Ramadan mendidik lisan

Bulan Ramadan menawarkan pentarbiyahan dalam menjaga anggota badan yang zahir dan batin, termasuklah mata, telinga, tangan, kemaluan dan lisan daripada melakukan dosa dan maksiat.

Poster Terkini (5)


RAMADAN merupakan bulan yang sangat agung dan mulia di sisi Islam. Kedudukan bulan ini lebih istimewa berbanding bulan-bulan yang lain.

Ia menawarkan 1001 proses pentarbiyahan kepada umat Islam melalui madrasah Ramadan. Dalam madrasah Ramadan terdapat pelbagai amalan yang dianjurkan seperti berpuasa, bertarawih, bertilawah al-Quran dan bersedekah.

Di samping itu, ia juga menawarkan pentarbiyahan dalam menjaga anggota badan yang zahir dan batin, termasuklah mata, telinga, tangan, kemaluan dan lisan daripada melakukan dosa dan maksiat.

Terutama sekali lidah yang tidak bertulang, ia mudah menyebabkan manusia tergelincir daripada ketetapan syarak. Ini kerana berpuasa di bulan Ramadan bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata, bahkan ia merangkumi penjagaan lisan, kemaluan dan sebagainya.

Hakikatnya, puasa dapat menjadikan seseorang itu lebih menjaga lisannya. Ramai kalangan umat Islam pada hari ini tersilap dalam memahami erti bulan Ramadan dan puasa itu sendiri.

Bagi mereka puasa itu sekadar tidak makan atau minum sahaja, lalu mereka gagal menjaga lisan. Mereka sering mengungkapkan perkataan keji dan kotor.

Umpamanya seperti mengumpat, mencaci dan mengadu domba di bulan Ramadan. Tanpa segan silu, mereka mengumpat orang sekeliling dalam komunikasi seharian.

Perkara ini turut berlaku dalam bulan Ramadan, sedangkan perbuatan mengumpat ini dilarang dengan tegas oleh Allah SWT sepertimana tercatat dalam Surah al-Hujurat ayat 12: “Janganlah kamu mengumpat antara satu sama lain, adakah kamu suka memakan bangkai saudara kamu? Nescaya kamu akan membenci perkara itu. Bertaqwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat dan Maha Mengasihani.”

Ayat ini menunjukkan bahawa keburukan mengumpat sehingga Allah menyamai pelakunya seumpama orang yang memakan daging saudaranya sendiri.

Selain itu, terdapat juga dalam kalangan umat Islam masih menuturkan perkataan keji dan kotor seperti mencarut, memaki, mengejek dan sebagainya di bulan yang mulia ini.

Penuturan sebegini boleh menyebabkan berkurangnya pahala berpuasa. Sepatutnya bulan ini menjadi bulan tarbiyah yang mendidik lisan manusia, tetapi sebaliknya ia terus menjadi asbab penambah dosa.

Perbuatan ini jelas ditegah oleh Rasulullah SAW. Sabda baginda SAW: “Sekiranya salah seorang dari kalian berpuasa, maka janganlah berkata perkara yang keji dan janganlah melakukan tindakan yang kurang cerdik…” (HR al-Bukhari dan Muslim).

Imam al-Qurtubi berpandangan bahawa hadis ini bukanlah bermaksud dibolehkan berkata keji ketika tidak berpuasa. Malah ia menunjukkan bahawa larangan ini lebih ditekankan ketika berpuasa kerana kehormatan yang ada pada bulan ini.

Oleh itu, umat Islam mestilah menjaga tutur kata terutama di bulan berkat ini. Alangkah baiknya jika perkataan yang kotor ini digantikan dengan perkataan yang lebih berfaedah dan berpahala.

Di samping itu, puasa juga mendorong umat Islam untuk memperbaiki lisan dengan amalan yang mulia seperti memperbanyakkan bacaan al-Quran. Hal ini kerana setiap amalan baik yang dilaksanakan dalam bulan ini dijanjikan balasan pahala berlipat kali ganda.

Dengan melazimi bacaan al-Quran, umat Islam akan terhindar daripada mengungkapkan perkataan yang keji dan tidak mendatangkan faedah.

Jika tidak ada perkara baik untuk dibicarakan, sebaiknya mereka berdiam diri daripada berkata-kata perkara yang negatif. Tindakan ini lebih digalakkan berbanding mengucapkan kata-kata yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT dan kemarahan orang sekeliling.

Hal berkenaan selari dengan sabda Nabi SAW ketika ditanyakan tentang siapakah orang Islam yang paling baik. Baginda SAW menjawab: Seseorang yang orang Islam yang lain selamat dari kejahatan lisan dan tangannya (HR al-Bukhari dan Muslim).

Bagaimanapun, ketika sedang berpuasa, seseorang lebih mudah untuk mengekspresikan rasa marah dan lebih cenderung beremosi kerana berada dalam keadaan yang lapar.

Mereka mudah untuk merespons terhadap kata-kata provokatif yang menyakitkan hati dan perasaan. Hal ini kerana ketika marah, seseorang itu tidak dapat mengawal kata-katanya dan membalas balik untuk memuaskan dirinya ketika itu.

Sedangkan Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada orang sedang berpuasa tentang cara berinteraksi dengan orang yang menghina atau mengajak bertengkar.

Sabda baginda SAW: “… jika ada orang lain yang menghina atau mengajaknya bertengkar, maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa” (HR al-Bukhari dan Muslim).

Jelaslah di sini bahawa puasa bukanlah ruang untuk seseorang memarahi dan membalas perbuatan buruk orang lain dengan celaan dan makian seumpamanya.

Malahan puasa merupakan tarbiyah yang mampan untuk melahirkan insan yang penyabar dan tidak mudah untuk bertindak balas secara negatif kepada pihak lain.

Tegasnya, bulan Ramadan merupakan sebuah madrasah yang menawarkan kurikulum penjagaan lisan yang perlu diambil berat oleh umat Islam agar tidak terjebak dengan perkara yang boleh menyebabkan defisitnya pahala puasa di samping mengundang dosa akibat ketergelinciran lidah.

Sekiranya tidak, puasa yang dilaksanakan hanyalah sekadar merasai lapar dan dahaga semata-mata, tetapi tidak ada nilai di sisi Allah SWT.

Ini berdasarkan sabda baginda SAW: Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya, maka Allah tidak berkehendak ke atas perbuatannya yang meninggalkan makan dan minum. (HR al-Bukhari)

Oleh itu, umat Islam sewajarnya merenung kembali makna puasa yang sebenar dengan menjaga lisan dan mengungkapkan perkataan yang baik serta menghindari perkataan kotor, makian, adu domba, umpatan dan carutan agar mampu mencapai kemuncak takwa yang dijanjikan Allah SWT.

Dalam masa yang sama, pengisian tarbiyah lisan juga perlu diperluaskan dengan memperbanyakkan membaca al-Quran, berselawat dan berzikir.

Tarbiyah ini penting agar umat Islam dapat bergraduasi dari madrasah Ramadan sebagai seorang insan yang mulia pekertinya dan baik tutur katanya di samping puasanya diterima di sisi Allah SWT serta memperolehi ganjaran pahala.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.