Datametrics Bawakan Persaingan Sihat untuk Komuniti Pelaburan Malaysia

DARE Pickleball Tournament-Pic 2

KUALA LUMPUR, 13 Ogos2026 – Datametrics Research and Information Centre (DARE), sebuah syarikat penyelesaian prospektus bersepadu, baru-baru ini menghimpunkan anggota komuniti pelaburan dan pasaran modal Malaysia dalam suasana berbeza menerusi penganjuran kejohanan pickleball sulungnya, yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat selain mengeratkan hubungan dalam kalangan pemain industri.

Kejohanan tersebut menarik lebih 50 peserta dan penyokong, dengan 16 pasukan beregu kategori terbuka bersaing merebut kejuaraan. Para peserta terdiri daripada pelbagai segmen ekosistem pasaran modal, termasuk bank pelaburan, pengamal kewangan korporat, pengurus dana, peguam, penaja serta pemegang taruh industri lain.

GUtC, diwakili Ivan Lee dan Suzanne Ong, muncul sebagai juara kejohanan, manakala Apex Securities Bhd, diwakili Eric Chong dan Toh Jen Shen, menduduki tempat kedua. Baker Tilly Malaysia, diwakili Pua Tze Han dan Samuel Lau Lik Siong, pula meraih tempat ketiga.

Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar, berkata, “Kejohanan ini mencerminkan hasrat organisasi kami untuk mendekati komuniti pelaburan melangkaui persekitaran profesional dan perniagaan yang lazim.”

“Industri pelaburan dan pasaran modal merupakan bidang yang mencabar, dengan para profesional sering bekerja untuk tempoh yang panjang serta berdepan tekanan yang tinggi. Menerusi kejohanan ini, kami mahu menggalakkan rakan-rakan dalam industri supaya menjadikan kesihatan, kecergasan dan kesejahteraan diri sebagai keutamaan yang sama penting,” kata Pankaj.

“Pickleball merupakan pilihan yang ideal kerana ia mudah disertai, bersifat sosial dan pada masa yang sama kompetitif. Lebih penting lagi, ia memberi peluang kepada individu daripada pelbagai segmen komuniti pelaburan untuk berinteraksi dan membina hubungan dalam suasana santai, di luar kebiasaan bilik lembaga pengarah, persidangan atau persekitaran korporat,” tambahnya.

Kejohanan tersebut ditaja oleh CTH Unlimited, jenama sukan dan pakaian aktif di bawah Cheetah; Dinky, jenama gaya hidup pickleball; serta GUtC, jenama minuman prebiotik keluaran The Tapping Tapir. Acara itu turut mendapat sokongan daripada Acendus Communications Sdn Bhd dan Esente Advisory Sdn Bhd.

Para pemenang menerima trofi, beg pickleball Dinky dan baucar tunai, dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM5,000.

Pankaj berkata DARE sentiasa percaya bahawa komuniti pelaburan yang kukuh bukan sahaja dibina menerusi maklumat, penyelidikan dan interaksi profesional, tetapi juga melalui hubungan bermakna antara individu yang membentuk industri tersebut.

“Kami berharap kejohanan sulung ini menjadi permulaan kepada sesuatu yang boleh kami kembangkan pada tahun-tahun akan datang, dengan menghimpunkan lebih ramai anggota komuniti pasaran modal sambil terus menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat,” katanya.