UiTM Rembau galak mahasiswa tingkat kemahiran melalui permainan strategi

Program itu dirangka secara kos efektif dan dibangunkan seiring dengan visi serta misi baharu UiTM

Feature Image

KUALA LUMPUR, 14 November 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Kampus Rembau, dengan kerjasama kumpulan penyelidik Strategic Interest Group (SIG) dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Rembau (EMLD) menganjurkan sebuah kempen permainan strategi keusahawanan yang menyasarkan pelajar kampus berkenaan.

Program itu dirangka secara kos efektif dan dibangunkan seiring dengan visi serta misi baharu UiTM: ‘Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional’ yang menekankan aspek profesionalisme melalui elemen keusahawanan.

Berteraskan konsep permainan papan (board games), inisiatif ini bertujuan membantu mahasiswa mengimbangi masa penggunaan telefon pintar dan menangani isu pengurusan masa yang semakin membimbangkan. Ia juga diharap dapat menghidupkan lagi suasana perpustakaan dengan menawarkan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif.

Menurut SIG EMLD dan pihak perpustakaan, hasil kajian menunjukkan permainan papan berperanan penting dalam meningkatkan fungsi kognitif dan kemahiran berfikir kritis dalam kalangan pelajar yang banyak bergantung kepada telefon pintar. Selain menggalakkan interaksi sosial, permainan ini turut menyokong usaha membentuk mahasiswa yang lebih berperikemanusiaan seiring slogan ‘memanusiakan manusia’.

Tidak seperti aktiviti skrin pasif, permainan papan merangsang penyelesaian masalah, menguatkan tumpuan dan membantu mengurangkan risiko ketagihan digital. Program itu juga memberi peluang kepada mahasiswa daripada pelbagai fakulti untuk berinteraksi, sekali gus memupuk hubungan rentas disiplin melalui permainan popular seperti Scrabble dan permainan strategi lain.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Penolong Rektor UiTM Kampus Rembau, Profesor Madya Dr. Masitah Ahmad, bersama Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Farrah Othman; Pustakawan Kanan, Mohd Hafiz Kasirun serta ahli SIG EMLD.

Prof. Madya Dr. Masitah menegaskan bahawa permainan strategi bukan sahaja mengukuhkan hubungan sosial tetapi turut memberi manfaat besar kepada kesihatan kognitif mahasiswa. Aktiviti seperti ini, jelasnya, membantu mengekalkan fungsi mental yang diperlukan untuk menghadapi dunia pekerjaan sebenar.

Puan Farrah Othman pula menambah bahawa permainan seperti catur dan permainan kad mampu merangsang pemikiran kritis serta berkesan mengurangkan kecenderungan ketagihan telefon pintar dalam kalangan mahasiswa.

Sementara itu, Mohd Hafiz Kasirun berharap lebih banyak kerjasama dapat diwujudkan untuk menambah bilangan permainan strategi di perpustakaan, selaras dengan misi UiTM yang baharu.

“Melonjak keilmuan, adab dan kepakaran bumiputera agar berjiwa usahawan melalui kurikulum termaju, pembangunan bakat, penyelidikan berimpak, dan sinergi industri demi kemakmuran tanah air serta kesejahteraan sejagat,” katanya.