Digitalisasi kesihatan, ikhtiar baik tetapi belum memadai

Pendigitalan sektor kesihatan awam mampu meningkatkan kecekapan rawatan, namun kekurangan petugas dan fasiliti perlu ditangani bagi mengurangkan tempoh menunggu pesakit.

Feature Image (3)

KIRA-KIRA 9 jam sebelum tibanya detik 31 Ogos 2026 baru-baru ini, rakyat Malaysia telah diperdengarkan satu pesanan bermakna daripada lisan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri Malaysia. Dalam pesanan yang disampaikan semasa Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan itu, Perdana Menteri telah membawa rakyat untuk mengimbau kembali erti kemerdekaan yang diperjuangkan oleh para pemimpin terdahulu serta cabaran-cabaran semasa yang perlu dihadapi bersama untuk terus melangkah ke hadapan.

Turut diselitkan dalam ucapan padat berdurasi sekitar 35 minit itu ialah enam ikhtiar kerajaan dalam meringankan beban ekonomi serta sosial yang menjadi keluh-kesah rakyat belakangan ini.

Satu daripada enam ikhtiar tersebut, atau lebih tepatnya ikhtiar keempat, menyentuh langkah pendigitalan sektor kesihatan awam yang merangkumi pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik juga ketersambungan internet di fasiliti-fasiliti kesihatan awam. Matlamat utama ikhtiar ini adalah bagi memendekkan tempoh menunggu untuk menerima rawatan di 150 buah hospital serta lebih 2000 buah klinik kesihatan kerajaan sedia ada.

Pastinya ikhtiar ini wajar dipuji kerana bakal memberi sedikit kelegaan kepada berjuta-juta rakyat yang bergantung kepada klinik-klinik serta hospital-hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan, sama ada disebabkan ketidakmampuan mereka untuk mendapatkan rawatan swasta, ataupun kerana lebih yakin dengan kepakaran petugas-petugas kesihatan awam. Meskipun begitu, patut juga ditanya: sejauh manakah pendigitalan fasiliti kesihatan awam ini nanti dapat membantu untuk memendekkan tempoh menunggu di fasiliti kesihatan awam?

Sememangnya pendigitalan akan menyumbang kepada kecekapan dan seterusnya menyingkatkan tempoh menerima rawatan, namun begitu perlu juga dicermati akar utama yang menjadi penyumbang terbesar kepada kesesakan dan kelewatan yang dialami oleh para pesakit. Seandainya akar utama ini tidak diatasi, impak pendigitalan ini mungkin tidak begitu optimal.

Jika ditelusuri dapatan rasmi mahupun ulasan di media sosial, dua penyumbang paling signifikan kepada tempoh menunggu yang panjang ini ialah kekurangan sumber manusia serta fasiliti, termasuk bangunan, katil, serta alat kelengkapan perubatan.

Oleh yang demikian, usaha seterusnya wajar ditumpukan kepada dua aspek tunjang ini agar tempoh menunggu dapat dipendekkan lagi ke tahap yang lebih memuaskan. Memandangkan kedua-dua aspek ini memerlukan biaya yang sangat besar untuk diatasi, kerajaan perlu menelitinya daripada sudut pandang yang lebih inovatif dan cermat, agar perbelanjaannya dapat dikurangkan dan pada masa yang sama tidak menjejaskan populariti kerajaan dengan ketara. Bak kata bidalan, umpama menarik rambut dalam tepung, rambut jangan terputus dan tepung jangan tertumpah.

Langkah pertama yang perlu disegerakan adalah satu kajian berskala besar untuk mengetahui kadar kenaikan caj rawatan di fasiliti kesihatan awam yang boleh diterima oleh para pesakit. Adalah diyakini bahawa majoriti besar rakyat Malaysia menyedari bahawa caj RM1 yang dikenakan bagi rawatan pesakit luar, serta serendah RM10 untuk pembedahan, adalah terlampau rendah dan sangat tidak berpadanan dengan khidmat kesihatan yang diterima.

Pastinya sedikit kenaikan caj rawatan ini akan dapat diterima oleh mereka dengan akal yang rasional, selagi mana ianya tidak melepasi nilai ambang yang dirumuskan oleh kajian yang dicadangkan tadi.

Sekiranya caj ini dinaikkan kepada RM3 sekalipun, ianya akan menggandakan pendapatan yang diperolehi daripada pusat-pusat rawatan pesakit luar ini sebanyak 200 peratus. Walaupun benar jumlah kenaikan ini masih terlalu jauh untuk menampung keseluruhan kos rawatan yang ditanggung kerajaan, namun setidak-tidaknya ianya menringankan sedikit beban kewangan negara.

Antara sebab utama pesakit memilih untuk ke hospital kerajaan, khasnya bagi pesakit dalam, adalah kerana ketidakmampuan mereka melanggan skim insurans atau takaful yang membolehkan mereka menerima rawatan di fasiliti kesihatan swasta.

Mungkin ada baiknya sekiranya diwujudkan satu skim insurans atau takaful khas terhad untuk rawatan di hospital kerajaan sahaja, dan tidak meliputi kos perubatan di hospital swasta. Pemilik polisi ini boleh mendapatkan rawatan di hospital kerajaan secara percuma, dan pihak insurans atau takaful terlibat akan membayar kos sebenar rawatan pemegang polisi kepada kerajaan. Langkah ini pasti dapat melegakan kerajaan memandangkan kos rawatan berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penyedia insurans atau takaful.

Disebabkan kos sebenar rawatan di hospital kerajaan adalah jauh lebih rendah dan tidak mengandungi unsur pengambilan untung seperti di hospital swasta, yuran langganan bagi polisi insurans atau takaful ini pastinya dapat diturunkan ke tahap minimum dan mampu untuk dilanggan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.

Sekiranya tidak ada syarikat insurans atau takaful yang sanggup menawarkan skim sedemikian, kerajaan boleh bekerjasama dengan PERKESO agar ia menjadi penyedia tunggal bagi skim ini. Tentunya PERKESO mampu menjalankan amanah ini dengan baik memandangkan organisasi ini telah pun kukuh bertapak dan mempunyai penyumbang yang begitu ramai melalui skim sedia ada. Bahkan, mungkin boleh direncana agar sebahagian kecil kos skim ini dimasukkan sebagai caruman mandatori melalui mekanisme undang-undang seperti Akta PERKESO sedia ada.

Usaha seterusnya yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan untuk mengurangkan lagi beban kewangan kesihatan awam ialah mewujudkan satu dana wakaf kesihatan awam. Berdasarkan laporan kewangan badan-badan bukan kerajaan yang mengutip derma daripada rakyat kebanyakan, dapat disimpulkan bahawa rakyat Malaysia secara umumnya sangat bermurah hati dan tidak lokek memberikan derma.

Justeru, dana wakaf yang dicadangkan ini berpotensi untuk mendapat sambutan yang baik di kalangan rakyat terutama sekali jika segala rekod kewangannya dibuat secara telus dan boleh dicapai dengan mudah oleh para penyumbang.

Dana yang diperolehi daripada tabung wakaf ini tadi boleh digunakan untuk membiayai kos-kos langsung berkaitan dengan fasiliti kesihatan, seperti pembelian katil, alat-alat diagnostik semisal mesin pengimbas sinar X, MRI dan CT, bahkan boleh menampung kos pembinaan hospital baharu sekiranya mencukupi. Bagi menggalakkan umat Islam menyumbang kepada dana ini, kerajaan juga boleh bekerjasama dengan Majlis-Majlis Agama Islam di seluruh Malaysia untuk menyebarkan manfaat menyumbang kepada dana wakaf ini melalui mimbar-mimbar Jumaat.

Seandainya ketiga-tiga usaha di atas ini berjaya dilaksanakan, dipercayai kerajaan dapat melegakan beban kewangan berjumlah berbilion ringgit yang terpaksa ditanggung selama ini. Hasil daripada penjimatan ini boleh digunakan sebahagiannya untuk menambah bilangan petugas kesihatan sekaligus mengekalkan petugas-petugas sedia ada.

Ini kerana, hospital yang serba lengkap dengan segala kemudahan pastinya tidak akan dapat beroperasi dengan berkesan sekiranya tiada bilangan petugas kesihatan yang mencukupi – seperti yang dilaporkan berlaku di Hospital Pasir Gudang baru-baru ini.

Seperti diketahui umum, struktur kadar upah serta perjawatan secara kontrak adalah antara faktor utama yang membuatkan petugas-petugas kesihatan ini menamatkan khidmat dengan kerajaan. Ini seterusnya menjadi titik tolak kepada satu kitaran ganas yang menjadikan beban kerja para petugas kesihatan menjadi terlampau tinggi.

Situasi ini akan mendorong lebih ramai petugas kesihatan untuk meninggalkan perkhidmatan kerajaan. Beban kerja yang tidak munasabah ini juga menyumbang kepada tekanan emosi yang membuatkan persekitaran kerja menjadi tidak harmoni.

Mungkin ada baiknya sekiranya isu-isu perjawatan di sektor kesihatan awam ini diuruskan oleh satu suruhanjaya khas yang dianggotai oleh petugas-petugas kesihatan awam sendiri, dengan mengambil input-input di lapangan.

Antara isu utama yang harus dicermati Suruhanjaya ini ialah struktur kadar upah, tempoh bekerja, peluang melanjutkan pengajian, dan peruntukan cuti bagi petugas kesihatan. Diharapkan dengan adanya suruhanjaya sedemikian, satu formula yang mujarab dapat dikemukakan bagi mengecilkan nisbah petugas kesihatan kepada setiap pesakit, seterusnya memendekkan tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan.

Apabila dua aspek utama ini dapat ditangani dengan baik, impak pendigitalan sektor kesihatan awam pasti menjadi berlipat kali ganda daripada apa yang diperolehi sekiranya ianya dilaksanakan dengan mengabaikan dua tunjang utama ini. Ini akhirnya akan memberikan pulangan atas pelaburan yang lebih besar dan bermakna, sekaligus meningkatkan kepuasan hati pesakit serta keberkesanan rawatan.