UNITEN anjur program CSR bantu komuniti Orang Asli di Tanah Rata

Program Uplift Together anjuran UNITEN membantu komuniti Orang Asli menerusi sumbangan keperluan asas, alat tulis dan aktiviti kesukarelawanan mahasiswa.

Feature Image (3)

KUALA LUMPUR, 8 November 2026 – Kelab Volunteer Team KSHAS, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Uplift Together bagi membantu meningkatkan kebajikan dan pembangunan komuniti Orang Asli di Tanah Rata, Cameron Highlands baru-baru ini.

Program yang berlangsung di Dewan Kampung Sungai Ruil itu menyaksikan penglibatan mahasiswa dan mahasiswi UNITEN dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi menyantuni penduduk setempat.

Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penyampaian kit barangan keperluan asas kepada penduduk bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian, selain sumbangan set alat tulis kepada kanak-kanak Orang Asli bagi menyokong keperluan pembelajaran mereka.

Program itu turut menyediakan ruang interaksi antara mahasiswa dengan masyarakat setempat, sekali gus memberi peluang kepada peserta memahami dengan lebih dekat kehidupan dan keperluan komuniti berkenaan.

Pengarah Program Tasha Regina Mazhisham berkata penganjuran Uplift Together bertujuan meringankan beban harian penduduk menerusi sumbangan barangan keperluan asas, di samping membantu meningkatkan akses pendidikan dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli.

Beliau berkata inisiatif berkenaan turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 2 (Sifar Kelaparan) dan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti).

Selain memberi manfaat secara langsung kepada komuniti, program itu turut menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa dalam aktiviti khidmat masyarakat.

Penganjuran inisiatif berkenaan diharap dapat memupuk nilai kesukarelawanan, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa, selain mengeratkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan masyarakat setempat.