Wacana Ilmu UTM perkasa pemahaman mahasiswa terhadap penggunaan AI

UTM menganjurkan wacana antarabangsa menghimpunkan mahasiswa Malaysia dan Indonesia bagi membincangkan penggunaan AI serta transformasi pembelajaran masa depan.

Feature Image (2)

KUALA LUMPUR, 20 November 2026 – Program AI & The Future of Learning: Beyond Borders anjuran Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Tun Dr. Ismail (JKP KTDI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi platform perkongsian ilmu dan pertukaran pandangan antarabangsa mengenai perkembangan kecerdasan buatan (AI) serta masa depan pembelajaran dalam pendidikan tinggi.

Program yang berlangsung di Dewan Senat Ainuddin Wahid, UTM baru-baru ini dianjurkan dengan kerjasama Majlis Felow Kolej Tun Dr. Ismail, Universitas Tanjungpura (UNTAN) dan Universitas Syiah Kuala (USK), Indonesia.

Ia menghimpunkan ahli akademik serta delegasi mahasiswa dari Indonesia dan Malaysia, termasuk wakil kolej kediaman dan persatuan mahasiswa antarabangsa UTM, bagi membincangkan potensi, cabaran dan hala tuju penggunaan AI dalam landskap pendidikan tinggi.

Program berkenaan menampilkan sesi perkongsian bertajuk Learning Without Limits: AI & The Future of Flexible Learning oleh Pengarah UTM CDex, Prof. Madya Dr. Nurbiha A. Shukor, yang memberi pendedahan mengenai potensi teknologi AI dalam mewujudkan kaedah pengajaran dan pembelajaran lebih fleksibel, interaktif serta memenuhi keperluan pendidikan semasa.

Sesi itu turut membuka ruang kepada peserta memahami bagaimana teknologi berkenaan boleh dimanfaatkan bagi memperluas akses kepada pembelajaran dan menyokong transformasi pendidikan tinggi.

Program diteruskan dengan forum yang membincangkan penggunaan AI daripada perspektif mahasiswa Indonesia dan Malaysia, merangkumi aspek etika, integriti akademik, kebolehpercayaan maklumat serta kepentingan pemikiran kritis.

Forum itu diketuai Muhammad Daniel Imran Matharuzaman dengan menampilkan empat ahli panel, iaitu Kugaann Suresh dan Arkan Faiza Maulana dari UTM, Vanshen Nicholas Lafeannovackh dari UNTAN serta Zulka Safura dari USK.

Pengetua Kolej Tun Dr. Ismail, ChM. Dr. Mohd Akmali Mokhter berkata penganjuran program itu mencerminkan peranan kolej kediaman yang bukan sekadar menyediakan kemudahan penginapan, malah berfungsi sebagai ruang pembelajaran, perkongsian ilmu dan pembangunan intelektual mahasiswa di luar bilik kuliah.

“Inisiatif program ini dijalankan oleh KTDI sebagai pendekatan bagi menekankan peranan kolej kediaman bukan sekadar sebagai tempat penginapan mahasiswa, malah sebagai ruang pembelajaran, perkongsian ilmu dan pembangunan intelektual di luar bilik kuliah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Muhammad Afiq Shahir Abdul Rahim berkata wacana berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan AI secara kritis, beretika dan bertanggungjawab.

Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan mahasiswa bukan sahaja mampu memanfaatkan kemajuan teknologi, malah memahami tanggungjawab dan batasan penggunaannya dalam proses pembelajaran.

Perbincangan itu turut selari dengan pendekatan UTM dalam menggalakkan penggunaan AI secara terkawal bagi tugasan akademik.

Berdasarkan garis panduan universiti, penggunaan AI dalam tugasan mahasiswa ditetapkan pada kadar 20 peratus, manakala baki 80 peratus perlu berasaskan keupayaan pemikiran dan usaha intelektual mahasiswa sendiri.

Pendekatan itu bertujuan memastikan teknologi berfungsi sebagai alat sokongan pembelajaran tanpa mengetepikan kepentingan pemikiran kritis, kreativiti dan keaslian hasil kerja mahasiswa.

Penglibatan UTM, UNTAN dan USK dalam program itu turut memperkukuh hubungan akademik serta kerjasama antarabangsa antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan Indonesia melalui perkongsian pengetahuan, pengalaman serta perspektif rentas negara.

Usaha berkenaan bukan sahaja memperluas jaringan mahasiswa, malah menggalakkan pemahaman bersama terhadap inovasi dan transformasi pembelajaran dalam era digital.