Pendidikan persiap generasi mendatang untuk Malaysia yang menua

Malaysia bakal menghadapi masyarakat menua seperti Jepun. Pendidikan memainkan peranan penting dalam membina generasi celik kesihatan dan kewangan, memperkukuh kepakaran penjagaan warga emas serta memupuk hubungan antara generasi.

Feature Image (5)

APABILA sesebuah negara semakin berusia, persoalannya bukan sekadar berapa ramai warga emas yang bakal memenuhi statistik penduduk, tetapi sejauh mana masyarakat bersedia untuk hidup dalam realiti demografi baharu itu.

Jepun sudah melalui fasa tersebut dan kini berdepan masyarakat yang sangat berusia, manakala Malaysia sedang menuju ke arah yang sama. Persoalannya, apakah yang boleh dipelajari daripada pengalaman Jepun dan bagaimana pendidikan dapat menjadi sebahagian daripada persediaan tersebut?

Berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Malaysia dijangka mencapai status Negara Menua pada 2036 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas melebihi 15 peratus daripada jumlah penduduk. Pada 2025, golongan berusia 60 tahun dan ke atas sudah merangkumi 12 peratus penduduk negara.

Perkembangan ini menunjukkan perubahan struktur umur penduduk bukan lagi isu yang jauh pada masa hadapan, sebaliknya sesuatu yang perlu dirancang dari sekarang.

Apabila membincangkan masyarakat menua, perhatian lazimnya tertumpu kepada kesihatan, penjagaan warga emas, simpanan persaraan dan kemampuan keluarga menanggung kos kehidupan selepas persaraan. Semua aspek ini sememangnya penting. Namun, terdapat satu lagi komponen yang perlu diberikan perhatian lebih besar, iaitu pendidikan.

Jepun memberikan gambaran yang jelas tentang cabaran masyarakat menua. Pada 2026, hampir tiga daripada 10 penduduk Jepun berumur 65 tahun dan ke atas, menjadikan negara itu antara masyarakat paling berusia di dunia.

Pada masa yang sama, bilangan warga berusia 65 tahun dan ke atas yang masih bekerja turut menunjukkan bahawa usia lanjut tidak semestinya bermakna berakhirnya sumbangan seseorang kepada ekonomi dan masyarakat. Pengalaman ini memberi satu pengajaran penting: persediaan menghadapi masyarakat menua perlu dilakukan merentas generasi, bukan hanya apabila seseorang sudah mencapai usia persaraan.

Dalam konteks Malaysia, pendidikan boleh memainkan peranan dengan membentuk generasi yang lebih bersedia dari segi kesihatan, kewangan dan sosial. Literasi kewangan jangka panjang, misalnya, tidak seharusnya dilihat hanya sebagai pengetahuan tentang simpanan atau perbelanjaan harian.

Pelajar perlu memahami konsep perancangan kewangan sepanjang hayat, kepentingan simpanan persaraan dan pengurusan kewangan yang bertanggungjawab. Begitu juga pendidikan kesihatan perlu melangkaui pengetahuan tentang penyakit dengan memberi penekanan kepada pencegahan, pemakanan seimbang, aktiviti fizikal dan penjagaan kesihatan mental.

Matlamatnya bukan untuk menakutkan generasi muda tentang usia tua, sebaliknya membentuk kefahaman bahawa proses penuaan bermula sejak seseorang masih muda. Kehidupan yang sihat dan berdikari pada usia lanjut banyak dipengaruhi oleh pilihan dan amalan yang dibentuk lebih awal. Dalam hal ini, pendidikan berupaya membina budaya active and healthy ageing yang menekankan kehidupan produktif, sihat dan bermaruah sepanjang hayat.

Pada peringkat pendidikan tinggi pula, Malaysia perlu memperluas ruang kepada bidang yang berkaitan dengan penuaan. Gerontologi, kejururawatan geriatrik, psikologi warga emas, teknologi bantuan serta reka bentuk persekitaran mesra usia merupakan antara bidang yang semakin relevan dalam masyarakat yang semakin menua. Kerjasama antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan Jepun juga boleh diperluas untuk perkongsian pengetahuan, latihan dan penyelidikan berkaitan penuaan.

Dalam konteks ini, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) juga mempunyai peranan penting. Keperluan terhadap tenaga kerja yang mempunyai kemahiran dalam penjagaan warga emas, teknologi kesihatan, pemulihan serta perkhidmatan mesra usia dijangka menjadi semakin penting. Pendidikan tidak seharusnya hanya menyediakan tenaga kerja untuk industri semasa, tetapi juga untuk keperluan masyarakat masa hadapan.

Pada masa yang sama, pembelajaran sepanjang hayat perlu diberikan tafsiran yang lebih luas. Persaraan tidak semestinya menandakan berakhirnya proses pembelajaran atau sumbangan seseorang. Program literasi digital, keusahawanan, kemahiran kreatif dan pembelajaran komuniti boleh membuka ruang kepada warga emas untuk terus aktif serta berinteraksi dengan masyarakat. Usaha ini juga dapat membantu mengurangkan risiko pengasingan sosial dan kesunyian yang mungkin dialami sesetengah pesara.

Lebih penting, pendidikan perlu membina hubungan antara generasi. Golongan muda perlu memahami bahawa warga emas bukan sekadar penerima bantuan, tetapi mempunyai pengalaman, pengetahuan dan sejarah kehidupan yang bernilai. Program yang mempertemukan pelajar dengan warga emas melalui aktiviti sukarelawan, perkongsian pengalaman atau projek komuniti boleh memupuk empati, rasa hormat dan kefahaman antara generasi.

Jepun menunjukkan bahawa masyarakat menua bukan semata-mata cabaran kesihatan atau ekonomi. Ia merupakan perubahan menyeluruh yang turut mempengaruhi cara masyarakat belajar, bekerja, berinteraksi dan menyumbang. Malaysia masih mempunyai ruang untuk membuat persediaan lebih awal dan membina pendekatan yang sesuai dengan struktur keluarga, budaya dan keperluan masyarakat tempatan.

Akhirnya, persoalan yang perlu ditanya bukan sekadar berapa ramai warga emas yang akan kita miliki, tetapi masyarakat seperti apakah yang mahu kita bina apabila bilangan mereka semakin bertambah. Pendidikan ialah antara pelaburan paling penting untuk menjawab persoalan tersebut.

Dengan membina generasi yang celik kesihatan dan kewangan, memperkukuh kepakaran berkaitan penuaan, memperluas pembelajaran sepanjang hayat serta memupuk hubungan antara generasi, Malaysia bukan sahaja bersedia menghadapi masyarakat menua, malah berpeluang membentuk masyarakat yang menghargai setiap peringkat kehidupan. Adakah betul dan bersesuaian?