Silakan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025
Terdapat peningkatan pempamer di PBAKL 2025 iaitu sebanyak 1172 pempamer berbanding 972 pempamer pada PBAKL 2024.

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) kembali menjengah setelah hampir setahun melabuhkan tirai pada 2 Jun 2024 yang lalu.
Kembali dengan tema ‘Buku: Membaca, Memimpin’ PBAKL 2025 yang merupakan penganjuran kali ke-42 akan bermula pada 23 Mei 2025 hingga 1 Jun 2025 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Terdapat peningkatan pempamer di PBAKL 2025 iaitu sebanyak 1172 pempamer berbanding 972 pempamer pada PBAKL 2024. Daripada pecahan tersebut, pempamer dari luar negara turut meningkat iaitu sebanyak 28 pempamer berbanding 14 pempamer dari luar negara pada PBAKL 2024.
Perbandingan ini menunjukkan dalam kerancakkan dan ledakan teknologi maklumat serta media sosial, sehingga artikel dan buku diwujudkan dalam bentuk e-buku serta laman bacaan secara dalam talian, rupa-rupanya masih ramai yang suka dan meminati buku fizikal yang bercetak.
Daripada genre fiksyen seperti novel, puisi, cerpen dan lain-lain hinggalah kepada genre non-fiksyen seperti buku umum, buku ilmiah, kitab, jurnal dan lain-lain, buku fizikal juga yang dicari, buku fizikal jugalah yang dinanti.
Ini dibuktikan dengan bilangan pengunjung PBAKL 2024 yang dijangka hadir seramai 1.5 juta orang pada awalnya, tetapi jumlah akhir yang hadir seramai 1.8 juta orang pengunjung menurut penganjur dengan 70 hingga 80 peratus daripada mereka merupakan golongan muda. Untuk PBAKL 2025, penganjur menyasarkan pengunjung seramai 1.9 juta orang.
Penerbit UiTM, seperti sebelum-sebelum ini akan menyertai PBAKL 2025 di bawah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM). Sepintas lalu mengenai MAPIM, ia adalah sebuah badan yang bergiat aktif dalam pembangunan bidang penerbitan ilmiah dan saintifik.
Ahlinya terdiri daripada semua penerbit Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), pusat penyelidikan di Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Untuk PBAKL 2025, reruai MAPIM (reruai 6 hingga 35) terletak di Seksyen 6, Dewan Tun Razak 3.
Pengunjung merebut tawaran istimewa sepanjang PBAKL 2025
Dengan berlangsungnya PBAKL 2025, perkara yang paling menarik ialah banyak pempamer mahupun penerbit buku menawarkan harga istimewa yang lebih murah dan berpatutan sepanjang tempoh PBAKL 2025 berlangsung.
Tawaran harga istimewa ini tidak diberikan di luar tempoh PBAKL 2025. Ada juga pempamer dan penerbit yang turut meluaskan konsep tawaran harga istimewa ini ke kedai dalam talian mereka, dengan syarat pembelian dilakukan sepanjang tempoh PBAKL 2025 berlangsung.
Pada PBAKL 2024, siapa yang tidak teruja apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjual majalah-majalah lama mereka yang dalam kondisi baharu dan berbungkus plastik dengan harga RM 1.00 untuk setiap unit majalah.
Buku-buku lama bukan terpakai yang kondisinya masih baharu atau dalam istilah semasa ‘brand new with tag’ (BNWT) pula dijual dengan potongan harga sekitar 30 hingga 40 peratus memang berbaloi untuk dimiliki, terutama jika buku tersebut tidak dicetak ulang. Memang langka!
Selain itu, pengunjung sudah pasti mahu mendapatkan buku-buku baru yang dilancarkan atau dijual semasa PBAKL 2025. Dengan menjadi di antara yang terawal memiliki dan membaca buku-buku baru ini, ia memberikan keseronokan yang tidak terhingga kepada para pembaca dan pencinta buku.
Pengunjung juga sudah pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk berjumpa dan beramah mesra dengan penulis kegemaran masing-masing. Sudah pasti pempamer akan menurunkan para penulis terbaik yang dimiliki syarikat.
Pempamer juga sudah mula menyusun dan menghebahkan sesi temu dan sapa bersama para penulis menerusi hebahan di poster dan media-media sosial. Bila sudah bertemu penulis pujaan, jangan lupa merakam gambar atau video sebagai kenang-kenangan bersama penulis.
Personal Shopper kawan kita sepanjang PBAKL 2025
Jika anda tidak dapat hadir secara fizikal ke PBAKL 2025 dan tidak sabar untuk membaca buku-buku baharu, buku-buku yang anda minat serta tidak mahu menunggu lama bagi pembelian anda dihantar penerbit sekiranya anda membeli secara dalam talian, anda boleh mendapatkan khidmat ‘personal shopper’ yang sedia memberikan khidmat sewaktu PBAKL 2025.
‘Personal shopper’ atau pembeli peribadi merujuk kepada orang perseorangan atau kumpulan yang menawarkan perkhidmatan berbayar yang akan membantu pelanggan membeli buku yang diingini.
Bermula daripada proses konsultasi peribadi dan perbincangan, pembelian sehingga penghantaran buku sama ada secara bersemuka ataupun secara pos dan kurier bagi pembeli yang jauh, semuanya akan diuruskan oleh ‘personal shopper’. Situasi menang-menang ini akan menguntungkan pembeli dan ‘personal shopper’ itu sendiri.
PBAKL 2025 medan terbaik buat penerbit dan pempamer
Usai PBAKL 2024 melabuhkan tirai, banyak ibrah yang boleh dipelajari oleh para penerbit dan pempamer. Pada PBAKL 2025 ini, para pempamer wajar memanfaatkan peluang yang diberikan sebagai pempamer dengan optimum kerana peluang yang datang ini hanya datang setahun sekali sewaktu PBAKL berlangsung sekiranya pempamer tidak menyertai pesta buku lain.
Tambahan pula, PBAKL merupakan penganjuran pesta buku terbesar di negara kita berbanding pesta buku lain yang dianjurkan. Pascanilai PBAKL 2024 yang dibuat sangat membantu pempamer untuk lebih bersedia mendepani PBAKL 2025.
Pempamer perlu melihat latihan ataupun masa latihan yang diperuntukan kepada petugas reruai mencukupi terutama kepada petugas sambilan bagi membolehkan para petugas ini benar-benar telah bersedia untuk beraksi pada PBAKL 2025.
Pempamer juga boleh memberikan ‘morning briefing’ ataupun kata-kata semangat kepada para petugas reruai sebelum reruai dibuka setiap hari. Barulah para petugas ini kekal bersemangat, yakin dan fokus mengendalikan reruai serta pengunjung.
Seperkara lagi, orang Malaysia sukakan hadiah percuma. Pempamer atau penerbit boleh memberikan setiap pengunjung yang melintas di hadapan reruai mereka penanda buku ‘custom made’ yang dicetak kata-kata puitis mahupun motivasi. Kemudian penanda buku tersebut disembur pewangi.
Lagi menarik, penanda buku tersebut mempunyai nombor siri yang perlu disimpan pengunjung bagi peraduan cabutan bertuah oleh pempamer. Tidak perlu hadiah besar, dengan hadiah buku pun pemenang sudah tersenyum lebar.
Jangan lupa meletakkan e-mel, laman media sosial pempamer atau penerbit serta nombor telefon. Pasti pengunjung akan berhubung dengan anda kelak.
Selain promosi fizikal atau ‘offline’ sewaktu di reruai, pempamer atau penerbit perlu memanfaatkan teknologi media sosial untuk menjalankan promosi dengan agresif secara dalam talian atau ‘online‘ sewaktu PBAKL seterusnya berlangsung.
Penggunaan ‘page’ Facebook perniagaan ataupun beriklan di dalam Facebook ‘group’, aplikasi TikTok bagi promosi reruai atau buku secara video, melakukan temu bual pelanggan mahupun sesi ‘live’ bersama penulis atau pengunjung, aplikasi Instagram bagi melakukan promosi melalui gambar-gambar menarik buku serta promosi reruai, semuanya ini adalah percuma dan boleh dimanfaatkan penerbit dan pempamer secara optimum.
Selain itu, PBAKL 2025 ini merupakan detik penting buat penulis, terutama kepada penulis baharu, penulis bukan dalam kalangan nama besar ataupun penulis swaterbit. Gunakan PBAKL 2025 sebagai medan untuk anda memperkenalkan diri dan memperkenalkan buku serta karya anda.
Jika pempamer atau penerbit tempat anda bernaung mengadakan sesi temu dan sapa penulis, anda hadir pada sesi anda berlangsung. Gunakan sesi tersebut sebaik mungkin untuk anda berinteraksi dengan pengunjung, menurunkan tandatangan kepada buku anda yang dibeli, bergambar bersama peminat serta berinteraksi dengan peminat.
Jika pempamer tidak mengadakan sesi temu dan sapa, anda juga perlu hadir dan memberikan sokongan dengan mempromosikan reruai tempat anda dan buku anda bernaung walaupun anda bukan staf pempamer. Muat naik gambar reruai, buku anda serta aktiviti anda di reruai ke laman media sosial anda secara kerap. Ini turut membantu rakan dan pengikut anda di media sosial untuk turut hadir atau mempromosikan buku anda serta reruai pempamer.
Kelainan PBAKL 2025
PBAKL seperti kelaziman sudah pasti akan menampilkan kelainan ataupun pendekatan baharu yang segar pada setiap tahun penganjuran. Begitu juga dengan PBAKL 2025. Tahun ini juga berlangsung Kepengerusian ASEAN-MALAYSIA 2025 selama setahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025.
Justeru, pada 31 Mei 2025, jam 8.00 malam bertempat di Pentas Utama PBAKL, akan berlangsung konsert mini lagu rakyat ASEAN dimana para pengunjung akan dihiburkan dengan lagu rakyat dari Malaysia, Taiwan, Thailand dan Indonesia.
Selain itu, PBAKL 2025 juga akan menganjurkan acara Solopreneur Perbukuan 2025 pada 2 hari terakhir PBAKL iaitu pada 31 Mei 2025 hingga 1 Jun 2025 di Dewan Tun Dr. Ismail, WTCKL. Acara ini menawarkan perkhidmatan kepada orang buku oleh usahawan perkhidmatan yang berkaitan dengan industri buku.
Kesimpulan
Sebagai penutup, semua pihak perlu melihat dan memanfaatkan potensi besar yang dimiliki PBAKL secara tuntas dan serius serta memberikan sokongan sekuat mungkin kepada PBAKL 2025. Sinergi di antara pengunjung, pempamer, penerbit dan penulis secara aktif serta bijaksana mampu melestarikan PBAKL sebagai pesta ilmu yang memanusiakan masyarakat madani melangkau generasi.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.