Spritzer rai kecemerlangan jenama di peringkat global dan serantau pada 2025

Pengiktirafan berprestij di peringkat global dan serantau ini mengukuhkan kedudukan Spritzer sebagai jenama terkemuka dan dipercayai dalam industri minuman.

Feature Image (4)

Anugerah Asia Excellence Brand 2024 meraikan komitmen Spritzer terhadap kemampanan dan kepercayaan pengguna di seluruh Asia.

KUALA LUMPUR, 8 Disember 2025 – Spritzer Berhad, syarikat air mineral terkemuka di Malaysia, dengan bangganya mengumumkan dua pencapaian utama di peringkat antarabangsa setelah dinobatkan Anugerah Brand of the Year dalam Kategori Air di World Branding Awards 2025–2026 serta meraih Anugerah Asia Excellence Brand 2024.

Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan Spritzer terhadap kecemerlangan dan mengukuhkan reputasinya sebagai jenama yang dipercayai dan progresif, disokong oleh keyakinan kukuh pengguna di pasaran global dan serantau.

Ketua Perhubungan Awam, Winnie Chin yang mewakili Spritzer Berhad di kedua-dua majlis anugerah itu berkata, “Pengiktirafan antarabangsa ini amat bermakna bagi kami, selari dengan komitmen Spritzer untuk terus mengutamakan kualiti, inovasi, dan pengurusan yang bertanggungjawab di semua pasaran di mana kami beroperasi. Kami berbesar hati menerima anugerah ini sekali lagi, kerana ia mencerminkan kepercayaan pengguna terhadap Spritzer serta komitmen kami dalam menetapkan penanda aras kecemerlangan.

“Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan kami yang berdedikasi, rakan kongsi yang dihargai, dan pengguna setia yang sentiasa memberi inspirasi kepada kami untuk terus berusaha lebih baik.”

Pengiktirafan Global: World Branding Awards – Anugerah Brand of the Year dalam Kategori Air

Berlangsung pada 17 November 2025 di Osaka, Jepun, World Branding Awards anjuran World Branding Forum (WBF), sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan antarabangsa yang mempromosikan kecemerlangan penjenamaan telah menobatkan Spritzer Anugerah Brand of the Year dalam Kategori Air untuk tahun ke-11 berturut-turut.

Anugerah ini mengiktiraf jenama yang mempunyai kedudukan pasaran cemerlang, pengaruh serantau yang kukuh, dan kualiti yang konsisten. Pemenang dipilih melalui proses yang teliti melibatkan penilaian jenama, kajian pasaran, dan undian pengguna global, dengan lebih 91,000 peserta di seluruh dunia pada tahun ini.

Kepimpinan Serantau: Asia Excellence Brand Award 2024

Spritzer turut menerima Anugerah Asia Excellence Brand 2024 pada 30 Oktober 2025 di Hong Kong, yang disampaikan oleh Yazhou Zhoukan (Asia Weekly), sebuah majalah terkemuka berbahasa Cina. Anugerah ini mengiktiraf jenama yang mempamerkan prestasi cemerlang, pengaruh kuat, dan kredibiliti di seluruh Asia.

Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan Spritzer terhadap inovasi, kemampanan dan kualiti, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama air mineral pilihan pengguna di rantau ini.

Spritzer terus menerajui industri dalam tanggungjawab alam sekitar dengan hala tuju kemampanan yang jelas, termasuk pembungkusan 100 peratus boleh dikitar semula dari penutup botol hingga label dan penggunaan bahan kitar semula. Inisiatif ini mengukuhkan ikrar syarikat untuk menjadi jenama sirkular sepenuhnya menjelang 2030, menawarkan penghidratan semula jadi melalui penyelesaian inovatif yang prihatin terhadap alam sekitar.

Selama lebih tiga dekad, Spritzer telah mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama minuman terkemuka dan popular, sambil terus mengembangkan pasarannya.