GENBLUE rancang bertemu peminat di Malaysia.
Kumpulan gadis Taiwan pertama yang menembusi pasaran album fizikal Korea Selatan dengan EP Korea pertama mereka, ACT LIKE THAT.

KUALA LUMPUR, 14 Mac 2025 – Ketika industri K-pop semakin popular, muncul sebuah kumpulan dari Taiwan yang berjaya mencuri perhatian global.
GENBLUE, kumpulan gadis yang terdiri daripada XXIN, AYEON, YUAN, LILI, AYAKO dan NICO bukan sekadar kumpulan idola biasa, tetapi mereka sedang melakar sejarah sebagai kumpulan gadis Taiwan pertama yang menembusi pasaran album fizikal Korea Selatan dengan EP Korea pertama mereka, ACT LIKE THAT.
Ditubuhkan di bawah naungan TEN Entertainment, GENBLUE memulakan perjalanan mereka melalui rancangan realiti NEXT GIRLZ pada tahun 2023.
Dari awal, mereka sudah menunjukkan potensi luar biasa, dengan pemilihan ahli berdasarkan bakat dan keunikan individu masing-masing.
Nama GENBLUE yang menggabungkan Generation dan Blue mencerminkan visi kumpulan ini sebagai suara generasi baharu yang membawa semangat tanpa batas seperti lautan.
Untuk mempersiapkan diri bagi industri K-pop yang kompetitif, ahli GENBLUE menjalani latihan intensif bersama jurulatih dari syarikat gergasi seperti JYP, YG, SM dan HYBE.
Hasilnya, mereka berjaya debut di Korea pada tahun 2024 dengan single COCOCO, yang membawa mereka meraih anugerah K-POP Rookie Award di Korean Culture and Entertainment Awards.
Dengan pelancaran mini album ACT LIKE THAT, GENBLUE bukan sahaja memperkenalkan muzik baharu tetapi juga memperkukuh identiti mereka sebagai artis yang versatil.
Album ini menampilkan empat lagu, termasuk tajuk utama ACT LIKE THAT, diikuti dengan OH!, SLOW DOWN dan FEEL LIKE SPRING, yang memaparkan spektrum muzik daripada rentak bertenaga hingga balada yang menyentuh perasaan.
Menariknya, video muzik ACT LIKE THAT mendapat perhatian luas kerana koreografi one-take yang mencabar serta menunjukkan sisi GENBLUE yang berani namun ceria. Ia bukan sekadar lagu, tetapi satu pernyataan bahawa GENBLUE hadir untuk meninggalkan impak besar dalam industri.
Walaupun berasal dari Taiwan, GENBLUE gigih menyesuaikan diri dengan industri K-pop, termasuk mempelajari bahasa Korea agar dapat berinteraksi lebih baik dengan peminat. Kini, mereka juga sedang memperbaiki kemahiran bahasa Inggeris untuk mengukuhkan kedudukan di pasaran global.
Pelbagai aktiviti promosi telah dijalankan di Korea, termasuk persembahan muzik, acara tandatangan album, flash mob dan kedai pop-up eksklusif. Kejayaan mereka membuktikan bahawa K-pop semakin berkembang menjadi fenomena global yang tidak terbatas kepada artis dari Korea sahaja.
GENBLUE turut memberi bayangan bahawa mereka akan mengadakan acara istimewa untuk peminat sekiranya video muzik ACT LIKE THAT melebihi 30 juta tontonan.
Ketua kumpulan, XXIN berkata, “Kami mahu album ini menjadi cerminan sebenar siapa kami dan bagaimana kami berkembang. Peminat adalah tulang belakang kejayaan kami, dan kami ingin memberikan sesuatu yang istimewa buat mereka.”
Sebagai kumpulan yang membawa warna baharu dalam dunia K-pop, GENBLUE bukan sekadar menakluk carta tetapi juga mencipta sejarah. Dengan bakat, keazaman, dan sokongan peminat, mereka bersedia untuk terus melangkah jauh.
Mini album ACT LIKE THAT kini boleh didapati di K-MONSTAR. Saksikan video muzik ACT LIKE THAT di: https://youtu.be/69QCKEYOAZs?si=9QBTONr0uBtr5_y2