Usah biar badal haji kita ‘dibedal’ mereka
Ramai orang terpancing dengan pengiklanan yang dilakukan disebabkan penawaran harga pakej yang murah dan mampu bayar demi melunaskan kewajipan orang yang tersayang.

MENJELANG musim haji, pasti timbul pengiklanan pakej badal haji yang pelbagai sama ada melibatkan orang perseorangan atau syarikat.
Lazimnya, ramai orang yang terpancing dengan pengiklanan yang dilakukan disebabkan penawaran harga pakej yang murah dan mampu bayar demi melunaskan kewajipan orang yang tersayang.
Fenomena ini timbul kerana keterikatan erat orang Melayu Islam khususnya dengan mereka yang telah menghadap Ilahi. Ini termasuklah ibu, bapa, suami, isteri dan sebagainya yang uzur atau telah meninggal dunia.
Ingatan yang berkekalan ini mendorong mereka yang hidup untuk melaksanakan rukun Islam kelima yang tertunda semasa waktu hidup insan tersebut disebabkan tidak berkemampuan atau faktor lain.
Ekoran ikatan batin dan darah, rasa kasih sayang dan ingatan ahli keluarga terhadap mereka yang uzur atau meninggal dunia, banyak pihak tampil mengambil kesempatan dengan menawarkan pakej mampu bayar dari harga serendah RM1,500.00 dan ke atas.
Sedangkan kos mengerjakan haji muassasah yang dikelolakan oleh Tabung Haji adalah sebanyak RM33,000.00 sebelum disubsidikan mengikut kategori B40 dan M40 di samping pakej haji syarikat swasta yang diuruskan oleh Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang bermula sekitar RM55,000.00. Bahkan pakej haji bagi mereka yang berada di Arab Saudi adalah bermula dari 8,000.00 Riyal Saudi (lebih kurang RM9,200.00) dan mereka juga tertakluk dengan sistem penggiliran untuk mendapatkan permit haji.
Jumlah itu belum termasuk lagi kos bagi makan minum, penginapan dan upah pelaksana badal haji.
Bagi syarikat PJH yang besar, mereka boleh memanfaatkan petugas haji yang dilantik di sana untuk mengerjakan badal haji di samping menguruskan jemaah. Situasi lebih mudah berbanding syarikat yang bukan PJH, timbul masalah yang besar sekiranya tiada petugas haji sendiri dan sekiranya mereka hanya mewakilkan urusan badal haji kepada pihak di sana.
Biasanya dalam rantaian badal haji yang diuruskan tanpa melibatkan petugas haji, ada lima pemain utama. Pihak pertama iaitu orang yang dibadalkan, kedua pihak yang mengupah badal haji, ketiga syarikat yang menguruskan badal di Malaysia, keempat pihak yang yang menguruskan badal di Mekah dan kelima orang yang menerima upah mengerjakan badal haji.
Keadaan lebih membimbangkan sekiranya pihak ketiga hanya menyerahkan urusan badal haji kepada pihak keempat dan mereka mengeluarkan sijil dan menyediakan cenderamata berdasarkan pakej.
Sekiranya pihak keempat dan kelima tidak melaksanakannya, pihak ketiga berasakan mereka terlepas daripada kesalahan dan tidak bertanggung jawab atas penipuan tersebut.
Sekiranya ditelusuri dalam pakej badal haji yang ditawarkan, ada beberapa perkara yang menimbulkan kecurigaan, antaranya:
Pertama: Pakej yang murah. Ini tidak bermakna pakej yang mahal akan bebas daripada unsur penipuan. Jika dilihat kos pelaksanaan ibadah haji sentiasa meningkat dari semasa ke semasa. Ia termasuklah kos visa haji, permit haji, kos pengangkutan dan penginapan, kos makan minum dan upah orang yang mengerjakan badal haji di samping bayaran khidmat pihak yang menawarkan khidmat badal haji. Pakej yang ditawarkan tidak selari dengan kos sebenar, khususnya melibatkan bayaran permit (tasrih) haji. Ditambah lagi dengan kos cenderamata kepada pelanggan dengan pemberian air zam-zam, sejadah, sijil, kurma ajwah, minyak wangi dan lain-lain.
Kedua: Orang yang melaksanakan badal haji tidak jelas. Bagi setiap musim haji, hanya seorang jemaah haji yang boleh buat badal haji kepada pelanggan. Kebimbangan timbul apabila wujud sindiket yang menggunakan tenaga kerja asing di Arab Saudi berulang kali bagi nama-nama berbeza. Mereka hanya mengambil gambar berada di kawasan Padang Arafah dengan menukar ganti plakad nama jemaah haji yang dibadalkan. Asasnya, badal haji hanya boleh dilakukan oleh seorang dan yang dibadalkan juga hanya seorang bagi setiap musim haji, dalam tempoh 6 hingga 7 hari yang khusus dalam buan Zulhijjah. Berbeza dengan badal umrah yang boleh dilakukan dalam tempoh 5 hingga 6 jam bagi seorang yang dibadalkan umrah.
Ketiga: Tiada bukti yang kukuh pelaksanaan rukun dan wajib haji. Gambar atau video yang diambil tidak menunjukkan keseluruhan ibadat haji yang dilakukan. Ia juga sukar dibuktikan melainkan mereka yang benar-benar amanah dalam mengerjakan badal haji.
Keempat: Modus operandi bagi pengiklanan pakej ini menggunakan selebriti agama, agamawan atau membawa gelaran ustaz dan ustazah bagi menimbulkan kepercayaan pelanggan. Ini kerana rata-rata orang ramai meletakkan kepercayaan yang penuh kepada golongan tersebut. Sehinggakan timbul ayat yang popular: ‘Takkan ustaz/ustazah nak menipu dalam urusan ibadat’.
Sehubungan itu, bagi memastikan pakej badal haji dipilih selamat dan telus, para pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang pakej yang ditawarkan. Antaranya:
Pertama: Menyemak latar belakang pihak yang menyediakan khidmat badal haji di Malaysia, pihak keempat dan kelima di Arab Saudi bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam urusan badal haji.
Kedua, pakej yang ditawarkan adalah munasabah dan sesuai dengan kos melaksanakan ibadah haji kerana jika ia dilaksanakan oleh petugas atau orang dari Malaysia, ia memerlukan pembiayaan yang tinggi, pastinya pihak yang terlibat masih ingin mengurangkan kos yang ditanggung walau mereka dari syarikat PJH ataupun jika mereka yang melaksanakan badal haji ini berada di Arab Saudi, mereka masih perlukan kepada bayaran permit haji dan kos-kos berkaitan di samping upah mereka.
Ketiga, menyediakan bukti dokumentasi. Mereka yang mengerjakan badal haji mempunyai permit haji yang sah (tasrih) atau kad nusuk original. Penyedia khidmat badal haji boleh bekalkan kepada pelanggan salinan permit atau kad nusuk dan pasport bagi memastikan mereka benar-benar wujud dan sah dari segi hukum dan perundangan dalam melakukan ibadah haji. Situasi semasa menunjukkan kawalan lebih ketat di titik kritikal haji dan berbeza dengan zaman sebelum ini yang ada ruang kepada orang yang tiada permit untuk melakukan ibadat haji. Mereka bebas menyusup dalam kalangan jemaah yang sah.
Keempat, menyediakan video rakaman bagi setiap titik kritikal perlaksanaan rukun dan wajib haji, bukan hanya sekadar bergambar memegang plakad nama di kawasan Padang Arafah. Ini termasuklah ketika berniat, wukuf, tawaf, saie, bermalam di Muzdalifah dan Mina, melontar jamrah dan lain-lain. Rakaman aktiviti haji secara visual dan verbal ini penting bagi memastikan mereka benar-benar melakukan ibadah haji bagi pelanggan yang ditetapkan.
Kelima, syarikat penyedia khidmat badal haji perlu mewujudkan pool yang melibatkan mereka yang melakukan badal haji. Situasi ini penting bagi memastikan mereka tidak digunakan berulang kali bagi pelanggan yang berbeza. Setiap pelanggan boleh menilai kesahihan ibadat haji yang dilaksanakan.
Ingatlah, pihak yang terlibat dalam badal haji sama ada yang menjadi orang tengah di Malaysia atau pihak yang berada di Arab Saudi terutamanya pelaksana badal haji bahawa penipuan adalah perbuatan yang dimurkai oleh Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW tidak mengaku sebagai umat baginda. Nabi SAW telah menegaskan dalam hadisnya, maknanya: “Sesiapa yang menipu, dia bukan dari golongan kami. Orang yang melakukan tipu daya dan penipuan, tempatnya adalah di neraka.” (HR Ibnu Hibban).
Oleh itu, mereka yang berhasrat melakukan badal haji perlu berhati-hati agar tidak terlibat dalam transaksi yang tidak wujud atau ditipu oleh golongan yang mencari keuntungan di atas angin, sebaliknya buatlah semakan dan penelitian terhadap pakej yang ditawarkan.
Walaupun ia hanya badal haji tetapi ia tetap tertakluk kepada syarat istitoah atau kemampuan manakala pihak yang menyediakan khidmat badal haji perlulah bertanggungjawab dan berintegriti dalam melaksanakan amanah yang dititipkan oleh pelanggan.
Patuhilah hukum, peraturan dan perundangan yang ditetapkan pihak kerajaan Malaysia dan Arab Saudi agar khidmat dan perniagaan yang dijalankan mendapatkan keberkatan dan ibadah badal haji diterima di sisi Allah SWT.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.