Universiti giat guna AI tetapi bagaimana dengan kelestarian ESG?

Penggunaan AI dalam pendidikan tinggi Malaysia mencetuskan persoalan tentang percanggahan antara transformasi digital, ESG dan tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.

Feature Image

AI semakin digunakan universiti Malaysia, namun persoalan timbul mengenai jejak karbon, penggunaan air dan kesan alam sekitar dalam agenda kelestarian ESG.

TERKINI, wujud satu percanggahan yang janggal dalam sistem pendidikan tinggi Malaysia.

Sejak kebelakangan ini, universiti-universiti di Malaysia semakin memberi penekanan terhadap perihal kelestarian (sustainability) kepada para mahasiswa. Bahawa kelestarian itu signifikan. Universiti telah mewujudkan program ESG, menerbitkan laporan kelestarian organisasi, melancarkan inisiatif kampus hijau, mengukur jejak karbon, dan menggalakkan pelajar menjadi warga global yang bertanggungjawab lagi prihatin.

Ironinya, pada masa yang sama, universiti juga sedang giat mengguna pakai kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) di dalam dewan kuliah.

Bolehkah universiti benar-benar mendakwa mereka memartabatkan kelestarian, tetapi sambil mempromosikan teknologi AI? Ini seakan satu tindakan yang hipokrit, kerana AI adalah satu teknologi yang kesan alam sekitarnya jarang diukur dan inilah sebabnya kita harus mula bercakap tentang kos alam sekitar.

AI tidak wujud dalam dunia digital tanpa implikasi terhadap alam sekitar. AI mempunyai jejak fizikal.

Di sebalik setiap carian dan jawapan yang dijana AI terdapat data centre, processors berkuasa tinggi, servers, sistem cooling, grid elektrik, penggunaan sumber air, pembuatan semikonduktor, dan akhirnya sisa elektronik.

Kesan Alam Sekitar AI

The United Nations University menyatakan perkara ini dengan tegas dalam penilaian kos alam sekitar AI pada Jun 2026. Penyelidiknya menganggarkan bahawa “global data centres” yang menguasakan AI menggunakan 945 terawatt/jam elektrik setiap tahun menjelang 2030. Angka itu adalah tiga kali ganda penggunaan elektrik tahunan bagi Pakistan, Bangladesh dan Nigeria.

Laporan itu juga menganggarkan bahawa jejak air bagi menguasakan AI menyamai keperluan asas air tahunan untuk 1.3 bilion orang, manakala jejak tanah pula boleh melebihi 14,500 kilometer persegi.

Ini bukanlah angka yang kecil dan ini seharusnya memaksa kita untuk mempertimbangkan semula frasa “transformasi digital”, kerana digital tidak bermaksud bebas daripada kesan alam sekitar.

Bagaimanapun, pada Mac 2026, kesemua 20 universiti awam Malaysia secara rasminya mendayakan Gemini for Education, menjangkau hampir 600,000 pelajar dan 75,000 ahli fakulti. Dalam inisiatif yang sama, kira-kira 40,000 pensyarah diberi akses kepada Google AI Pro for Education, manakala 128,000 pelajar menerima akses kepada NotebookLM Enterprise.

Hala tujunya jelas. AI bukan lagi teknologi eksperimen, tetapi ia semakin pantas menjadi sebahagian daripada infrastruktur pendidikan Malaysia.

Seorang pelajar menaip soalan ke dalam sistem AI, ChatGPT atau Gemini. Dalam beberapa saat, jawapan muncul di skrin. Barapa tenaga yang telah digunakan untuk carian ini? Berapa kos alam sekitar yang telah dijana oleh carian ini?
Mungkin ia menggunakan tenaga dan kos alam sekitar yang sangat sedikit.

Namun, gandakan kos ini setiap kali, apabila ratusan atau ribuan pelajar menggunakan AI. Situasi ini merentasi universiti awam Malaysia, universiti swasta, sekolah, guru, pensyarah, penyelidik, kakitangan pentadbiran, dan pelbagai jenis pengguna lain. Ia mewujudkan satu ekosistem di mana jutaan interaksi AI berlaku setiap kali.

Persoalan ESG AI

Di sinilah persoalan ESG muncul. ESG tidak melihat satu transaksi secara berasingan. ESG melihat secara menyeluruh pada skala, impak luaran, dan kitaran hayat.

Universiti secara rutin mendidik pelajar bahawa organisasi perlu menitik beratkan kesan alam sekitar. Kesan alam sekitar seperti pelepasan karbon, penggunaan air, dan rantaian bekalan. Universiti mendidik pelajar bahawa penggunaan sumber dengan penuh tanggungjawab adalah sebahagian daripada pembangunan lestari yang bakal memebentuk masa depan yang lebih mampan tetapi apabila universiti menerima pakai AI merentasi ekosistem pengajaran dan penyelidikannya, berapa banyak penggunaan elektrik tambahan yang dihasilkannya? Berapa banyak air yang secara tidak langsung dikaitkan dengan penggunaan tersebut? Apakah jejak karbon yang berkaitan? Adakah universiti telah mengambil kira kesan-kesan alam sekitar ini ke dalam penilaian kelestarian institusi mereka sendiri?

Bukankah Tindakan Ini Kelihatan Hipokrit?

Mengapa sesebuah universiti dibenarkan meraikan transformasi AI tanpa mempertimbangkan kesan alam sekitar yang dihasilkan oleh transformasi tersebut?

Maka mungkin kita perlu mempertimbangkan semula apa yang kita maksudkan apabila kita mengatakan sesebuah institusi itu “mampan”. Ini kerana ESG tidak boleh bersikap selektif. ESG pada asasnya adalah tentang mengenali bahawa setiap keputusan oleh mana-mana organisasi mempunyai akibat yang melangkaui faedah kewangan atau operasi mereka, ini termasuk sebuah universiti.

AI, Teknologi Revolusioner Yang Tidak Lestari

AI adalah satu teknologi yang revolusioner yang bernilai pada Pembangunan ekonomi. Namun, sesuatu teknologi revolusioner tidak secara automatik menjadikannya lestari.

AI tidak sepatutnya terkecuali daripada mana-mana prinsip ESG. Percanggahan AI dan ESG bukan semata-mata dalam konteks dimensi alam sekitar (E, Environmental Dimension). Ia juga bercanggah dalam konteks dimensi sosial (S, Social Dimension).

Sebagai contoh; apa yang berlaku apabila pelajar bergantung kepada AI untuk menulis, berfikir, berdiskusi, menganalisis, menaakul, dan menyelesaikan masalah? Apa yang berlaku kepada kebebasan intelektual dan kreativiti mental mereka? Apa yang akan berlaku kepada kualiti kejayaan akademik mereka?

Ini adalah soalan kelestarian sosial, kerana pendidikan bukan sekadar untuk menghasilkan graduan yang cekap dari segi teknologi, tetapi ia harus menghasilkan insan yang berkebolehan secara inteleknya.

Universiti Memerlukan Dasar Polisi Kelestarian AI

Jika universiti serius tentang ESG, mungkin penggunaan AI harus disertakan dengan disiplin yang sama. Sebelum menggalakkan penggunaan AI yang meluas, institusi pendidikan harus mempertimbangkan untuk mengukur kesan ESG oleh AI.
Universiti hanya perlu menggunakan AI apabila nilai pendidikannya sewajar dengan kos penggunaan sumber alam sekitarnya. Perlunya mendidik pelajar tentang kos alam sekitar AI. Universiti tidak perlu menggunakan AI hanya kerana ia tersedia dan memudahkan.

Sebaliknya, universiti perlu bertanya, “adakah penggunaan AI perlu disini?” dan “apakah kosnya terhadap alam sekitar?”
Kita tidak boleh mengajar kelestarian sebagai teori sambil mengamalkan penggunaan teknologi tanpa refleksi mendalam akan akibatnya. Jika universiti mahu pelajar menjadi profesional yang sedar akan ESG, maka universiti sendiri mesti menunjukkan bagaimana rupa penggunaan sumber alam yang bertanggungjawab.

AI mungkin mengubah pendidikan. Ia mungkin meningkatkan penyelidikan, kebolehcapaian, produktiviti, dan pembelajaran. Tetapi inovasi tidak sama dengan kelestarian. Dan transformasi digital bukanlah transformasi hijau yang automatik.
Maka ujian sebenar universiti yang berorientasikan ESG bukanlah sama ada ia sedia menerima pakai teknologi terkini. Ujian sebenarnya adalah sama ada universiti mempunyai keberanian untuk mempersoalkan kos teknologi tersebut. Sama ada faedahnya sewajar dengan kosnya.

Jika kita mendidik pelajar bahawa setiap organisasi mesti bertanggungjawab atas impak alam sekitar, universiti juga tidak terkecuali. Ia perlu berpegang pada piawaian yang sama.