JPNR UiTM Rembau dan Masjid Kariah Pilin perkukuh hubungan mahasiswa-komuniti

JPNR UiTM Rembau bersama Masjid Kariah Pilin menjayakan program komuniti menerusi gotong-royong, rewang, aktiviti kanak-kanak dan sumbangan kebajikan mahasiswa.

Feature Image

KUALA LUMPUR, 8 November 2026 – Jawatankuasa Perwakilan Non-Resident (JPNR) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau telah turun padang pada Sabtu lalu bagi menganjurkan Program NR Cakna Komuniti bertempat di Masjid Kariah Pilin, Rembau.

Program kemasyarakatan yang bertemakan “Bersama Berbakti, Komuniti Dihargai” ini dijayakan menerusi kolaborasi strategik bersama pihak masjid, Komander Kesatria, Briged Sukarelawan UiTM dan beberapa orang pelajar semester 1.

Inisiatif ini dianjurkan bagi memperkukuh jalinan silaturahim antara mahasiswa UiTM dengan komuniti setempat, di samping memupuk semangat kesukarelawan dan keprihatinan sosial dalam kalangan pelajar non-resident (NR).

Menelusuri pengisian program, aktiviti gotong-royong perdana menjadi agenda utama yang menyaksikan keterlibatan aktif para peserta dan kariah masjid. Kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh telah dijalankan merangkumi ruang solat, kawasan persekitaran dalam dan luar masjid serta ruang pengurusan jenazah.

Selain mengindahkan kawasan sekitar, semangat saling membantu yang ditunjukkan bukan sahaja mengeratkan ukhuwah, malah memastikan fasiliti masjid kekal bersih, selesa, dan kondusif untuk kegunaan bersama.

Suasana di ruang musafir masjid turut dimeriahkan dengan kehadiran anak-anak kariah menerusi pertandingan mewarna yang dianjurkan. Gelak tawa dan kesungguhan adik-adik ini mencuba pelbagai warna pada lukisan dan menunjukkan bakat masing-masing jelas menceriakan pagi tersebut.

Aktiviti santai ini bukan sahaja berjaya mencungkil bakat seni si cilik, malah menjadi platform terbaik untuk beramah mesra dengan ibu bapa serta penduduk kampung yang hadir memberikan sokongan. Acara program turut disemarakkan lagi dengan jualan makanan dan minuman oleh kariah kampung.

Program yang diketuai oleh Saudara Zeyad Haris Mikhail Mohamad Fadylisham ini diteruskan lagi dengan penuh kemeriahan di perkarangan dapur masjid menerusi aktiviti rewang menyediakan hidangan tengah hari secara bergotong-royong. Antara menu yang disediakan ialah ayam masak lemak cili api, sayur goreng dan sambal belacan.

Penglibatan pelajar dalam aktiviti memasak secara kawah dan persiapan kenduri ini menyemarakkan lagi semangat ukhuwah serta nilai keprihatinan sosial. Pengalaman yang sangat berharga ini jelas merapatkan jurang generasi antara mahasiswa dan warga kariah, sekali gus meninggalkan kenangan manis buat semua yang terlibat.

Kemuncak program menyaksikan Majlis Perasmian Penutup yang disempurnakan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Mohd Zulhilmi Mohd Yunus serta disaksikan oleh pihak pengurusan masjid, wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Chembong dan penasihat program.

Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan bahawa pihak UiTM sentiasa bersedia dan komited dalam memberikan sokongan padu terhadap penganjuran program-program berteraskan komuniti.

Menurut beliau, inisiatif sebegini bukan sahaja merapatkan hubungan antara warga UiTM dan masyarakat tempatan, malah menjadi platform penting dalam menyemarakkan semangat keprihatinan sosial secara berterusan.

Majlis diteruskan dengan penyampaian Bakul Kasih berupa barangan keperluan asas kepada pelajar NR yang kurang berkemampuan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup mereka sepanjang tempoh pengajian. Acara ini kemudiannya diikuti dengan sesi penyampaian hadiah bagi pertandingan mewarna serta penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada pihak yang menjayakan program.

Dalam pada itu, Pengerusi Masjid Kariah Pilin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga UiTM Rembau atas usaha murni ini.

Beliau menyifatkan program ini sebagai jambatan terbaik yang menghubungkan golongan mahasiswa dengan masyarakat luar, selain berharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

Penganjuran program ini membuktikan komitmen jitu universiti dan masyarakat dalam merealisasikan agenda pembangunan modal insan serta kebajikan sosial. Diharapkan agar usaha murni dan jalinan kerjasama strategik ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi memberi manfaat yang berpanjangan kepada warga UiTM dan komuniti setempat.