Menyeimbang antara harapan ibu bapa dan kesejahteraan keluarga
Harapan ibu bapa terhadap pencapaian akademik dan masa depan anak dipengaruhi faktor budaya, ekonomi serta naluri untuk melindungi keluarga.

SOROTAN lanskap perbualan keluarga kebanyakannya berkisar tentang topik berkaitan pencapaian dan masa depan anak-anak yang menjadi fokus utama. Tanpa disedari, ramai anak dan remaja hari ini memikul beban harapan yang cukup berat di bahu mereka.
Bermula daripada keputusan peperiksaan, pilihan aliran persekolahan, hinggalah ke pentas kerjaya impian, ekspektasi ibu bapa sentiasa mengiringi setiap langkah kehidupan. Namun, timbul satu persoalan asas mengapa ibu bapa begitu cenderung meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada anak-anak mereka? Adakah ia sekadar naluri kasih sayang atau wujud dorongan persekitaran yang mendesak ibu bapa untuk bertindak sedemikian?
Hakikatnya, fenomena ini berakar daripada interaksi kompleks antara faktor budaya, persepsi jaminan masa depan, dorongan motivasi, serta latar belakang sosioekonomi sesebuah keluarga.
Dalam konteks masyarakat Asia yang kolektif, kejayaan anak-anak jarang dilihat sebagai pencapaian peribadi semata-mata. Sebaliknya, ia sering dianggap sebagai cerminan kepada keberkesanan asuhan ibu bapa serta simbol nilai sesebuah keluarga di mata masyarakat.
Pencapaian cemerlang dalam akademik atau kerjaya dipandang tinggi kerana ia membawa kebanggaan dan kehormatan (honor) kepada nama keluarga. Keadaan ini secara tidak langsung membentuk norma sosial di mana prestasi anak dijadikan pengukur kedudukan dan martabat keluarga dalam komuniti.
Skema dan aturan keluarga yang tidak mahu anak “ketinggalan” atau membawa imej yang kurang memuaskan mendorong ibu bapa meletakkan tanda aras yang tinggi malah kelihatan tidak realistik sejak anak-anak mereka masih di bangku sekolah lagi.
Selain faktor nilai dan maruah, dorongan utama di sebalik harapan tinggi ibu bapa adalah kebimbangan terhadap kelangsungan hidup dan keselamatan masa depan anak-anak. Dalam dunia yang semakin mencabar dan kompetitif, ibu bapa memandang kecemerlangan akademik sebagai “tiket emas” atau benteng perlindungan yang paling ampuh.
Secara umumnya, ibu bapa percaya bahawa pencapaian akademik yang tinggi akan membuka pintu kepada peluang pekerjaan yang lebih baik, status sosial yang tinggi, serta jaminan ekonomi supaya anak-anak dapat berdikari apabila melangkah ke alam dewasa.
Bagi kebanyakan ibu bapa, desakan dan harapan yang tinggi ini bukanlah bertujuan untuk menindas, sebaliknya bersumberkan rasa bimbang sekiranya anak-anak mereka gagal bertahan dalam arus ekonomi masa depan yang kian mencabar.
Malah, niat asal ibu bapa meletakkan harapan adalah sebagai dorongan atau motivasi supaya anak-anak berusaha dengan lebih gigih dan tidak mudah berputus asa. Pelbagai kajian psikologi mengesahkan bahawa harapan dan jangkaan positif daripada ibu bapa sememangnya boleh memberi impak baik terhadap tahap akademik anak.
Walau bagaimanapun, wujud garis yang sangat halus antara dorongan motivasi dan bebanan tekanan. Apabila harapan yang diletakkan terlalu tinggi atau tidak selari dengan kapasiti dan minat sebenar anak, dorongan tersebut mula bertukar menjadi tekanan emosi.
Anak-anak mungkin mula dibayangi rasa takut akan kegagalan, berasa diri mereka hanya dihargai berdasarkan gred, serta mengalami kemerosotan tahap harga diri (self-esteem). Tekanan berterusan ini berisiko mencetuskan isu kesihatan mental dalam kalangan remaja seperti keresahan melampau (anxiety) dan kemurungan.
Faktor seterusnya yang mempengaruhi tahap harapan ibu bapa ialah status sosioekonomi dan latar belakang pendidikan keluarga itu sendiri. Bagi ibu bapa yang mempunyai tahap pendidikan atau kedudukan ekonomi yang tinggi, mereka cenderung meletakkan harapan yang tinggi kerana mahu mengekalkan piawaian atau gaya hidup keluarga yang sedia ada. Mereka mahu anak-anak menyambung warisan kejayaan yang telah dibina.
Sebaliknya, bagi ibu bapa daripada latar belakang sosioekonomi yang serba kekurangan, harapan tinggi yang diletakkan kepada anak kerap menjadi simbol perubah nasib keluarga (social mobility). Anak dipandang sebagai tumpuan utama untuk mengeluarkan keluarga daripada kepungan kemiskinan atau kesusahan hidup.
Memahami punca di sebalik harapan ibu bapa membolehkan kita melihat isu ini daripada sudut pandang yang lebih matang dan berempati. Harapan yang lahir daripada rasa kasih dan kehendak melindungi adalah sesuatu yang semula jadi. Namun, kunci utamanya terletak pada keseimbangan.
Ibu bapa perlu peka untuk mengimbangi antara impian mereka dengan keupayaan unik setiap anak serta kesihatan emosi mereka. Justeru, menghargai usaha melebihi gred semata-mata dan membuka ruang dialog yang telus berupaya memastikan harapan realistik kekal menjadi dorongan yang membina, bukannya igauan yang membebankan dan memperjudikan kesihatan mental anak-anak.

