Max Tang raih gangsa Kejohanan Akhir Dunia OCEANMAN 2026

Perenang muda Malaysia itu menaiki podium dengan megah mengibarkan Jalur Gemilang di Republik Dominika.

Feature Image

KUALA LUMPUR, 17 November 2026 – Perenang Malaysia berusia 16 tahun, Max Tang mengharumkan nama negara selepas meraih pingat gangsa pada Kejohanan Akhir Dunia OCEANMAN 2026 yang baru sahaja melabuhkan tirainya di Miches, Republik Dominika.

Bertanding dalam kategori pecut 2 kilometer (km) lelaki bagi kumpulan umur 15 hingga 19 tahun, Max mempamerkan prestasi cemerlang untuk menduduki tempat ketiga dalam saingan sengit, sekali gus melayakkan dirinya menaiki podium kejohanan akhir dunia itu.

Beliau berjaya menaiki podium bersama-sama dua peserta antarabangsa yang lebih berusia, iaitu pemenang pingat emas Pierre Souchon, 19, dari Perancis dan pemenang pingat perak Emiliano Ramirez Renteria, 18, dari Mexico.

Pingat gangsa itu merupakan pencapaian penting buat perenang muda Malaysia berkenaan yang masih mempunyai beberapa tahun lagi untuk bertanding dalam kategori umur 15 hingga 19 tahun.

Anak bongsu daripada tiga beradik lelaki itu mula mencipta kejayaan dalam sukan renang perairan terbuka di peringkat antarabangsa pada Julai 2026 apabila muncul juara tiga kali pada kejohanan OCEANMAN Kota Kinabalu. Beliau meraih pingat emas dalam acara pecut 2km dan Half OCEANMAN 5km, selain acara berganti-ganti campuran 3×500 meter.

Lebih membanggakan, Max dinobatkan sebagai juara keseluruhan merentas semua kategori umur bagi kedua-dua acara berkenaan, mengatasi peserta yang lebih berusia dan berpengalaman.

Kemenangan itu melayakkan beliau beraksi pada Kejohanan Akhir Dunia OCEANMAN yang berprestij di Republik Dominika, selain diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang sebagai pembawa bendera kontinjen Malaysia.

Hanya empat bulan selepas kejayaannya di Kota Kinabalu, Max sekali lagi mencipta pencapaian membanggakan apabila menaiki podium Kejohanan Akhir Dunia dengan membawa pulang pingat gangsa untuk Malaysia.

Bagi Max, peluang mewakili Malaysia di pentas dunia dan membawa pulang pingat merupakan impian yang menjadi kenyataan.

“Mewakili Malaysia pada Kejohanan Akhir Dunia merupakan satu penghormatan yang amat besar. Justeru, memenangi pingat gangsa untuk negara dan berdiri di podium sambil memegang Jalur Gemilang dengan penuh bangga merupakan detik yang amat membanggakan.

“Bersaing dengan perenang lebih berusia dan berpengalaman yang mewakili negara dari seluruh dunia menjadikan pencapaian ini lebih bermakna. Saya amat berterima kasih kepada jurulatih, guru dan keluarga yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan saya dalam sukan renang,” katanya.

Sebagai pelajar Tahun 11 di Garden International School, Kuala Lumpur, Max mengimbangi jadual latihan renang yang padat dengan komitmen akademiknya. Walaupun perlu memenuhi tuntutan latihan dan pertandingan renang yang mencabar, beliau sudah memperoleh dua gred A* dalam peperiksaan Sijil Am Antarabangsa Pendidikan Menengah (IGCSE), sebelum melengkapkan baki mata pelajarannya pada 2027.

Selain sukan renang, Max turut menyerlah sebagai atlet sekolah apabila menerima pengiktirafan atas pencapaiannya dalam acara larian merentas desa dan polo air.

Keupayaannya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan sukan mencerminkan disiplin, keazaman serta ketahanan diri yang membentuk perjalanan beliau sebagai atlet muda.

Detik membanggakan buat Malaysia

Bagi Max dan keluarganya, pingat gangsa itu merupakan hasil usaha keras selama bertahun-tahun, termasuk bangun awal pagi, menjalani sesi latihan yang mencabar serta melakukan pelbagai pengorbanan.

Daripada seorang kanak-kanak yang suatu ketika dahulu berasa takut untuk menghadiri kelas renang, Max kini muncul sebagai pemenang pingat Kejohanan Akhir Dunia pada usia hanya 16 tahun. Perjalanan beliau membuktikan bahawa ketekunan dan keazaman mampu membuahkan kejayaan.

Ibunya, Datin Yvette Kang berkata pingat berkenaan membawa makna yang amat mendalam kepada keluarga mereka.

“Melihat perkembangan Max daripada seorang kanak-kanak yang pada awalnya tidak begitu meminati sukan renang sehingga berjaya mewakili Malaysia dan menaiki podium pada Kejohanan Akhir Dunia sambil membawa Jalur Gemilang merupakan pengalaman yang amat bermakna dan menyentuh emosi keluarga kami.

“Kami amat berbangga dengan Max dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan galakan, bimbingan serta sokongan sepanjang perjalanan beliau dalam sukan renang,” katanya.

Dengan kejayaan meraih pingat gangsa pada Kejohanan Akhir Dunia, Max berharap dapat terus meningkatkan pencapaiannya dan mewakili Malaysia dalam kejohanan antarabangsa pada masa hadapan.

Kejayaan itu bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga dan sekolahnya, malah seluruh negara apabila seorang lagi atlet muda berpotensi berjaya mencipta nama di persada sukan antarabangsa.