Ronaldo cipta rekod, tandatangan kontrak RM2.83 juta sehari

Ronaldo
RIYADH, 26 Jun 2025 – Cristiano Ronaldo menandatangani kontrak paling lumayan dalam sejarah sukan dengan perjanjian baharu bernilai 492 juta pound (RM2.86 bilion) untuk tempoh dua tahun.
Legenda Portugal berusia 40 tahun itu akan kekal bersama Al-Nassr untuk tempoh dua tahun lagi, dengan gaji asas mencecah 488,000 pound (RM2.83 juta) sehari.
Bekas bintang Manchester United itu turut ditawarkan kemewahan lain untuk menjadi duta bagi kelab Arab Saudi itu dan pendapatannya mampu mencecah hingga RM3 bilion untuk dua tahun akan datang.
Selain gaji 178 juta pound (RM1.03 bilion) setahun, Ronaldo juga akan dibayar 24.5 juta pound (RM142.26 juta) sebagai bonus menandatangani kontrak yang akan meningkat kepada 38 juta pound (RM220.64 juta) jika dia memasuki tahun kedua kontraknya.
Selain daripada itu dia turut ditawarkan pegangan saham sebanyak 15 peratus dalam kelab, yang bernilai 33 juta pound (RM191.54 juta).
Dengan bonus 4 juta pound (RM23.22 juta) untuk memenangi Kasut Emas dan 8 juta pound (RM46.44 juta) jika Al-Nassr memenangi gelaran, Ronaldo mampu mengumpul lebih RM3 bilion sebaik kontraknya tamat.
Ronaldo dan keluarganya juga akan dijaga seperti orang kenamaan di luar padang.
Dia akan mempunyai 16 pembantu sepanjang masa – tiga orang pemandu, empat pembantu rumah, dua tukang masak, tiga tukang kebun dan empat pengawal keselamatan.
Semua perbelanjaan ini ditanggung oleh Al-Nassr, dianggarkan sekitar 1.4 juta pound (RM8.12 juta).
Selain daripada itu kos penggunaan jet peribadi bernilai 4 juta pound (RM23.22 juta) juga ditanggung Al-Nassr, serta perjanjian penajaan oleh syarikat-syarikat Arab Saudi yang mampu mencecah 60 juta pound (RM348.28 juta). – AGENSI