Ogos bulan membayar kesetiaan bukan menuntut keistimewaan
Gejala sosiopolitik yang pincang ini menuntut kita membedah semula makna ‘jiwa merdeka’ yang sebenar.

SETIAP kali fajar 31 Ogos menjelang, Malaysia seolah-olah terperangkap dalam satu paradoks sosiopolitik yang melemaskan. Di sebalik keghairahan mengibar bendera, sering terjadi ruang awam negara sengaja diheret menjadi gelanggang tuntutan hak kesamarataan yang melampau, pertikaian garis sejarah dan cubaan merombak kontrak sosial secara halus.
Naratif kemerdekaan hari ini tidak lagi dihayati sebagai simbol pengorbanan kolektif, sebaliknya dimanipulasi oleh segelintir pihak sebagai platform tahunan untuk mempamerkan ego etnosentrik masing-masing. Gejala sosiopolitik yang pincang ini menuntut kita membedah semula makna ‘jiwa merdeka’ yang sebenar.
Ogos bukan lubang komersial untuk menuntut atau mempersoalkan hak asal watan, melainkan bulan sakral bagi setiap warganegara membuktikan kesetiaan mutlak kepada pasak Perlembagaan Persekutuan. Kerapuhan penghayatan “jiwa merdeka” mutakhir ini kerap dimanifestasikan melalui isu-isu simbolik di ruang awam. Sebagai contoh, insiden pemasangan Jalur Gemilang secara songsang atau terbalik di premis-premis perniagaan tertentu yang tular secara berkala.
Dari sudut sosiologi, kemarahan masyarakat terutamanya komuniti pribumi terhadap ralat fizikal ini adalah suatu tindak balas psikologi yang munasabah, memandangkan bendera merupakan lambang kedaulatan, maruah dan identiti tertinggi negara bangsa. Kesilapan yang menyentuh sensitiviti emosi ini sering kali ditafsirkan sebagai cubaan mempamerkan protes senyap terhadap asas kenegaraan.
Meskipun siasatan rasmi pihak berkuasa kerap merumuskan insiden berkenaan sebagai ralat teknikal atau kecuaian pekerja, namun fenomena ini mendedahkan satu lompang besar dalam aspek literasi kewarganegaraan. Kesilapan berulang ini membina persepsi negatif bahawa wujud sikap tidak peduli terhadap maruah nasional daripada segelintir kalangan industri swasta.
Di sinilah letaknya kepentingan nilai kebertanggungjawaban. Pemilik premis memikul kewajipan moral untuk memantau sensitiviti ini agar tidak mengundang prasangka sengketa etnik yang lebih parah.
Fenomena naratif songsang ini turut melarat ke dalam wacana struktur fiskal dan sumbangan ekonomi negara. Saban tahun, timbul dakwaan retorik daripada kelompok tertentu yang mendakwa mereka merupakan penyumbang cukai terbesar, sekali gus menuntut layanan hak yang berbeza. Pemikiran sektarian ini jelas melanggar prinsip kebergantungan rantaian nilai.
Difahami bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sendiri tidak pernah mengeluarkan data kutipan cukai negara berdasarkan etnik atau bangsa justeru di mana kebenaran fakta tersebut.
Sebenarnya dalam ekosistem ekonomi kontemporari, kekayaan korporat tidak boleh wujud secara mutlak tanpa ekosistem domestik yang stabil. Peniaga swasta memerlukan rantaian bekalan, kestabilan infrastruktur perundangan dan yang paling utama, kuasa beli daripada jutaan pengguna serta kakitangan awam yang majoritinya terdiri daripada kaum pribumi.
Cukai yang terhasil merupakan manifestasi sinergi kolektif seluruh rakyat Malaysia, bukannya hak milik eksklusif sesuatu kaum. Begitu juga dalam aspek pertahanan negara, isu penyertaan yang rendah daripada komuniti bukan Bumiputera dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sering kali dipolemikkan untuk meragui tahap kesetiaan mereka.
Walaupun pola statistik rekrutmen dipengaruhi oleh dinamika pasaran kerja swasta dan persepsi mobiliti kerjaya, lembaran sejarah tidak boleh dinafikan. Pengorbanan mempertahankan maruah Tanah Melayu daripada ancaman komunis dan konfrontasi luar telah menyaksikan ramai perwira pelbagai kaum gugur di medan perang.
Ulama tersohor, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, ketika mensyarahkan tindakan Rasulullah SAW yang mempercepatkan kenderaannya setiap kali menghampiri kota Madinah, mengesahkan bahawa kecintaan dan kerinduan terhadap tanah air yang aman adalah fitrah kemanusiaan yang sahih dan mulia.
Ia menjadi dalil kepada galakan menyemai kasih sayang dan kecintaan terhadap negara. Maka, pengisian “jiwa merdeka” pada alaf baharu ini tidak harus disempitkan kepada dimensi tertentu semata-mata, sebaliknya dizahirkan melalui sumbangan berimpak tinggi dalam sektor profesional, sains, teknologi dan integriti sosial demi kelangsungan maruah negara.
Pada titik fasa ini, bulan kemerdekaan sepatutnya menjadi platform untuk memperkukuh persetujuan murni yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Pengiktirafan hak keistimewaan pribumi (Perkara 153) dan pemandatan hak kewarganegaraan komuniti bukan Bumiputera ialah intipati Kontrak Sosial yang dicapai melalui model perkongsian kuasa yang matang . Membangkitkan semula pertikaian terhadap pasak perundangan ini pada setiap kali tibanya bulan Ogos hanyalah tindakan retorik yang merosakkan fabrik perpaduan nasional.
Hakikatnya, kemerdekaan Tanah Melayu yang melahirkan Malaysia hari ini bukanlah sebuah cek kosong yang boleh dituntut mengikut selera pasaran komersial semasa. Mempertikaikan perlembagaan atau membiarkan maruah Jalur Gemilang dirobek oleh kecuaian teknikal korporat yang berulang adalah satu bentuk penderhakaan halus terhadap sejarah watan.
Kelangsungan sebuah negara bertamadun tidak dibina di atas retorik tuntutan hak kelompok, tetapi di atas batu bata tanggungjawab sivik. Sudah tiba masanya segala tuntutan yang melintasi garisan Kontrak Sosial dihentikan dan momentum Ogos ini dimanfaatkan untuk mengikat kembali sumpah setia kita kepada bumi bertuah ini, sebagai satu Bangsa Malaysia yang patuh pada undang-undang dan setia pada negara.
Hayatilah pesanan berhikmah daripada Saidina Umar bin al-Khattab RA: “Jika bukan kerana adanya cinta akan tanah air, niscaya akan rosak negeri yang gersang, maka disebabkan cinta tanah airlah, dibangunkan dan dimakmurkan negeri-negeri”.
Semua rakyat Malaysia wajib memahami bahawa keharmonian Malaysia tidak akan mampu bertahan sekiranya ada pihak yang terus-menerus mengukur nilai kewarganegaraan melalui neraca angka material atau dongengan dominasi ekonomi sepihak.
Menghormati sekecil-kecil protokol Jalur Gemilang dan mematuhi sebesar-besar peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah harga mati yang tidak boleh ditawar menawarkan lagi. Mengambil iktibar daripada ulasan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani tentang fitrah mencintai tanah air, kesetiaan sejati tidak diukur dengan retorik apa yang boleh kita tuntut, tetapi apa yang telah kita korbankan untuk mengekalkan kedamaian.
Ayuh kita bersihkan bulan Ogos daripada sengketa hak, padamkan keangkuhan ekonomi sektarian, dan pasakkan tekad untuk mempertahankan maruah serta kedaulatan tanah air ini daripada sebarang bentuk penjajahan minda alaf baharu. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Negara.

