Cerita yang merungkai pengertian sebuah kehidupan yang merdeka
Suatu karya kreatif yang dapat meningkatkan jati diri dan memberi makna yang mendalam pada jiwa manusia yang mentafsir, memahami dan bertindak mengikut pertimbangan kebijaksanaan individu.

CUKUP menarik apabila setiap kali menjelangnya bulan kemerdekaan, kita akan melihat pelbagai iklan berkonsepkan video pendek disajikan bagi tatapan masyarakat umum dalam menyelami erti kemerdekaan.
Lebih menarik lagi apabila kandungannya sentiasa menggariskan tentang erti kemerdekaan berdasarkan konteks zaman atau situasi semasa yang penuh dengan tema seperti sejarah dan pengorbanan, konsep kasih sayang sesama insan, nilai murni persahabatan, keharmonian bermasyarakat, pandangan hidup dan pelbagai lagi, sekali gus memberikan perspektif yang bermakna dalam mendefinisikan erti kemerdekaan bagi setiap lapisan masyarakat.
Suatu karya kreatif yang dapat meningkatkan jati diri dan memberi makna yang mendalam pada jiwa manusia yang mentafsir, memahami dan bertindak mengikut pertimbangan kebijaksanaan individu. Penyampaian idea dan corak pemikiran melalui karya kreatif sangat bermanfaat malah berupaya menggalakkan pemikiran kritis dalam merungkai maksud sebuah kehidupan yang merdeka.
Tidak hanya tertumpu pada galur sejarah kemerdekaan namun lebih kepada pengharapan masa hadapan yang cukup bermakna. Perjalanan panjang pengorbanan masyarakat terdahulu akan diteruskan dengan ertikata sebuah kesedaran pada kecintaan terhadap tanah air. Keterujaan untuk terus meneroka dan merungkai makna yang terkandung dalam erti kemerdekaan yang lebih luas ruang lingkupnya.
Iklan merdeka ini secara tidak langsung membantu memupuk rasa bangga terhadap sejarah negara, identiti kebangsaan dan memberi penghayatan mendalam berkaitan semangat patriotisme terutamanya dikalangan golongan muda. Gabungan elemen audio visual dan naratif yang sarat dengan unsur sejarah, falsafah, budaya dan tradisi warisan diyakini dapat memindahkan semangat kemerdekaan agar segar dijiwa generasi serba moden kini.
Persoalannya, mengapakah saban tahun iklan berkonsepkan video pendek ini senantiasa diterbitkan dengan pelbagai genre dan pengkisahan dalam menyantuni sambutan Hari Kemerdekaan?. Adakah masyarakat perlu sentiasa diingatkan perihal semangat cintakan negara tanpa jemu? Untuk meneroka jawapan ini memerlukan perenungan yang mendalam dalam meniti konsep mendengar, melihat dan menyerap makna seiring tindakan seorang insan.
Secara asasnya, setiap perbuatan yang memerlukan tindakan bersama adalah bermula dengan mendengar dan melihat. Deria pendengaran dan penglihatan adalah sangat penting dalam kehidupan manusia dan merupakan antara sebab mengapa manusia melakukan tindak balas yang seiring dengan sesuatu situasi.
Secara ringkasnya, pendengaran akan mengenalpasti dan membantu memahami sesuatu kata pertuturan. Penglihatan pula akan mengimbangkannya dengan menyediakan maklumat tentang sesuatu keadaan. Maka kedua-duanya saling berfungsi untuk membantu individu untuk mengesan rangsangan, memahami keadaan, merancang tindakan dan memberi respons yang bersesuaian.
Bermula dengan mendengar dan melihat akan sesuatu perkara, secara pemahaman biasa akan membentuk aliran pemikiran yang diakhirnya akan menjadi penghayatan melalui amalan jika diterokai dengan berkesan.
Kefahaman akan masuk ke dalam hati seseorang untuk melakukan perubahan yang bersesuaian dengan sesuatu mesej dan kekerapan pendedahan tersebut akan membentuk kepada kepatuhan yang terbina secara semula jadi tanpa sebarang paksaan. Hal ini lebih kepada pertimbangan kewajaran samada sesuatu perkara itu harus diterima untuk dilaksanakan atau menangkis jika melibatkan sesuatu yang bertentangan.
Ini termasuklah apabila seseorang individu terdedah kepada karya kreatif yang berbentuk abstrak iaitu medium menyalurkan makna dan merangsang tafsiran serta memperluaskan batasan imaginasi yang dicerap melalui pancaindera. Individu perlu mendengar untuk memahami, melihat untuk membuat tafsiran situasi dan kemudian disimpulkan dengan tindakan supaya sealiran dengan mesej yang diutarakan.
Karya iklan kemerdekaan seperti ini berupaya menggerakkan daya pemikiran dan imaginasi penonton untuk mentaati segala mesej yang dijelmakan dalam pelbagai situasi yang secara praktik memberikan kesedaran dan penerapan tindakan susulan bagi menyemarakkan semangat masyarakat.
Khalayak akan dipandu dengan mesej-mesej erti kemerdekaan yang pada dasarnya seolah-olah meletakkan diri penonton pada latar masa, tempat dan situasi sesebuah iklan video pendek. Pendek kata, erti kemerdekaan dalam pelbagai konteks kehidupan yang dijelmakan, dijadikan wadah untuk menghidupkan suasana sambutan kemerdekaan agar lebih harmoni kepada masyarakat.
Iklan video pendek ini seharusnya diulang-ulang tayangannya bagi membawa makna dan penekanan kepada masyarakat peri pentingnya erti sebuah kemerdekaan. Pengulangan tidak terhad pada iklan yang sama namun lebih kepada pembikinan baharu yang menampilkan olahan kreatif yang menjelmakan kematangan mesej kemerdekaan bersandarkan perubahan merentasi zaman. Pengulangan secara konsisten saban tahun bakal menampakkan kesan yang lama-kelamaan akan disambut berkesinambungan oleh pelbagai masyarakat sebagai wahana yang membawa penyatuan pendapat, tertib keharmonian, suburkan kasih sayang dan suara perpaduan dikalangan masyarakat.
Maksudnya, iklan berorientsikan video pendek adalah salah satu cara terbaik untuk memperkasakan mesej kemerdekaan jika dilakukan dengan secara terancang, pendekatan berbeza dan menerap nilai-nilai keinsafan serta kesedaran dengan teliti. Justeru, kreativiti dalam merencanakan naratif kemerdekaan melalui video pendek adalah landasan kepada pengarah atau penerbit untuk memantapkan institusi masyarakat dengan falsafah kemerdekaan melalui karya yang bermutu tinggi dan bermakna.
Malah, iklan video pendek jua berfungsi dalam pembentukan sahsiah diri dengan memperlihatkan contoh perilaku yang baik dan menanam nilai-nilai tanggungjawab serta membantu masyarakat memahami keadaan untuk mendorong perubahan positif melalui naratif penceritaan dalam lingkungan mesej kemerdekaan.
Pada sisi lain, kebanyakkan mesej kemerdekaan yang dibawakan kini secara dasarnya adalah berteraskan sifat kasih sayang di antara masyarakat di Malaysia. Kasih sayang adalah asas penting untuk menggapai keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Negara kita dibina atas landasan perpaduan masyarakat yang erat dalam usaha bersama memajukan negara dengan segala liku-liku perjalanan yang panjang.
Kesimpulannya, setiap iklan kemerdekaan adalah menuju untuk membawa pemikiran masyarakat dengan mengagumi contoh yang baik dan membudayakan segala mesej kehidupan masyarakat yang berjiwa merdeka dalam kehidupan seharian. Kehadirannya sebagai alat untuk mencipta kesepaduan pendapat dalam membentuk pemahaman dan tindakan susulan yang membawa pelengkap dalam menyemai sebuah kesempurnaan penghayatan erti kemerdekaan.

