Persepsi komuniti Melayu terhadap Taiwan

Tahap pemahaman etnik Melayu terhadap Taiwan adalah kurang berbanding dengan komuniti Cina di Malaysia

Poster Terkini (5)


BAGAIMANAKAH Taiwan dilihat oleh golongan Melayu di Malaysia?

Sebuah kajian baharu mendedahkan pandangan menarik tentang bagaimana rata-rata etnik Melayu di Malaysia daripada sektor awam, swasta, akademik dan pelajar melihat Taiwan dari pelbagai sudut termasuk ekonomi, budaya dan politik.

Kajian ini bukan sahaja menggambarkan tahap kesedaran mereka terhadap Taiwan tetapi juga membuka ruang untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Taiwan di masa hadapan.

Kajian yang berlangsung selama tiga bulan (Oktober 2024 – Januari 2025) ini dikendalikan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya, Unversiti Tunku Abdul Rahman dan National Graduate Institute for Policy Studies, Jepun, dengan sokongan Taipei Economic and Cultural Office (TECO) di Malaysia.

Ia melibatkan 454 responden etnik Melayu yang terdiri dari daripada penjawat awam (36.8 peratus), pekerja sektor swasta (28.9 peratus), ahli akademik (11.7 peratus), dan pemimpin pelajar (20.7 peratus). Secara purata, responden berumur 36.2 tahun dengan pendapatan bulanan sekitar RM7,200.

Kajian ini ada penting dan menarik kerana walaupun Malaysia dan Taiwan telah lama menjalin hubungan yang baik, tahap pemahaman etnik Melayu di Malaysia terhadap Taiwan adalah kurang berbanding dengan komuniti Cina di Malaysia yang berkongsi persamaan dari segi linguistik dan budaya dengan Taiwan.

Oleh yang demikian, kajian yang ditaja oleh TECO ini bertujuan untuk memacu usahasama dalam memahami persepsi komuniti Melayu terhadap Taiwan bagi menjamin jangkauan aktiviti TECO yang lebih komprehensif kepada semua rakyat Malaysia.

Daya Tarikan Taiwan: Teknologi, Ekonomi dan Budaya

Taiwan merupakan salah satu rakan dagang utama Malaysia, dengan perdagangan dua hala mencatatkan jumlah 2.977 bilion Dolar Amerika pada November 2024.

Keadaan ini telah meletakkan Malaysia sebagai rakan dagang kedua terbesar Taiwan dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN selepas Singapura.

Taiwan merupakan salah satu kuasa global dalam penghasilan teknologi tinggi dengan keupayaan yang kuat dalam semikonduktor, elektronik dan pembuatan.

Maka tidak menghairankan bahawa hasil kajian menunjukkan kebanyakan responden mengaitkan Taiwan dengan kejayaan dalam teknologi dan ekonomi.

Sebanyak 61.9 peratus responden mengakui kehebatan Taiwan dalam bidang ini, meletakkannya sebagai faktor utama yang membentuk persepsi mereka.

Kajian ini juga mendapati bahawa pasaran halal adalah sektor yang menjanjikan untuk kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Taiwan, selain sektor pertanian dan bioteknologi.

Selain itu, program Salam Taiwan yang mempromosikan pelancongan halal turut memberi impak positif dalam kalangan komuniti Melayu.

Dalam sektor pelancongan, Taiwan juga berjaya menarik minat ramai komuniti Melayu, terutama dengan keunikan budaya pasar malamnya yang dikatakan mirip dengan pengalaman di Malaysia.

Namun, walaupun selebriti Taiwan seperti Jay Chou, Takeshi Kaneshiro dan A-Mei dikenali ramai (khasnya dalam kalangan komuniti Cina di Malaysia), kajian ini mendapati budaya pop Taiwan adalah kurang menyerlah dan mendapat sambutan di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia.

Pendidikan tinggi di Taiwan juga mendapat perhatian dengan 75.1 peratus responden melihat Taiwan sebagai pilihan menarik untuk menyambung pengajian.

Faktor seperti yuran pengajian yang berpatutan dan kualiti akademik yang tinggi menjadikan Taiwan sebagai destinasi pendidikan yang kompetitif bagi pelajar Malaysia.

84 peratus daripada golongan pelajar yang disoal selidik menyatakan mereke berminat untuk melanjutkan pelajaran di Taiwan jika diberi peluang.

Dalam isu hubungan antarabangsa pula, salah satu dapatan penting adalah tahap kesedaran yang rendah terhadap Dasar Baru Pandang Selatan (New Southbound Policy, NSP) Taiwan.

Hanya 24.2 peratus daripada responden tahu tentang dasar ini, dengan tahap kesedaran tertinggi datangnya daripada golongan akademik (61.2 peratus).

Bagaimanapun, majoriti responden (74.7 peratus) percaya bahawa Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan Taiwan. Lebih dua per tiga daripada mereka juga menganggap diplomasi awam Taiwan di Asia Tenggara, terutama di Malaysia, sebagai berkesan.

Namun, Taiwan masih kurang daya tarikan berbanding negara-negara Asia Timur yang lain seperti Jepun, China dan Korea Selatan.

Keinginan Untuk Berinteraksi Dengan Taiwan

Sebanyak 70.3 peratus responden menyatakan kesediaan untuk berinteraksi dengan Taiwan pada masa hadapan, terutamanya dalam sektor pelancongan dan perniagaan.

Hanya 0.7 peratus menyatakan ketidaksediaan untuk berhubung dengan Taiwan, dengan alasan seperti kurangnya pengetahuan mengenai negara itu dan kebimbangan keselamatan di Selat Taiwan.

Implikasi dan Masa Depan Hubungan Malaysia-Taiwan

Kajian ini menunjukkan bahawa hubungan Malaysia-Taiwan masih mempunyai potensi luas untuk berkembang, terutamanya dalam bidang teknologi, pendidikan dan pelancongan halal.

Bagaimanapun, usaha lebih besar diperlukan untuk meningkatkan kesedaran dan interaksi dalam kalangan masyarakat Melayu, terutamanya dalam aspek budaya dan diplomasi awam.

Peningkatan aktiviti promosi, program pertukaran akademik serta inisiatif diplomasi budaya boleh menjadi langkah strategik untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Kajian ini juga mencadangkan supaya Taiwan memperkenalkan lebih banyak program yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat Melayu, termasuk dalam bidang perniagaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor industri halal.

Secara keseluruhannya, kajian ini memberikan gambaran penting tentang bagaimana Taiwan boleh membina hubungan lebih kukuh dengan Malaysia, dengan menyesuaikan strategi mereka berdasarkan keutamaan dan minat golongan Melayu.

Dengan pendekatan yang lebih tertumpu, Taiwan berpeluang memperkukuh kedudukannya sebagai rakan ekonomi dan budaya yang bernilai bagi Malaysia.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.