Kolej kediaman bukan sekadar tempat tidur, UiTM perkasa ekosistem kehidupan kampus
UiTM merancang transformasi kolej kediaman menjelang 2030 dengan penekanan terhadap kebajikan, keselamatan, kelestarian dan kesejahteraan mahasiswa seluruh negara.
PROF. DR. SAZILI menerima resolusi hasil konvensyen yang diserahka Pengarah Pentadbiran Strategik & Sumber Manusia, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Mohd Rizal Nordin.
Oleh: SHAHRULNIZAM AKHSAN
KUALA LUMPUR, 20 November 2026 – Kolej kediaman bukan lagi sekadar kemudahan penginapan, sebaliknya perlu berfungsi sebagai ekosistem pembangunan mahasiswa yang menyokong kesejahteraan, pembentukan sahsiah dan kecemerlangan kehidupan kampus.
Pendekatan itu menjadi antara penekanan utama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam memperkukuh transformasi pengurusan residensi menjelang 2030, khususnya bagi mendepani cabaran infrastruktur berusia, peningkatan keperluan penginapan serta perubahan ekspektasi mahasiswa masa kini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi berkata, pengurusan kolej kediaman perlu bergerak melangkaui fungsi operasi konvensional dengan memberi tumpuan kepada pengalaman dan kualiti kehidupan mahasiswa sepanjang berada di universiti.
Beliau menegaskan perkara itu ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat dan Konvensyen Residensi UiTM (KRU) 2026 yang menghimpunkan 130 penggerak pengurusan kolej kediaman dari seluruh sistem UiTM di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD), Sendayan, Negeri Sembilan.

“Kolej kediaman bukan sekadar tempat untuk mahasiswa berehat selepas kuliah tetapi persekitaran penting dalam membina jati diri, kematangan emosi dan kemahiran insaniah yang melengkapkan proses pendidikan mereka,” katanya.
Menurut beliau, pengurusan residensi yang berkesan perlu mengambil kira aspek keselamatan, kesejahteraan mental, akses kepada kemudahan berkualiti serta sokongan kebajikan agar mahasiswa dapat mengikuti pengajian dalam persekitaran yang kondusif.
Sehubungan dengan itu, UiTM menggariskan Lima Pilar Penyelesaian Tuntas sebagai kerangka penambahbaikan pengurusan residensi menjelang 2030, merangkumi kelestarian perkhidmatan dan kebajikan, pengoptimuman ruang, pengauditan berterusan, pengurusan risiko dan krisis serta pengukuhan sinergi warga kerja.
Antara keutamaan yang diberikan termasuk pelaksanaan audit penggunaan ruang, penambahbaikan bangunan kediaman berusia dan penerokaan alternatif penginapan luar kampus bagi meningkatkan kecekapan penggunaan kapasiti sedia ada.
Dalam aspek kebajikan pula, penyelarasan garis panduan pengecualian dan pengurangan bayaran kolej kediaman turut menjadi perhatian bagi membantu mahasiswa yang berdepan kesukaran kewangan, sekali gus mengurangkan risiko keciciran akibat tekanan sosioekonomi.
Pengarah Pusat Residensi dan Hospitaliti Pelajar (PRHP) UiTM, Ikhwana Misnan berkata, konvensyen bertemakan “Residensi Lestari, Pemacu Kualiti Perkhidmatan” itu turut mempertemukan pelbagai pusat tanggungjawab universiti untuk membincangkan penyelesaian praktikal terhadap isu pengurusan yang dihadapi di kampus.
Perbincangan melibatkan Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), Jabatan Pembangunan dan Pusat Pengurusan Risiko UiTM, selain sesi pemantapan kompetensi dalam pengurusan mahasiswa bukan residen (NR), pengurusan acara, perabot sewaan dan inovasi perkhidmatan.

Program anjuran PRHP dengan kerjasama ILD itu turut menyaksikan penyampaian penghargaan kepada pesara warga residensi oleh Profesor Dr. Mohd Sazili dalam majlis makan malam dan perasmian bertemakan Black Gold pada 18 November 2026.
Sementara itu, Pengarah Pentadbiran ILD UiTM, Che Wan Kamarul Hishysam Che Wan Ahmad ketika merasmikan penutupan konvensyen mengingatkan delegasi agar setiap resolusi yang dipersetujui diterjemahkan kepada tindakan dan penambahbaikan sebenar di kampus masing-masing.
Dengan pengurusan ekosistem universiti yang merangkumi lebih 180,000 mahasiswa di 34 kampus seluruh negara, usaha memperkukuh pengurusan residensi mencerminkan komitmen UiTM memastikan kemudahan penginapan bukan sahaja memenuhi keperluan asas, malah menyumbang kepada pembangunan mahasiswa secara holistik.
