Peranan akauntan mendepani era kelestarian dan AI

Perubahan ESG dan AI mengubah landskap profesion perakaunan. Graduan perlu menguasai teknologi, literasi data, kelestarian dan etika untuk kekal relevan.

Feature Image (3)

Oleh DR. DALILAH AZIZ dan DR. ANN G.

TATKALA universiti di seluruh negara bersedia meraikan kejayaan graduan perakaunan tahun ini, pasti terselit satu persoalan lazim di sebalik senyuman para graduan: ke mana hala tuju kita selepas ini?

Dengan penguatkuasaan piawaian kelestarian (ESG) dan kepesatan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin mendominasi, graduan wajar berasa bimbang. Namun, persoalannya bukanlah sama ada kerjaya mereka akan digantikan oleh automasi. Sebaliknya, apakah persediaan yang boleh mereka lakukan hari ini untuk memastikan peranan mereka kekal relevan dalam dunia perakaunan moden yang melangkaui angka untung rugi tradisional?

Lebih daripada sekadar untung rugi

Salah satu perubahan penting dalam bidang perakaunan ialah peningkatan tuntutan terhadap kredibiliti dan jaminan yang lebih kukuh berhubung maklumat kelestarian. Sebelum penguatkuasaan piawaian baharu ini, syarikat boleh lagi menerbitkan laporan kelestarian dengan tahap pengesahan luaran yang terhad. Kini, pelabur, pengawal selia dan pemegang taruh lain semakin mengharapkan maklumat berkaitan kelestarian disokong oleh kawalan yang lebih kukuh, data yang boleh dipercayai serta jaminan yang sewajarnya.

Di Malaysia, pelaporan kelestarian juga sedang beralih daripada amalan yang sebahagian besarnya bersifat sukarela kepada keperluan kawal selia yang lebih formal. Di bawah National Sustainability Reporting Framework (NSRF), syarikat yang berada dalam skopnya akan diwajibkan secara berperingkat untuk mendedahkan risiko dan peluang berkaitan kelestarian dengan menggunakan piawaian kelestarian IFRS, yang merangkumi IFRS S1 dan IFRS S2. Keperluan ini bertujuan meningkatkan konsistensi, kebolehbandingan dan kebolehpercayaan maklumat kelestarian yang disediakan oleh syarikat.

Pelaksanaannya dibuat secara berperingkat mengikut saiz syarikat dan segmen pasaran. Bagi syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, syarikat dalam Pasaran Utama dengan permodalan pasaran RM2 bilion atau lebih mula menerapkan keperluan NSRF bagi tempoh pelaporan tahunan pada tahun 2025, diikuti oleh syarikat lain dalam Pasaran Utama mulai 1 Januari 2026 dan syarikat dalam Pasaran ACE mulai 1 Januari 2027. NSRF turut melibatkan syarikat di luar Bursa Malaysia, dengan syarikat besar tidak tersenarai yang memenuhi syarat dan mempunyai hasil tahunan RM2 bilion atau lebih perlu mula menerapkannya mulai 1 Januari 2027.

Peralihan ini membuka lembaran baharu bagi profesion perakaunan. Peranan akauntan kelak tidak lagi terhad kepada memantau aliran tunai, sebaliknya, mereka kini memikul tanggungjawab sebagai tonggak kecerdasan kelestarian dan tadbir urus. Tugas masa depan dijangka melibatkan peranan yang lebih luas dalam mengurus, mentafsir dan memberikan jaminan terhadap maklumat berkaitan kelestarian.

Namun, pelaporan kelestarian tidak seharusnya sekadar gimik “melepaskan batuk di tangga” demi memenuhi ‘to-do list’. Sebaliknya, paradigma akauntan mesti beralih kepada penciptaan nilai sosial yang lebih bermakna. Di sinilah peranan kritikal mereka ditaruhkan; untuk memacu operasi perniagaan agar menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang masyarakat, bukannya sekadar memburu pulangan jangka pendek.

Anjakan analisis pintar berpacukan teknologi

Pada masa yang sama, teknologi juga pantas meluaskan sempadan profesion perakaunan. Pelaporan kelestarian amat bergantung pada lambakan data; daripada jejak rantaian bekalan sehinggalah kepada rekod pelepasan karbon, penggunaan elektrik, dan pengurusan sisa syarikat. Mengumpul, menganalisis, dan menyampaikan maklumat ini bukan sekadar proses mekanikal yang neutral. Ia menuntut kecerdasan digital yang dipandu oleh kompas moral dan kesedaran kritis.

Menjelang tahun 2026, peranan AI dalam perakaunan telah berevolusi jauh melangkaui sekadar automasi asas kepada keupayaan meramal risiko dan menganalisis data kewangan secara masa nyata. Pasaran kerja kini menuntut graduan yang bukan sahaja mahir dalam angka, malah tangkas mengendalikan perisian analitik, ekosistem pelaporan digital, dan aplikasi AI. Walau bagaimanapun, akauntan masa hadapan tidak boleh sekadar menjadi pentafsir data yang membutakan mata kepada bias algoritma. Tadbir urus dan etika AI yang bertanggungjawab mesti disepadukan ke dalam teras operasi. Graduan perlu mampu merungkai naratif di sebalik lambakan data serta menyampaikannya secara berkesan dan adil kepada pemegang taruh.

Lebih-lebih lagi apabila isu risiko sistemik seperti krisis iklim dan jurang ekonomi menjadi kian meruncing, akauntan tidak lagi boleh bekerja secara ‘silo’. Dengan mengamalkan pemikiran integrasi, akauntan harus melampaui bidang teknikal mereka, bagi mendalami disiplin ilmu lain termasuk sains alam sekitar, sosiologi, dan dasar awam. Gabungan ilmu rentas disiplin ini penting bagi memastikan akauntan dapat berperanan bukan sekadar pengurus rekod perniagaan, tetapi juga sebagai ‘akauntan warga’ yang berani memelihara kesejahteraan masyarakat dan negara.

Persediaan graduan akauntan mendepani landskap dinamik

Bagi bakal akauntan, memahami isu kelestarian bukan lagi sekadar ilmu tambahan; ia adalah keperluan teras perniagaan hari ini. Graduan wajib mempunyai asas yang kukuh mengenai rangka kerja global seperti piawaian kelestarian IFRS. Mereka juga mesti berani mempersoalkan kelompangan di dalam piawaian tersebut jika ia hanya bersifat kosmetik. Dunia pelaporan korporat masa depan mendambakan profesional yang boleh mengupas kesalinghubungan dan nuansa pelbagai metrik untuk memberi gambaran kedudukan ‘kesihatan’ holistik syarikat, bukan sekadar memuaskan kehendak pelabur.

Penguasaan kemahiran teknikal seperti aplikasi Excel, Power BI, Tableau, serta teknologi AI terkini mampu melonjakkan tahap kesediaan dan kebolehpasaran seorang graduan. Namun, nilai sebenar graduan terletak pada literasi data yang kritis. Kemahiran ‘kejuruteraan prom’, dan keupayaan untuk menjalankan pengauditan AI yang beretika adalah antara kompetensi berharga yang wajar dibina. Dalam masa yang sama, graduan harus mendalami instrumen digital untuk menuntut keadilan ekonomi, bukan semata-mata mengautomasikan keuntungan.

Piawaian kelestarian dan keperluan kawal selia akan terus berevolusi pada kadar yang pantas. Dengan itu, ketangkasan yang berakar umbi daripada pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat adalah sangat instrumental. Kesediaan dan sikap proaktif untuk terus menimba pengetahuan baharu akan menjadi antara ciri utama, pemangkin kejayaan seorang akauntan masa hadapan.

Akauntabiliti: Nadi sebenar profesion

Oleh itu, bakal akauntan mesti merangka semula paradigma kerjaya mereka. Masa depan bidang perakaunan melangkaui penyediaan laporan syarikat demi memenuhi keperluan pemegang saham semata-mata. Akauntan kontemporari bukan lagi sekadar pengemudi kewangan; mereka adalah pemimpin berwawasan yang memikul tanggungjawab untuk menjejaki impak dan nilai sebenar yang dikembalikan kepada masyarakat, melangkaui sekadar lonjakan angka KDNK negara.

Namun, secanggih mana pun kemajuan teknologi dan kerangka kompetensi yang digariskan, tiada satu pun yang bermakna tanpa kefahaman yang jujur tentang erti kata akauntabiliti. Prinsip ini kekal paksi kukuh profesion. Walaupun sejarah korporat sering dicemari dengan pelbagai kisah kejatuhan akibat kepincangan etika, akauntan generasi baharu mempunyai peluang untuk membuktikan bahawa profesion ini mampu menggalas tanggungjawab dan menjadi pemangkin kepada perubahan positif sosial, bukan sekadar pelaksana kewangan elit.

Buat bakal akauntan yang meraikan graduasi tahun ini, tahniah diucapkan. Tatkala anda melangkah ke dalam dunia profesional, ingatlah bahawa matlamat kelestarian dan integrasi AI bukanlah sekadar senarai semak korporat. Ia adalah peluang untuk anda mentakrifkan erti ‘akauntan lestari’.

Ukuran kejayaan seorang akauntan bukan sekadar berapa keuntungan yang mampu dijana untuk pemegang saham, tetapi sejauh mana nadi akauntabiliti anda mampu melakar bakti dalam membina Malaysia yang lebih saksama, berdaya tahan, dan berintegriti. Berbekalkan hikmah perakaunan yang telus, letakkanlah keadilan di tempatnya yang hakiki. Terapkanlah prinsip ini sepanjang garis kerjaya anda. Sesungguhnya, hisab utama bukanlah angka di lejar korporat, tetapi hisab hakiki yang menentukan warisan dan bakti yang kita tinggalkan.

* Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.