Pelaburan saham golongan muda, kaya atau gaya?

Perkara utama yang perlu dititikberatkan oleh para pelabur adalah tahap risiko sesuatu instrumen pelaburan yang ingin dilaksanakan.

Poster Terkini (1)


GOLONGAN muda diingatkan supaya celik kewangan dan merancangnya secara bijak agar tidak terpengaruh dengan pelaburan yang menayangkan simbol kekayaan. Kaedah sebegini dikhuatiri palsu semata-mata. Setiap pelaburan yang menawarkan pulangan besar dalam tempoh singkat biasanya tidak boleh dipercayai dan dikategorikan sebagai salah satu skim cepat kaya.

Memang tidak dinafikan aktiviti pelaburan saham dapat membantu individu menjana pendapatan di samping melaksanakan pengurusan kewangan yang bijak. Harus juga diingatkan, kerugian juga boleh berlaku jika pemilihan saham tidak dibuat secara profesional. Oleh itu, ilmu adalah amat penting sebelum menceburi apa jua bidang, termasuklah perlaburan saham.

Paling utama yang amat perlu dititikberatkan oleh para pelabur adalah tahap risiko sesuatu instrumen pelaburan yang ingin dilaksanakan. Amat wajar diberikan perhatian serius terhadap risiko instrumen dengan risiko yang setiap pelabur sanggup terima jika pelaburan tersebut mengalami kerugian.

Ketika kos sara hidup negara makin meningkat, makin ramai anak-anak muda yang mabuk dengan cerita dan gambaran kehidupan serba mewah ditayangkan oleh golongan yang menceburi bidang pelaburan, sama ada pelaburan saham, emas atau matawang. Modus operandi sebegini memang akan menarik minat yang tinggi di kalangan orang muda atau belia dalam usaha mencari peluang pendapatan secara lebih cepat dan mudah.

Setiap individu yang ingin memberikan nasihat atau cuba menampilkan diri seolah-olah memberi nasihat pelaburan sesuatu saham, perlulah mempunyai lesen yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC). Justeru, para pelabur muda perlu memastikan mereka mendapat nasihat pelaburan daripada individu yang bertauliah sahaja agar tidak terjebak ke mulut harimau yang sedang menunggu mangsa.

Mutakhir ini, muncul ramai pempengaruh muda, yang membuat pelbagai tawaran yang mengajak golongan muda untuk menceburi bidang pelaburan, sama ada pelaburan saham, matawang atau emas. Pempengaruh ini menawarkan pulangan yang amat baik jika golongan muda belajar bersama mereka dalam bidang pelaburan ini dan mampu meraih kehidupan selesa atas keuntungan pelaburan tersebut. Berhati-hatilah dengan pujukan dan rayuan ini kerana keuntungan bukannya boleh diperoleh sekelip mata.

Ketika era media dan pemasaran digital ini, pendapatan yang besar bagi pempengaruh datang daripada imbuhan platform digital tersebut. Bukannya datang dari hasil keuntungan aktiviti pelaburan semata-mata. Mereka sebenarnya menggunakan peluang ini sebagai mekanisme untuk mencapai matlamat sahaja. Apabila ramai yang tertarik dan ditarik menyukai akaun pempengaruh ini, maka tinggilah nanti pendapatan yang boleh mereka terima. Jelas sekali operasinya amat licik dan tersusun rapi.

Bagi meraih keuntungan yang besar dan konsisten, setiap instrument pelaburan ini memerlukan masa yang panjang, tidak mungkin berlaku dalam tempoh 4 hingga 5 hari saja. Faktor keadaan ekonomi semasa serta gelagat dan tingkah laku para pelabur amat berkaitan rapat dengan permintaan sesuatu pelaburan. Jadinya, pendapatan yang mudah diperoleh oleh pempengaruh ini adalah melalui saluran akaun media sosial mereka.

Tidak dinafikan, ada kemungkinan pempengaruh ini benar-benar mendapat keuntungan hasil pelaburan yang dilaksanakan mereka. Keuntungan pelaburan ini kemungkinan agak tinggi, maka ada peluang untuk mereka menyimpan rekodnya dan menayangkan semula kepada pengikut media sosialnya berulang kali, seolah-olah mereka meraih untung setiap kali transaksi berlaku. Banyak kemungkinan boleh direka dengan tujuan memanupulasi minda pengikut agar percayakan mereka. Berwaspadalah terhadap teknik penipuan ini.

Hasrat menjadi kaya melalui pelaburan saham memerlukan ilmu, dedikasi, disiplin dan minda yang berdaya tahan. Kejayaan pelaburan bergantung pada pendekatan yang tersusun dengan baik, pembelajaran berterusan dan keupayaan untuk mengemudi ketidaktentuan pasaran. Walaupun penciptaan kekayaan mungkin berjaya dicapai, namun penting untuk mengakui bahawa dagangan saham melibatkan risiko, dan tidak semua orang mencapai tahap kejayaan yang sama.

Golongan muda ini ghairah terhadap kekayaan, namun perlu berhati-hati sekiranya ada individu datang tawarkan pelaburan ‘pasti untung’ dan menunjukkan simbol kekayaan palsu seperti kereta dan rumah besar. Sentiasa berfikir sewajarnya sebelum membuat keputusan kerana ramai jutawan terkenal tidak pernah menunjukkan harta yang mereka miliki, kerana orang yang rasa dirinya mahal tidak perlu tunjukkan kekayaan.

Pelaburan saham mungkin menjadikan individu tersebut kaya, jika kena caranya. Sebaliknya, ia mungkin gaya, sebagai pemangkin melariskan media sosial semata-mata. Tak kena gaya, hilang segala modal pelaburan kerana nafsu nak kaya. Kaya atau gaya, ikutlah kemampuan ilmu di dada, kerana matlamat selalunya tidak menghalalkan cara.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.