Strategi dapat kerja gaji tinggi dalam persaingan bakat 2025
Lima persediaan strategik untuk digunakan bagi memaksimumkan peluang mendapatkan gaji yang lumayan di dalam pasaran pekerjaan hari ini.

DI tengah-tengah peningkatan keperluan untuk pekerja mahir di Malaysia dan kemunculan fenomena ‘perang bakat’, persaingan dalam dunia pekerjaan semakin sengit sebenarnya.
Walaupun peluang pengambilan pada 2025 menunjukkan trend yang positif, pencari kerja perlu menyediakan diri mereka dengan kemahiran insaniah dan strategi yang betul untuk cemerlang dan relevan di mata syarikat.
Para pencari kerja terutama graduan baharu bukan hanya setakat mempertikaikan gaji pemulaan tetapi mereka juga meneliti lima persediaan strategik untuk digunakan bagi memaksimumkan peluang mendapatkan gaji yang lumayan di dalam pasaran pekerjaan hari ini.
Kuasai Kemahiran Digital dan Leverage AI
Syarikat kini memberi perhatian besar kepada keupayaan digital. Laporan Jobstreet oleh SEEK menunjukkan bahawa 71 peratus syarikat mula mempertimbangkan kemahiran asas dalam penggunaan AI.
Walaupun belum lagi menjadi keperluan utama, kemahiran seperti analisis data, pemasaran digital dan penggunaan alatan AI seperti ChatGPT atau Google Analytics, boleh menjadi nilai tambah. Mula melaburkan masa dalam pembelajaran melalui kursus dalam talian atau pensijilan rasmi untuk kekal relevan.
Ringkasnya, dunia pekerjaan kini bukan hanya berkaitan tentang siapa yang paling bijak tetapi siapa yang paling bersedia. Institusi Pengajian Tinggi perlu memainkan peranan utama dalam melengkapkan para pelajar dengan kemahiran digital yang relevan, bukan sahaja dalam bidang ICT, tetapi dalam semua bidang pengajian.
Jadi, sama ada mereka bakal seorang jurutera, usahawan, pakar pemasaran atau pentadbir, satu perkara pasti, jika mereka ingin terus relevan dalam dunia yang semakin dikuasai teknologi, mereka perlu kuasai digital atau bersedia untuk ditinggalkan.
Fokus pada Memohon Jawatan dalam Permintaan Tinggi
Pada tahun 2024, jawatan seperti Pemasaran, Sumber Manusia, Jualan, Kewangan dan IT akan menjadi jawatan yang paling kerap dibuka. Para pencari kerja perlu mengkaji trend ini dan sesuaikan CV mereka agar relevan dengan keperluan syarikat. Jangan lupa untuk teruskan peningkatan kemahiran mengikut kedudukan yang disasarkan, supaya kompetensi mereka tidak ketinggalan berbanding gaji yang diminta.
Bina Penjenamaan Peribadi Profesional
Dalam era digital, profil LinkedIn boleh sama pentingnya dengan CV. Tunjukkan kemahiran, pencapaian dan minat kerjaya dengan jelas dan profesional. Aktif dalam berkongsi pandangan atau portfolio pada platform profesional untuk mengukuhkan kehadiran mereka di mata perekrut. Jenama peribadi yang kukuh boleh membuka peluang sebelum mereka memohon pekerjaan.
Hari ini, jika calon tidak mempunyai jenama peribadi yang kukuh, mereka mungkin mempunyai kerjaya yang biasa-biasa saja. Itu kerana jenama yang kukuh lebih menonjol. Profesional yang mengetahui perkara ini dapat menarik pelbagai jenis peluang yang betul dan ia akan membantu mereka meningkatkan kejayaan dan kebahagiaan mereka di tempat kerja.
Jadi jangan hanya pandai meminta gaji yang tinggi tapi kemahiran tidak serberapa.Semua jenama peribadi yang kukuh mempamerkan tiga ‘K’ yang tidak boleh dirunding berikut antaranya Kejelasan, Konsistensi dan Ketekalan.
Jangan Pandang Rendah Kontrak atau Kerja Sambilan
Jawatan kontrak atau bebas bukan lagi pilihan kedua. Banyak syarikat sebenarnya menggunakan format ini sebagai laluan penilaian sebelum menawarkan jawatan tetap. Terutama bagi mereka yang baru menamatkan pengajian atau sedang bertukar kerjaya, pekerjaan ini boleh menjadi batu loncatan strategik untuk meluaskan pengalaman dan rangkaian.
Kerja separuh masa juga menawarkan peluang untuk memperoleh pengalaman dan kemahiran baru. Individu yang bekerja separuh masa dapat belajar pelbagai kemahiran seperti komunikasi, pengurusan masa, kerja berpasukan dan lain-lain yang sangat berguna dalam kehidupan serta karier mereka di masa hadapan.
Akhirnya, salah satu kelebihan utama kerja separuh masa ialah peluang untuk membina rangkaian profesional dan peribadi. Dengan bekerja dalam pelbagai industri dan persekitaran, individu mempunyai peluang untuk bertemu dengan pelbagai orang yang boleh memberi nasihat, bantuan, atau peluang pekerjaan di masa hadapan. Ini dapat membuka pintu kepada peluang karier dan rangkaian yang luas.
Pilih Syarikat dengan Budaya Sihat dan Laluan Kerjaya
Gaji yang besar sememangnya menarik tetapi juga pertimbangkan budaya kerja, tangga kerjaya dan peluang pembangunan diri di syarikat sasaran. Ramai pekerja meletak jawatan bukan kerana gaji tetapi kerana kekurangan penghargaan dan peluang pertumbuhan. Ketahui sebanyak mungkin maklumat tentang reputasi syarikat melalui ulasan pekerja atau forum profesional.
Fenomena perang bakat bukan sahaja menunjukkan peningkatan permintaan terhadap pekerja berkualiti di Malaysia, malah menjadi momentum penting kepada pencari kerja menilai hala tuju kerjaya mereka. Dengan strategi yang betul, bakat negara boleh menjadi pemain terkemuka dalam pasaran buruh, sambil turut membantu mewujudkan ekosistem kerja yang lebih sihat, adil dan lebih mampan.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.