UM perkukuh kerjasama Malaysia-Jepun dalam ilmu falak
Japan-Malaysia Seminar and Workshop on Hilal Observation 2025 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang ilmu falak.
KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2025 – Japan-Malaysia Seminar and Workshop on Hilal Observation 2025 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang ilmu falak antara Malaysia dan Jepun.
Program tiga hari ini menghimpunkan pakar falak, sarjana dan pengamal daripada kedua-dua negara bagi berkongsi ilmu serta pengalaman dalam pemerhatian anak bulan, penyelidikan astronomi dan penggunaan teknologi moden dalam penentuan waktu ibadah serta kalendar Islam.
Seminar ini dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Penyelidikan, Seksyen Falak, dengan kerjasama Rukyatul Hilal Committee Japan (RHCJ) dan Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS).
Dalam ucapan aluan Presiden RHCJ, Dr. Salimur Rahman Khan Nadwi, beliau menegaskan bahawa seminar ini menjadi platform penting bagi menghubungkan komuniti falak Muslim Jepun dengan dunia Islam.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kepakaran Malaysia dalam bidang cerapan anak bulan yang menjadi model rujukan bagi umat Islam di Jepun, khususnya dalam penetapan awal Ramadan dan hari raya.

Sementara itu, dalam ucapan pembukaan oleh Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan JAKIM, Amran Haji Awaludin menjelaskan bahawa JAKIM melalui Bahagian Penyelidikan memainkan peranan penting dalam mengurus, menyelaras dan memperkasa bidang falak Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Beliau memperincikan bahawa Seksyen Falak JAKIM berfungsi sebagai pusat rujukan nasional dan sekretariat kepada Panel Pakar Falak serta Jawatankuasa Penetapan Awal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah yang bekerjasama rapat dengan Jabatan Mufti dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Selain itu, JAKIM turut membangunkan Sistem Pemerhatian Anak Bulan Kebangsaan (MyRHK), yang merekodkan data rasmi kenampakan anak bulan dari seluruh Malaysia bagi tujuan penyelidikan jangka panjang dan perkongsian data antarabangsa.
Amran turut menyentuh beberapa projek penyelidikan utama JAKIM termasuk kajian cerapan kenampakan anak bulan selama 25 tahun, kajian waktu Subuh, kajian waktu solat di bangunan tinggi, penetapan standard kalendar Hijri, kajian dua marhalah serta pembangunan kalkulator falak syarie untuk iddah dan nasab, di samping penyediaan Almanak Falak Syar‘ie. Hasil penyelidikan ini menjadi asas kepada keputusan rasmi kebangsaan dan peringkat serantau, memastikan ketepatan kalendar Islam di rantau ini.
Beliau menegaskan bahawa usaha seperti seminar ini menjadi wadah penting dalam memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju dalam pentadbiran dan penyelidikan Islam di peringkat ASEAN.
Hari pertama seminar menampilkan tiga sesi utama dengan pembentangan oleh tokoh-tokoh syariah dan falak terkenal Malaysia termasuk Mufti Selangor, Sahibus Samahah Datuk Anhar Opir; Ahli Panel Pakar Falak JAKIM dan Profesor Kehormat Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mohd Zambri Zainuddin serta Ahli Panel Pakar Falak JAKIM dan Pensyarah Universiti Malaya, Dr. Raihana Abdul Wahab.
Turut serta ialah Dr. Nazhatulshima Ahmad dan Dr. Mohd Hafiz Safiai dari universiti tempatan, bersama pegawai kanan dari Jabatan Mufti Negeri Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.

Contohnya, Penolong Mufti Kanan, Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Hardi Mohamad Sadali membentangkan kertas kerja bertajuk Empowering Falak Management in Selangor: eFalak Selangor disertai taklimat praktikal penggunaan sistem eFalak bagi menentukan arah kiblat secara tepat.
Hari kedua diteruskan dengan lawatan budaya dan keagamaan ke beberapa lokasi penting di Tokyo seperti Kedutaan Besar Malaysia, Japan Muslim Association (JMA) dan Masjid Tokyo Camii. Siri kuliah selepas Isyak turut diadakan di beberapa masjid sekitar Tokyo termasuk Masjid Otsuka, Masjid Hira, Masjid Yokohama, Masjid Nishikasai dan Masjid Tokai yang menampilkan penceramah dalam kalangan mufti seperti Mufti Sarawak, Sahibus Samahah Dauk Kipli Yassin serta pegawai kanan JAKIM dan Jabatan Mufti Negeri.
Program lawatan dan sesi tazkirah ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara para peserta dengan komuniti Muslim minoriti di Jepun. Melalui sesi interaksi ini, masyarakat tempatan berpeluang memahami pendekatan Malaysia dalam bidang ilmu falak dan penetapan kalendar Islam.
Bengkel Aplikasi cerapan anak bulan turut melibatkan aktiviti praktikal di dua lokasi utama iaitu Balai Cerap Astronomi Nagano dan Kasai Marine Park, Tokyo.
Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk melaksanakan cerapan sebenar dengan bimbingan pakar falak dari Malaysia dan Jepun serta menilai keberkesanan instrumen optik dan teknologi perisian moden dalam pemerhatian anak bulan.
Cerapan ini dihadiri oleh penggiat dari pelbagai institusi seperti Japan Muslim Association dan Balai Cerap Kebangsaan Jepun (National Observatory of Japan, NOAJ).

Lawatan itu merupakan kesinambungan kepada usaha pemindahan ilmu (knowledge transfer) dalam bidang falak kepada komuniti Muslim minoriti antarabangsa.
Pada tahun sebelumnya, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya bersama JAKIM serta Jabatan Mufti Negeri telah mengadakan kursus ke Diyanet (Presidency of Religious Affairs), Turkiye bagi tujuan benchmarking dan pertukaran kepakaran dalam teori serta amalan cerapan anak bulan.
Tahun ini, Jepun dipilih sebagai destinasi kerana negara tersebut mengamalkan pendekatan rukyah tempatan dan turut merujuk hasil cerapan dari negara jiran seperti Malaysia dalam penentuan awal bulan Hijri.
Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi Islam di Asia Timur dan Asia Tenggara tetapi turut memperluas kefahaman falak dalam kalangan masyarakat minoriti Muslim Jepun melalui pemindahan ilmu teori dan praktikal berteraskan prinsip syariah serta kaedah saintifik moden.
Melalui program seperti ini, Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju bidang falak di peringkat antarabangsa.
