Mata Helang: Terang atau kelam di sebalik RUU Pekerja Gig 2025
Malaysia akan menjadi antara negara terawal yang mewujudkan rangka undang-undang khusus untuk pekerja sektor gig.

KELULUSAN Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Dewan Negara baru-baru ini adalah satu langkah bersejarah, Malaysia akan menjadi antara negara terawal yang mewujudkan rangka undang-undang khusus untuk pekerja sektor gig.
Namun, seperti biasa dengan perubahan besar, bukan semua cahaya memancar, ada juga bayang yang mengikuti. Mata Helang kaji positif dan negatifnya dan banding dengan jiran kita di Indonesia supaya rakyat tidak terpedaya hanya dengan janji manis.
Apa yang positif
1. Pengiktirafan undang-undang dan definisi jelas – Sebelum ini, pekerja gig iaitu penghantar makanan, e-hailing/p-hailing, pekerja bebas digital berada dalam zon kelabu undang-undang. Mereka tiada hak yang jelas di bawah Akta Kerja 1955, tiada jaminan gaji minimum, cuti sakit, syarat kerja yang formal. Dengan RUU ini, pekerja gig akan diiktiraf secara sah, mempunyai definisi sendiri, dan ‘hak rundingan gaji dan syarat kerja’.
2. Perlindungan keselamatan sosial dan kewajipan caruman – Salah satu aspek penting ialah sektor gig akan wajib mencarum dengan PERKESO melalui mekanisme baharu. Contohnya, pekerja gig e-hailing/p-hailing dikehendaki caruman pada kadar 1.25 peratus daripada pendapatan selepas ditolak komisen dan tip. Ini bermakna, apabila berlaku kemalangan atau isu keselamatan, ada sokongan undang-undang dan kewangan.
3. Mekanisme penyelesaian pertikaian – RUU menyediakan saluran bagi pekerja gig membuat aduan, penyelesaian konflik atau masalah dengan platform. Ini memberi harapan bahawa tidak semua pertikaian akan bergantung pada sentimen atau lobby pihak tak berkuasa.
4. Penyertaan pihak berkepentingan dan proses libat urus – Kerajaan telah melakukan sekitar 40 sesi libat urus dengan hampir 4,000 pihak berkepentingan serta menerima lebih 500 maklumbalas dalam talian, untuk memperkemas draf RUU. Ini menunjukkan ada usaha mendengar suara industri, pekerja, NGO dan akademik.
5. Menepati piawaian antarabangsa dan menarik pelabur – Dengan undang-undang yang jelas dan perlindungan yang lebih sistematik, Malaysia berharap dapat memperkukuh reputasinya dalam pelaburan asing, terutama dalam ekonomi digital. Negara yang dilihat menjaga hak pekerja dianggap lebih stabil dan adil.
Apa yang masih meragukan atau negatif
1. Ketiadaan jaminan gaji minimum dan ketelusan dalam pemotongan – Suhakam sudah menegur bahawa RUU ini tidak jelas dalam beberapa aspek seperti jaminan gaji minimum dan tempoh pembayaran. Pemotongan komisen, bayaran lewat atau caj tersembunyi masih boleh berlaku kerana undang-undang hanya menyebut larangan pemotongan sewenang-wenangnya, tetapi membenarkan ‘pemotongan atas sebab overpayment dan kes orang kena bayar balik’ yang boleh dieksploitasi.
2. Privasi dan data pekerja – RUU ini belum menyentuh dengan jelas hak privasi pekerja gig, khususnya penggunaan sistem rating atau skor oleh platform, yang kadangkala sistem penilaian atau algoritma boleh menekan pekerja, menjejaskan pendapatan jika skor buruk, kadangkala tanpa penjelasan yang adil.
3. Kos dan beban kepada platform dan pekerja – Majikan atau platform atau pihak yang menguruskan aplikasi gig sudah menyuarakan bahawa beban kewangan, kos operasi dan keperluan menyesuaikan sistem adalah besar. Contohnya integrasi sistem antara muka program, kos caruman, kos pentadbiran. Ada risiko harga perkhidmatan naik atau beberapa platform mundur jika tidak mampu menampung perubahan.
4. Ketidakpastian implementasi dan penguatkuasaan – Undang-undang yang bagus pun jika penguatkuasaan lemah akan menjadi kertas hiasan. Bagaimana mahu pastikan semua pekerja gig dicarum? Bagaimana untuk memantau platform yang mungkin lari daripada kewajipan? Adakah tribunal dan majlis perundingan itu akan efektif atau hanya menjadi lapik sahaja?
5. Fleksibiliti mungkin terjejas – Salah satu perkara yang sering digemari pekerja gig ialah fleksibiliti apabila mereka bebas pilih masa, jumlah kerja. Jika syarat menjadi terlalu rigid atau banyak keperluan formal, pekerja kecil yang bergantung pada gig hanya untuk pendapatan tambahan mungkin terkesan. Bagi mereka, beban birokrasi boleh menjadi halangan besar.
Banding dengan Situasi Indonesia
Melihat ke Indonesia, pekerja gig di sana sudah bertahun-tahun hidup dalam ketidakpastian undang-undang yang serupa tetapi lebih parah. Beberapa perkara:
1. Di Indonesia, ramai pekerja gig diklasifikasikan sebagai ‘mitra atau partner’, bukan pekerja sebenar. Ini bermakna banyak hak asas pekerja formal tidak berlaku kepada mereka, tidak ada jaminan upah minimum tetap, cuti sakit, keselamatan sosial atau jaminan hari rehat.
2. Penghasilan tidak stabil, jam kerja yang panjang dan sifat kompetitif platform memaksa pekerja gig mengambil banyak tempahan untuk cukup makan. Ada yang bekerja lebih dari waktu yang wajar, kadangkala dengan risiko keselamatan tanpa insurans atau perlindungan kerja.
3. Peraturan di Indonesia masih tertumpu kepada aspek tanggungjawab pekerja, kurang menekan platform untuk memikul tanggungjawab, contohnya dalam ketelusan komisen, dalam sistem algoritma dan dalam jaminan sosial.
Oleh Kerana itu, RUU Malaysia berpotensi untuk menjadi model lebih baik jika dilaksanakan secara telus dan adil, memeluk beberapa amalan baik daripada penggubalan di luar, sambil mengelak perangkap yang sudah merosakkan pekerja gig di negara jiran.
Jadi, Mata Helang merumuskan RUU Pekerja Gig 2025 adalah langkah yang sangat diperlukan dan pada banyak segi, ditunggu lama. Ia menjanjikan pengiktirafan, kejelasan dan perlindungan yang sebelum ini tidak ada.
Namun, janji undang-undang tidak sama dengan realiti pelaksanaan. Jika kerajaan hendak benar-benar membela pekerja gig, ia mestilah bukan sekadar retorik di Parlimen tetapi tindakan di lapangan.
Pekerja gig, terutama di kota besar, banyak bergantung kepada platform untuk mencari rezeki. Bila platform dikawal terlalu ketat, mungkin harga servis naik, mungkin pelanggan akan memilih alternatif lain, atau platform kecil ditindas oleh platform besar.
Namun, ketidakadilan dan eksploitasi yang berlaku sekarang (contoh Indonesia) menunjukkan bahawa tidak ada ruang lagi untuk kompromi hanya atas nama “fleksibiliti”.
Akhirnya, yang memegang kunci adalah penguatkuasaan dan ketelusan. RUU itu perlu disusuli pelan tindakan (roadmap), audit kepada platform, mekanisme aduan yang berkuasa dan perlindungan terhadap penyalahgunaan data.
Pekerja juga perlu dididik memahami hak mereka dan jangan biarkan undang-undang hanya jadi hiasan. Jika tidak, kita akan ulang tabiat lama iaitu undang-undang ada pada buku tapi pekerja gig masih di pinggiran, penat, tidak yakin dan mudah dibuli.
Malaysia boleh menjadi contoh teladan dalam perlindungan pekerja gig di dunia, bukan kerana RUU ini wujud tetapi kerana rakyat boleh lihat kerja keras mereka dihargai, bukan dilekeh dan ditindas.