FBSEC, WISC 2025 angkat wanita dalam sektor ekonomi dan keselamatan – Nancy Shukri

Cerminan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkasakan peranan wanita, khususnya dalam sektor keusahawanan dan keselamatan yang lazimnya didominasi lelaki.

WhatsApp Image 2025-05-01 at 1.10.26 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei 2025 – Dua persidangan utama yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkasakan peranan wanita, khususnya dalam sektor keusahawanan dan keselamatan yang lazimnya didominasi lelaki.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata Persidangan Kelestarian Perusahaan Keluarga dan Keusahawanan (FBSEC) 2025 buat kali kedua serta Persidangan Wanita Dalam Sekuriti (WISC) 2025 memainkan peranan penting dalam memperkukuh penglibatan wanita dalam bidang strategik dan berimpak tinggi.

“Tema kedua-dua persidangan ini sangat bertepatan dengan aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 yang membawa tema ‘Inklusiviti dan Kelestarian’. Ia mencerminkan tekad untuk memastikan tiada yang tercicir dalam kemajuan serantau,” katanya ketika merasmikan kedua-dua persidangan tersebut.

Nancy turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian Kumpulan Syarikat BG Capital Holdings yang ditubuhkan pada 1992 oleh Allahyarham Hajjah Maimoon Mat Akil menerusi syarikat Berani Guard Sdn Bhd.

“BG Capital kini merupakan satu-satunya penyedia penyelesaian keselamatan bersepadu di Malaysia yang dimiliki 100 peratus oleh wanita. Mereka menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk perlindungan keselamatan, pengiring eksekutif, pengurusan risiko, latihan, teknologi, e-dagang dan pengurusan acara,” katanya.

Syarikat itu kini diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saliza Abdullah yang menurut Nancy, terus memacu inovasi melalui integrasi teknologi, pelaburan dalam modal insan dan pendekatan mampan dalam sektor keselamatan.

“Lebih membanggakan, Saliza akan mewakili Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Usahawan Wanita Malaysia (NAWEM) ke Forum Keusahawanan Wanita BRICS 2025 di Moscow. Ini satu pencapaian bersejarah buat negara,” katanya.

Menurut Nancy, Malaysia berhasrat untuk membina masa depan ASEAN yang aman, makmur dan inklusif, dengan wanita, keluarga dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai tunjang utama.

“Persidangan seperti FBSEC dan WISC bukan sahaja membuka ruang dialog, malah menjadi medan pelaksanaan tindakan melalui perkongsian idea, penyelesaian dan jaringan strategik,” jelas beliau.

Dalam ucapannya, Nancy turut mengumumkan dua inisiatif utama kementeriannya yang menyokong aspirasi persidangan berkenaan iaitu Dasar Wanita Negara 2025–2030 dan Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS).

Dasar Wanita Negara yang dilancarkan awal tahun ini membawa tema ‘Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara’, berasaskan empat tonggak utama iaitu Pemerkasaan Ekonomi, Kepimpinan, Keselamatan dan Kesejahteraan Sosial.

Antara sasaran utama dasar tersebut ialah meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja kepada 60 peratus, sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita dalam jawatan pembuat keputusan, dan melahirkan sejuta usahawan wanita menjelang 2030.

“Buat pertama kalinya, dasar ini turut disokong oleh mekanisme pemantauan seperti belanjawan responsif gender, data berasaskan gender, penilaian impak gender dan audit gender untuk memastikan hasil yang boleh diukur,” katanya.

Program PERANTIS pula dilancarkan pada 2024 bagi membimbing generasi baharu pemimpin wanita dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Pada tahun pertamanya, seramai 1,247 peserta dibimbing oleh 25 tokoh wanita.

“Bagi tahun 2025, kami menyasarkan penyertaan 5,000 peserta dengan bimbingan 100 ikon wanita, dengan peruntukan RM5 juta bagi meluaskan lagi capaian program ini,” kata Nancy.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru semua pihak untuk terus menyokong agenda memperkasa wanita sebagai pemangkin kepada pertumbuhan negara dan rantau ASEAN.

“Setiap kejayaan hari ini berdiri di atas bahu mereka yang terdahulu. Kini tiba giliran kita untuk mengangkat mereka yang akan datang,” katanya.

Nancy seterusnya merasmikan FBSEC 2025 dan WISC 2025 secara rasmi.