OKU atau label diagnosis. Mereka ialah individu yang mempunyai cita-cita, emosi, ketakutan dan harapan seperti orang lain. Mereka bukan sekadar memerlukan kemudahan fizikal, tetapi juga memerlukan penerimaan sosial, persahabatan dan peluang untuk hidup dengan bermaruah.

Pada masa yang sama, kita berharap agar sokongan kepada remaja OKU tidak terhenti selepas tamat program intervensi awal. Akses kepada perkhidmatan psikologi, kaunseling dan sokongan kesihatan mental perlu diperkukuhkan, khususnya ketika mereka memasuki alam remaja dan dewasa. Tempoh ini merupakan fasa yang penuh perubahan dari segi emosi, identiti dan hubungan sosial. Sokongan yang berterusan mampu membantu mereka mengurus tekanan, memahami emosi dan membina kemahiran hidup dengan lebih baik.

Insiden yang berlaku di Selangor ini seharusnya menjadi ruang untuk kita bermuhasabah, bukan untuk menuding jari. Jangan biarkan satu kes membentuk stigma bahawa individu autisme adalah berbahaya. Sebaliknya, biarlah ia membuka mata kita bahawa setiap anak, sama ada tipikal atau OKU, berhak membesar dalam persekitaran yang bebas daripada buli, penuh belas ihsan dan saling menghormati.

Akhirnya, ukuran kemajuan sesebuah negara bukan sekadar pada kecanggihan teknologi atau pencapaian ekonominya tetapi pada bagaimana masyarakat melayan golongan yang paling memerlukan perhatian. Jika kita berjaya mendidik anak-anak supaya menghormati perbezaan, memahami keperluan rakan-rakan OKU dan sentiasa menyantuni sesama manusia, kita bukan sahaja sedang melindungi anak-anak istimewa, malah sedang membina sebuah masyarakat yang lebih berperikemanusiaan untuk semua.