Pelajar, staf UPM bersih kawasan pascabanjir di Pulau Pangkor

Sukarelawan memberi fokus kepada kerja-kerja pembersihan kawasan komuniti terjejas seperti pembersihan rumah, membuang barangan rosak dan mencuci kawasan sekitar.

Poster Terkini (2)

SEKUMPULAN sukarelawan pelajar dan staf Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dinamakan Skuad Jiwa Putra @Skuad Ihasan MADANI KPT melaksanakan Misi Bantuan Pascabanjir selama dua hari di Kampung Masjid Pulau Pangkor, Perak baru- baru ini.

Seramai 33 sukarelawan UPM menyertai misi yang memberi fokus kepada kerja-kerja pembersihan kawasan komuniti terjejas seperti pembersihan rumah, membuang barangan rosak dan mencuci kawasan sekitar.

Tujuh pelajar antarabangsa dari Nigeria, Iraq, Indonesia, China, India dan Bangladesh turut terlibat dalam misi itu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu yang mengetuai kumpulan sukarelawan UPM berkata usaha pascabanjir tersebut bukan sahaja membantu penduduk kembali kepada kehidupan yang lebih selesa dan selamat tetapi membentuk peribadi mahasiswa UPM yang cakna, prihatin dan bersedia berbakti kepada masyarakat.

“UPM sentiasa komited memperkasakan semangat kesukarelawanan pelajar kepada komuniti dengan slogan Jiwa Putra yang diperkenalkan pada tahun lalu,” katanya yang turut meninjau beberapa kawasan komuniti yang terkesan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir yang turut meninjau kawasan banjir di Pangkor dan Manjung pada masa sama mengucapkan penghargaan kepada Skuad Jiwa Putra UPM yang membersihkan kawasan sekolah.

Beliau menyifatkan banjir kali ini adalah yang terburuk khususnya di Pulau Pangkor dan berharap kawasan-kawasan yang rosak akan mendapat tindakan positif.

Penganjuran misi tersebut adalah usaha antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM dan Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM.