STDC catat kebolehpasaran graduan lebih 80 peratus, latih 2,500 anak Selangor sejak 2021
Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor merekodkan kadar kebolehpasaran graduan melebihi 80 peratus sejak 2021, hasil latihan TVET dan kerjasama strategik dengan syarikat global seperti Google, BMW dan Festo.
TIM BOSTRIDGE yakin persidangan ini mampu menghasilkan pelaburan yang dirancang apabila para peserta industri hadir untuk melihat bagaimana penyelesaian teknologi baharu mampu membawa perniagaan mereka ke hadapan.
KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2026 – Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan melebihi 80 peratus bagi bidang pembelajaran setara sejak segmen pendidikan industri mula diperkenalkan pada tahun 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif STDC Dr Harizal Hamid berkata pencapaian itu membabitkan seramai 2,500 orang pelatih dalam kalangan anak-anak Selangor yang dilatih di bawah tajaan penuh kerajaan negeri.
“Daripada tahun 2021, waktu pertama kalinya kita wujudkan segmen pendidikan industri dengan pengiktirafan rakan industri, kita dah latih 2,500 orang pelatih daripada anak-anak Selangor di bawah tajaan kerajaan negeri dan kebolehpasaran graduan kami untuk bidang setara adalah 80 peratus ke atas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Selangor Techsphere Summit 2026 (STS 2026) yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menjelaskan faktor kejayaan kebolehpasaran itu, Harizal berkata STDC telah menjalin kerjasama strategik dengan syarikat gergasi global seperti Google, BMW dan Festo bagi membangunkan modul pensijilan profesional di bawah naungan kerajaan negeri untuk menyediakan laluan terus kepada graduan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan ke pasaran kerja.
Bertemakan “Where Industry, Technology and Government Connect”, Harizal berkata STS 2026 berperanan sebagai platform membentuk satu ekosistem antara pengeluar teknologi, kerajaan negeri, pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dihubungkan dengan agenda pembangunan modal insan.

Jelasnya, segmen persidangan itu memberi tumpuan kepada industri bernilai dan berpertumbuhan tinggi merangkumi fokus kecerdasan buatan (AI) pada hari pertama, semikonduktor dan mikroelektronik pada hari kedua disusuli industri ekonomi hijau serta pembangunan tenaga kemanusiaan.
Penganjuran tersebut telah berjaya menarik sebanyak 30 pelopor industri di kawasan pameran dan reruai, selain mencatat kehadiran 500 orang sehari bagi setiap sesi persidangan kemuncak selari dengan sasaran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) untuk meningkatkan pelaburan tahunan sekitar 30 peratus berbanding tahun terdahulu.

Tambah beliau, tiada sebarang memorandum persefahaman (MoU) baharu dimeterai pada persidangan ini kerana kesemua syarikat yang hadir telah pun mempunyai jaringan kerjasama dan MoU sedia ada bersama STDC.
Sementara itu, Pengarah Urusan Deutsche Messe bagi rantau Asia Pasifik (Hannover Fairs Asia-Pacific), Tim Bostridge berkata acara empat hari itu membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk berkolaborasi, belajar dan memahami bagaimana teknologi terkini dapat membantu perniagaan menjadi lebih produktif, cekap dan berkembang pada masa hadapan.
Tim turut menjangkakan persidangan itu bakal menghasilkan pelaburan yang dirancang apabila para peserta industri hadir untuk melihat bagaimana penyelesaian teknologi baharu mampu membawa perniagaan mereka ke hadapan.
