Apabila penyelidikan universiti menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian

NANOGARD SC202 Premium membuktikan bagaimana penyelidikan universiti boleh diterjemahkan kepada aplikasi sebenar, khususnya dalam meningkatkan prestasi dan penyelenggaraan panel solar.

Feature Image (1)

APABILA kita memikirkan tentang penyelidikan universiti, kita sering membayangkan makmal yang dilengkapi instrumen canggih, para penyelidik dalam kot putih, istilah saintifik yang kompleks serta penemuan yang diterbitkan dalam jurnal akademik.

Namun, penyelidikan tidak seharusnya berakhir apabila eksperimen selesai dijalankan. Nilai sebenar penyelidikan terserlah apabila ilmu pengetahuan bergerak melangkaui makmal dan mula menangani permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat, sama ada di rumah, tempat kerja, sekolah, komuniti mahupun industri. Inilah yang dimaksudkan dengan mendekatkan penyelidikan universiti kepada masyarakat dan kehidupan seharian kita.

Salah satu contoh yang jelas ialah pembangunan dan aplikasi lapangan NANOGARD SC202 Premium (NANOGARD), iaitu salutan pembersihan kendiri yang dibangunkan melalui penyelidikan di Pusat Pengkhususan Tenaga Kuasa Termaju Universiti Malaya (UMPEDAC).

Teknologi ini dibangunkan bagi menangani masalah akumulasi habuk dan kotoran pada panel solar yang boleh mengurangkan keupayaannya untuk menjana tenaga solar. Pada pandangan pertama, isu ini mungkin kelihatan seperti satu permasalahan yang sangat khusus dalam bidang kejuruteraan atau sains bahan. Namun hakikatnya, ia berkait rapat dengan sesuatu yang semakin biasa dalam kehidupan rakyat Malaysia, iaitu tenaga solar.

Sepanjang dekad yang lalu, tenaga solar semakin mendapat perhatian di Malaysia, bermula dari dalam sektor industri dan kini semakin berkembang dalam kalangan isi rumah. Dengan peningkatan kos elektrik serta gelombang haba yang semakin kerap dirasai, permintaan terhadap sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan semakin jelas.

Tenaga solar bukan lagi sekadar pilihan alternatif, sebaliknya semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian rakyat Malaysia serta memainkan peranan dalam peralihan negara ke arah masa depan yang lebih mampan. Apabila semakin banyak industri dan isi rumah di Malaysia beralih kepada tenaga solar, perhatian lazimnya diberikan kepada kos pemasangan dan jumlah tenaga yang dapat dijana.

Namun begitu, aspek penyelenggaraan jangka panjang dan prestasi panel solar sering kurang diberikan perhatian. Pendedahan kepada persekitaran Malaysia yang panas, lembap dan berhabuk boleh menyebabkan pencemaran terkumpul pada permukaan panel, sekali gus berpotensi mengurangkan jumlah cahaya matahari yang sampai ke sel solar dan menjejaskan keupayaan panel untuk menuai tenaga.

Justeru, terdapat keperluan bukan sahaja untuk mempertingkatkan teknologi itu sendiri, tetapi juga memastikan penyelidikan universiti yang menangani cabaran tersebut dapat diterjemahkan daripada makmal kepada masyarakat. Malaysia mempunyai keupayaan penyelidikan yang kukuh dalam institusi pengajian tinggi.

Namun, impak penyelidikan akan menjadi lebih bermakna apabila penemuan saintifik dapat bergerak melangkaui makmal dan diterapkan dalam situasi sebenar. Teknologi yang dibangunkan melalui penyelidikan universiti mungkin kekal tidak diketahui oleh masyarakat sekiranya tiada laluan yang berkesan untuk menghubungkan penyelidik dengan industri, komuniti dan pengguna akhir.

Projek NANOGARD menggambarkan peluang dan cabaran tersebut. Salutan pembersihan kendiri yang dibangunkan di Universiti Malaya telah melalui proses pemindahan teknologi daripada penyediaan di makmal kepada aplikasi di ladang solar UNITEN.

NANOGARD menggunakan teknologi polimer berasaskan organik dan nano-kalsium karbonat bagi menghasilkan permukaan yang bersifat kalis air. Objektifnya adalah untuk mengurangkan lekatan dan pengumpulan habuk serta bahan cemar lain pada permukaan kaca panel solar.

Dalam istilah saintifik, proses ini boleh dihuraikan sebagai aplikasi kimia permukaan dan sains bahan. Namun, dalam bahasa yang lebih dekat dengan kehidupan seharian, ia merupakan satu penyelesaian yang membantu menjadikan permukaan panel lebih mudah dikekalkan bersih supaya panel solar dapat terus menjalankan fungsinya dengan lebih berkesan.

Aspek paling menarik dalam kisah NANOGARD ialah perjalanan fizikal teknologi tersebut daripada botol-botol di makmal kepada ladang solar. Salutan ini disintesis di Makmal Sains Bahan UMPEDAC, Universiti Malaya dan seterusnya, diaplikasikan menggunakan dron pertanian pada permukaan panel solar. Pada Jun 2026, NANOGARD berjaya diaplikasikan pada ladang solar UNITEN berkapasiti 50 kWp dan merekodkan peningkatan sebanyak 20% dalam jumlah pengeluaran tenaga.

Namun persoalan di kalangan masyarakat adalah, “Mengapa kami masyarakat perlu mengambil berat tentang salutan yang dibangunkan untuk panel solar?”

Hakikatnya, penyelidikan sering sampai ke rumah kita secara tidak langsung, kita tidak menyedarinya. Daripada ubat gigi yang kita gunakan sehinggalah kepada gajet terkini yang kita gunakan setiap hari, semuanya lahir daripada proses penyelidikan dan pembangunan.

Di sinilah ungkapan hasil penyelidikan universiti menjadi lebih bermakna. Penyelidikan bukan sekadar menghasilkan penerbitan atau kertas ilmiah. Sebaliknya, penyelidikan turut merangkumi usaha menghasilkan pengetahuan dan teknologi yang akhirnya berpotensi meningkatkan cara kita hidup.

Dalam konteks ini, NANOGARD menyumbang kepada peningkatan prestasi panel solar, yang seterusnya berpotensi meningkatkan penghasilan tenaga boleh baharu. Salutan yang dapat mengurangkan keperluan pembersihan bukan sahaja berpotensi meningkatkan pengeluaran tenaga dan memanjangkan jangka hayat panel solar, malah turut mengurangkan penggunaan air dan tenaga kerja bagi tujuan penyelenggaraan. Impak sesuatu projek penyelidikan bermula apabila kerelevanan hasil penyelidikan tersebut dapat diterjemahkan kepada aplikasi yang berdaya maju.

Impak pengalaman NANOGARD dapat diperlihatkan dari tiga sudut penting. Pertama merupakan inovasi bahan, iaitu pembangunan salutan pembersihan kendiri. Kedua merupakan inovasi proses, melalui pembangunan kaedah yang practical menggunakan pendekatan bantuan dron untuk mengaplikasikan salutan pada permukaan panel yang lebih luas dan ketiga, pengesahan keberkesanan dalam dunia sebenar, melalui ujian masa nyata dalam persekitaran operasi sebenar.

Ketiga-tiga peringkat ini menunjukkan bagaimana penyelidikan boleh bergerak daripada hasil keluaran makmal kepada teknologi, dan seterusnya menuju kepada potensi penerimagunaan. Inilah perjalanan penyelidikan yang wajar dikongsikan dengan masyarakat.

Universiti kadangkala dilihat sebagai institusi yang jauh daripada kehidupan seharian, tempat ahli akademik mengajar dan penyelidik menjalankan eksperimen serta berkarya dalam dunia sains. Namun, persepsi ini semakin berubah.

Universiti juga merupakan ekosistem penyelesaian masalah. Di sebalik dinding makmal universiti, terdapat para penyelidik yang membangunkan bahan baharu untuk meningkatkan teknologi tenaga, kaedah analisis bagi mengesan bahan pencemar, biomaterial yang menyokong aplikasi kesihatan dan makanan, teknologi digital yang dapat memperkukuh komuniti serta pelbagai lagi inovasi yang berpotensi memberikan manfaat kepada masyarakat.

Cabaran yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana kita dapat mewujudkan laluan yang lebih kukuh dan berkesan untuk menghubungkan penemuan penyelidikan dengan masyarakat. Inilah cabaran yang telah disahut oleh para penyelidik UMPEDAC dan terus diusahakan secara tekun selama bertahun-tahun.

Ts. Dr. Vengadaesvaran V. Balakrishnan (Ketua Projek dan Pegawai Penyelidik Kanan UMPEDAC), telah menerajui projek ini bersama Allahyarham Prof. Ir. Dr. Nasrudin Abd Rahim (Pengasas dan Mantan Pengarah Eksekutif UMPEDAC), serta para sarjana pascasiswazah UMPEDAC. Visi yang dikongsi bersama adalah jelas iaitu penyelidikan yang hebat tidak berakhir di bangku makmal; sebaliknya, di situlah perjalanannya bermula menuju ke dunia sebenar.

Daripada bangku penyelidikan kepada aplikasi dunia sebenar, perjalanan NANOGARD menjadi satu contoh bagaimana ilmu, kreativiti dan inovasi yang lahir di universiti boleh diterjemahkan kepada penyelesaian yang lebih dekat dengan kehidupan masyarakat. Kerana pada akhirnya, penyelidikan bukan sekadar tentang apa yang kita temui di dalam makmal. Penyelidikan adalah tentang apa yang mampu kita lakukan dengan penemuan tersebut untuk masyarakat.