Ancaman personaliti ‘Dark Triad’ dalam perkhidmatan awam
Kehadiran individu berpersonaliti Dark Triad dalam perkhidmatan awam berisiko menjejaskan integriti, moral pekerja dan keberkesanan organisasi. Langkah proaktif perlu diperkasa bagi membendung manipulasi, buli psikologi dan salah guna kuasa.

APABILA mengatakan tentang isu kecekapan dan integriti perkhidmatan awam di Malaysia, tumpuan kebiasaannya terarah kepada kelemahan sistem, kerenah birokrasi atau salah guna kuasa secara terbuka.
Namun, terdapat satu ancaman tersembunyi yang jarang didedahkan tetapi berupaya merobek keharmonian organisasi dari dalam, iaitu kehadiran individu berpersonaliti Dark Triad.
Dalam domain psikologi moden, konsep yang diperkenalkan oleh Delroy Paulhus dan Kevin Williams pada tahun 2002 ini merujuk kepada perhimpunan tiga sifat personaliti sub-klinikal yang berisiko tinggi iaitu Machiavellianism yang berpandukan prinsip matlamat menghalalkan cara, Narcissism, sifat ego melampau, dahagakan pujian dan pengiktirafan serta ketidakupayaan menerima kritikan dan teguran, dan Psychopathy, yang bersifat mengeksploitasi, manipulatif, mementingkan diri tanpa rasa bersalah (no conscience).
Berbeza dengan gangguan mental klinikal, individu ini wujud dalam spektrum normal, berpendidikan tinggi dan sering kelihatan mempesonakan pada peringkat awal sebelum sifat sebenar mereka mula merosakkan ekosistem kerja.
Dalam konteks perkhidmatan awam yang dibina atas prinsip integriti, nilai kesepakatan dan penyampaian perkhidmatan untuk rakyat, kehadiran personaliti toksik ini membawa impak yang amat merosakkan. Individu berciri Machiavellianism kerap menggunakan taktik adu domba dan politik pejabat demi mengejar kenaikan pangkat, di mana rakan sekerja dipandang semata-mata sebagai batu loncatan manakala individu berpaksi Narcissism pula sentiasa dahagakan pengiktirafan dan cepat bertindak agresif apabila ditegur, sekali gus mewujudkan budaya kerja yang kaku kerana warga kerja lain mula takut untuk bersuara.
Ancaman paling kritikal berpunca daripada ciri Psychopathy kerana pegawai terbabit tidak teragak-agak melanggar prosedur, menyalahgunakan kuasa, serta mengamalkan budaya buli psikologi terhadap subordinat tanpa sebarang rasa penyesalan atau sebarang pertimbangan terhadap orang lain.
Kesan kehadiran sifat terlarang ini bukan sekadar menyebabkan perselisihan faham biasa di pejabat, malah menjejaskan keseluruhan struktur organisasi dan menurunkan daya pengeluaran. Moral pekerja berintegriti akan merosot apabila melihat individu manipulatif diberi ganjaran manakala usaha rakan sekerja lain dieksploitasi.
Tekanan emosi yang berpanjangan ini akhirnya mengakibatkan kejatuhan prestasi kerja, peningkatan cuti sakit, dan pemberhentian pegawai yang berpotensi. Lebih membimbangkan, apabila keputusan rasmi organisasi mula dipengaruhi oleh agenda peribadi individu yang berciri manipulatif ini, dasar yang digubal berisiko berat sebelah dan akhirnya gagal mencapai matlamat kebajikan rakyat.
Memandangkan sifat ini tertanam dalam struktur personaliti dan bukannya penyakit yang boleh disembuhkan dengan kaunseling atau ubat, perkhidmatan awam perlu mengambil langkah proaktif untuk melindungi persekitaran kerja.
Proses penilaian kenaikan pangkat tidak harus bersandar kepada pencapaian angka atau KPI individu semata-mata, sebaliknya ujian psikometrik integriti dan penilaian secara menyeluruh daripada rakan setaraf serta pegawai bawahan perlu diperkasa.
Pada masa yang sama, saluran aduan yang selamat dan berkesan wajib disediakan agar amalan buli dan eksploitasi dapat dilaporkan tanpa rasa takut. Organisasi juga perlu memupuk kepimpinan berasaskan nilai kebaikan dan rasa hormat sesama rakan sekerja bagi mewujudkan persekitaran kerja yang selamat.
Bagi warga kerja yang terpaksa berhadapan dengan rakan sekerja berciri toksik ini, langkah terbaik adalah dengan mengekalkan profesionalisme secara berfakta dan mendokumenkan setiap urusan kerja melalui e-mel atau hitam putih.
Kebajikan rakyat dan kemajuan bangsa amat bergantung kepada kesihatan persekitaran kerja para penjawat awamnya, maka sudah sampai masanya kita tidak lagi memandang remeh aspek dinamik psikologi ini. Dengan mengenali taktik manipulasi dan memperkukuh amalan nilai murni, kita bukan sahaja dapat mempertahankan integriti perkhidmatan awam, malah memastikan persekitaran kerja kekal kondusif, adil dan berorientasikan kesejahteraan bersama.

