Sungai amanah Tuhan, jangan kotori dengan najis korban

Ibadah korban yang dilaksanakan bukan sekadar proses penyembelihan haiwan semata-mata tetapi merupakan lambang ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan kepada Allah SWT.

Poster Terkini


SETIAP kali tibanya Hari Raya Aidiladha, umat Islam di seluruh dunia menyambutnya dengan penuh syukur dan penghayatan. Ibadah korban yang dilaksanakan bukan sekadar proses penyembelihan haiwan semata-mata tetapi merupakan lambang ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan kepada Allah SWT.

Ia mengingatkan kita kepada peristiwa agung pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS, yang menunjukkan kepatuhan mutlak terhadap perintah Ilahi.

Selain itu, ibadah korban turut mendidik umat Islam tentang pentingnya semangat berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan melalui pembahagian daging. Amalan ini bukan sahaja memperkukuh ikatan sesama masyarakat, malah menjadi wadah menyemai nilai kasih sayang dan keprihatinan dalam komuniti.

Namun begitu, keindahan ibadah ini tidak akan sempurna sekiranya pelaksanaannya mencetuskan pencemaran alam sekitar, khususnya apabila najis dan sisa dalaman haiwan korban, termasuk perbuatan membasuh perut lembu dibuang sewenang-wenangnya ke dalam sungai dengan alasan ia mudah dialirkan.

Walaupun sebahagian masyarakat beranggapan bahawa amalan ini merupakan tradisi turun-temurun dan dianggap sebagai kaedah terbaik untuk membersihkan organ dalaman haiwan menggunakan air sungai yang deras, hakikatnya kaedah tersebut tidak sesuai dan tidak mesra alam.

Tindakan ini boleh menjejaskan kebersihan alam sekitar serta memberi kesan buruk terhadap ekosistem air, memandangkan air sungai merupakan sumber penting bagi keperluan harian masyarakat setempat termasuk digunakan untuk pertanian dan penternakan.

Sungai sebagai amanah Allah

Sungai merupakan sumber air utama yang amat penting bagi kelangsungan hidup manusia, haiwan dan tumbuhan. Dalam Islam, sungai dan air dianggap sebagai nikmat dan rezeki daripada Allah SWT yang wajib disyukuri dan dipelihara.

Firman Allah dalam Surah al-Anbiya’, ayat 30 yang bermaksud: “Dan Kami jadikan daripada air segala sesuatu yang hidup.”

Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa air yang mengalir melalui sungai merupakan asas kepada segala bentuk kehidupan di bumi. Sungai menjadi sumber utama bagi bekalan air bersih, makanan serta peluang ekonomi melalui hasil hidupan akuatik seperti ikan yang boleh ditangkap dan diperdagangkan.

Justeru, pemeliharaan sungai amatlah penting agar fungsinya sebagai sumber kehidupan dapat terus dinikmati oleh generasi kini dan akan datang.

Malangnya, saban tahun berlaku insiden pencemaran sungai akibat perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab. Masalah ini bukan sahaja berlaku semasa musim ibadah korban, malah turut melibatkan industri penternakan yang menyumbang kepada pencemaran apabila najis dialirkan terus ke sungai akibat sikap sambil lewa pengusaha dalam mematuhi peraturan alam sekitar.

Kajian menunjukkan bahawa najis haiwan boleh membawa bakteria berbahaya seperti E. coli dan Salmonella yang berisiko mencemarkan air sungai dan mengancam kesihatan awam. Selain itu, pencemaran ini boleh menyebabkan kematian ikan, gangguan kepada ekosistem sungai serta menimbulkan bau busuk dan air menjadi keruh.

Oleh yang demikian, sungai merupakan anugerah Ilahi yang harus dipelihara dengan penuh tanggungjawab. Sikap cuai dan tidak beretika dalam menguruskan sisa najis haiwan, khususnya ketika musim ibadah korban dan dalam industri penternakan boleh mengundang kesan buruk terhadap alam sekitar dan kesihatan masyarakat awam.

Perspektif Maqasid Shariah dalam Menjaga Alam

Islam menuntut umatnya menjaga kebersihan dan memelihara alam sekitar. Dalam kerangka Maqasid Shariah, terdapat lima perkara asas yang mesti dipelihara, antaranya agama (al-din), nyawa (al-nafs), akal (al-‘aql), keturunan (al-nasl) dan harta (al-mal). Dalam konteks menjaga alam sekitar, dua maqasid utama yang relevan ialah penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dan penjagaan harta (hifz al-mal).

Menjaga kebersihan sungai bermaksud memastikan air yang digunakan oleh masyarakat untuk pelbagai keperluan seperti minuman, memasak, mandi, pertanian dan penternakan berada dalam keadaan bersih dan selamat. Hal ini kerana air sungai merupakan keperluan asas yang sangat penting bagi kesejahteraan hidup manusia. Justeru, ia dikategorikan sebagai sumber awam yang wajib dipelihara daripada sebarang bentuk pencemaran.

Langkah menjaga kebersihan sungai bukan sahaja membantu melindungi nyawa manusia daripada risiko penyakit dan jangkitan, malah turut menyumbang kepada kelestarian ekosistem yang menjadi habitat bagi pelbagai hidupan akuatik. Ekosistem yang terpelihara ini seterusnya menyokong sumber rezeki seperti ikan dan hasil pertanian, sekali gus memelihara harta masyarakat.

Dalam konteks ini, umat Islam yang melaksanakan ibadah korban perlu sedar bahawa tindakan mencemari sungai dengan najis haiwan adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Bahkan, mencemarkan air yang menjadi sumber keperluan awam termasuk dalam kategori perbuatan berdosa. Hal ini ditegaskan dalam hadis Nabi Muhammad SAW: “Jangan melakukan perbuatan memudaratkan dan jangan membalas kemudharatan” (Sunan Ibn Majah, No 2340).

Hadis ini menekankan larangan keras terhadap sebarang tindakan yang boleh membawa mudarat kepada manusia atau alam sekitar. Justeru, penjagaan alam sekitar seperti sungai bukan sahaja satu aspek tanggungjawab sosial, tetapi juga merupakan tuntutan agama yang berlandaskan prinsip Maqasid Shariah, khususnya dalam menjaga nyawa (ḥifẓ al-nafs) dan harta (ḥifẓ al-māl).

Garis Panduan Kesihatan Awam dalam Pengurusan Sisa Korban

Pengurusan organ dalaman dan najis haiwan korban perlu dilakukan secara sistematik dan beretika bagi mengelakkan pencemaran Sungai berlaku. Berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Public Health Malaysia (PHM), terdapat beberapa langkah penting harus dipatuhi oleh masyarakat. Antaranya ialah perut dan usus haiwan tidak boleh dibasuh di sungai bagi mengelakkan pencemaran air yang digunakan oleh masyarakat.

PHM turut menyarankan agar lubang najis atau tong najis khas disediakan dan dikambus selepas digunakan. Tambahan pula, najis dan organ buangan perlu dikumpulkan dalam plastik hitam tebal sebelum dihantar ke tapak pelupusan bagi memastikan sisa tersebut tidak terdedah kepada persekitaran.

Selain itu, sisa haiwan hendaklah ditanam di dalam lubang yang dalam dan jauh dari kawasan sungai atau penempatan bagi mengelakkan pencemaran bau dan penyebaran penyakit. Masyarakat juga diingatkan supaya tidak membiarkan sisa haiwan terdedah atau menjadi makanan haiwan liar, kerana ini boleh menyebabkan penularan wabak dan ancaman kesihatan awam.

Oleh itu, pematuhan terhadap garis panduan pengurusan sisa korban bukan sahaja penting untuk melindungi kesihatan manusia, malah turut berperanan dalam memelihara ekosistem daripada kemusnahan akibat sisa yang tidak diurus dengan baik.

Tanggungjawab Bersama

Isu pencemaran sungai akibat najis korban bukanlah isu individu semata-mata tetapi merupakan tanggungjawab bersama. Pihak berkuasa tempatan, badan agama, pihak masjid dan komuniti setempat perlu berganding bahu dalam mendidik masyarakat tentang pengurusan sisa korban yang betul dan beretika.

Penggunaan tapak sembelihan berpusat yang dilengkapi sistem pelupusan sisa secara sistematik perlu diperluas bagi memastikan pelaksanaan ibadah korban mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Masyarakat juga perlu disedarkan bahawa sungai bukanlah tempat pembuangan sisa, sebaliknya merupakan anugerah Allah yang wajib dihargai dan dipelihara.

Kempen kesedaran dan pendidikan berterusan harus dilaksanakan merangkumi pendekatan dari sudut pandang agama serta sains alam sekitar agar kesedaran ini benar-benar meresap dalam jiwa masyarakat.

Kesimpulan

Ibadah korban adalah lambang keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT.

Namun, keikhlasan itu tidak akan sempurna jika dicemari dengan perbuatan yang merosakkan alam sekitar. Ibadah korban tidak berakhir dengan penyembelihan haiwan semata-mata, pengurusan sisa yang baik juga merupakan sebahagian daripada kesempurnaan ibadah tersebut.

Keindahan ibadah ini harus dilengkapkan dengan rasa tanggungjawab terhadap ciptaan-Nya yang lain, termasuk menjaga sungai dan alam sekitar. Sebagai umat Islam yang mencintai kebersihan dan kelestarian, marilah kita memahami bahawa ibadah dan tanggungjawab sosial tidak boleh dipisahkan.

Sesungguhnya, sungai adalah amanah daripada Tuhan. Janganlah kita mengkhianati amanah itu dengan perbuatan kita sendiri. Sungai bukan tempat mencuci najis korban, dan alam ini bukan milik peribadi kita. Ia adalah titipan Ilahi yang wajib kita pelihara dengan sebaiknya.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.