KUALA LUMPUR, 4 April 2024 – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh selesai memberi kenyataan kepada polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada jam 2 petang tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Dr Akmal berkata, beliau dua kali dipanggil memberi keterangan yang pertamanya pada jam 10.40 pagi sehingga 12.40 tengah hari sebelum dibenarkan pulang.
Begitupun, beliau sekali lagi dipanggil untuk memberi keterangan selepas memberi kenyataan kepada media dan soal siasat kali kedua itu berlangsung selama dua jam.
“Sepanjang saya ditahan untuk diambil keterangan saya dimaklumkan saya disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi Multimedia 1998.
“Apa pun kesusahan dan cabaran yang dihadapkan kepada saya, ia tidak sesekali mematahkan semangat untuk terus berjuang dan berkata tentang kebenaran demi agama dan ummah.
“Jika ini harga yang perlu saya bayar demi mempertahankan agama dan bangsa,saya rela dengan sepenuh hati,” katanya.
Dalam status sama, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua anggota yang terlibat dalam soal siasat itu dan menegaskan beliau akan sentiasa memberikan kerjasama.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pegawai dan anggota polis IPD Kota Kinabalu dan saya seperti saya katakan saya akan beri kerjasama penuh.
“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan parti yang menghubungi dan membantu saya dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan saya,” ujarnya.
Di akhir status beliau, Dr Akmal turut menulis perkataan “kekal boikot”.