MSIG Malaysia perkenalkan perlindungan tambahan kemalangan diri

MSIG: Kehidupan Berbantu, satu perlindungan tambahan yang menjadi perintis dalam portfolio insurans kemalangan diri (PA).

Poster Terkini

KUALA LUMPUR, 11 APRIL 2025 – MSIG Insurance (Malaysia) Bhd (MSIG Malaysia) amat berbesar hati memperkenalkan Perlindungan Tambahan Kemalangan Diri MSIG: Kehidupan Berbantu, satu perlindungan tambahan yang menjadi perintis dalam portfolio insurans kemalangan diri (PA).

Perlindungan terbaharu ini menandakan tawaran pertama seumpamanya dalam pasaran insurans am Malaysia, menangani jurang kritikal dari segi perlindungan kewangan bagi individu yang berkemungkinan hilang keupayaan untuk berdikari secara tiba-tiba akibat kemalangan atau kejadian yang tidak dijangka.

Secara tradisinya, perlindungan untuk perbelanjaan kehidupan berbantu hanya tersedia melalui polisi insurans hayat.

MSIG Malaysia ialah syarikat insurans am pertama di negara ini yang memperkenalkan manfaat itu sebagai perlindungan tambahan kepada PA, menyediakan sokongan kewangan penting kepada pemegang polisi untuk perbelanjaan penjagaan kejururawatan.

Perlindungan Tambahan Kemalangan Diri MSIG: Kehidupan Berbantu tersedia secara eksklusif kepada pemegang polisi Insurans Kemalangan Diri Prime, Individu dan Warga Tua.

Perlindungan ini menawarkan sokongan kewangan sehingga RM5,000 sebulan untuk maksimum 12 bulan bagi setiap kecederaan, meliputi penjagaan kejururawatan penting di rumah penjagaan, pusat penjagaan berdaftar, atau dijaga di rumah sendiri oleh jururawat berlesen.

Untuk layak membuat tuntutan, pemegang polisi mesti disahkan oleh pengamal perubatan berdaftar sebagai tidak dapat melakukan sekurang-kurangnya tiga Aktiviti Kehidupan Harian (ADL) yang termasuk memakai pakaian, membersihkan diri, menggunakan tandas, bergerak, beralih dari satu tempat ke satu tempat yang lain dan makan.

Penilaian susulan selepas enam bulan juga diperlukan untuk mengesahkan kelayakan berterusan bagi urusan pembayaran balik tuntutan.

Perlindungan tambahan ini direka untuk memberi kelegaan kepada individu dan orang tersayang dengan meringankan beban kewangan yang berkaitan dengan hilang keupayaan untuk berdikari.

Sama ada untuk penjagaan diri atau kesejahteraan ahli keluarga yang merupakan warga emas atau kurang upaya, perlindungan ini memastikan akses kepada sokongan kehidupan berbantu yang penting.

Dengan premium tambahan tahunan yang berpatutan bermula daripada RM37, perlindungan tambahan ini memberikan manfaat yang besar sambil kekal mudah diakses.

Pemegang polisi yang layak termasuk rakyat Malaysia, pemastautin tetap, pemegang permit kerja dan tanggungan mereka, dengan kelayakan umur antara 16 hingga 59 tahun dan umur boleh diperbaharui sehingga 80 tahun, tertakluk kepada jenis polisi masing-masing.

“Sebagai penanggung insurans am pertama di Malaysia yang menyediakan perlindungan kehidupan berbantu dalam polisi PA, MSIG Malaysia membuka jalan kepada perlindungan tambahan insurans yang lebih mudah diperoleh dan mampu dimiliki yang melengkapkan polisi sedia ada pelanggan untuk perlindungan kewangan yang lebih baik.

“Kami memahami kesan daripada hilang upaya secara mengejut akibat kemalangan ke atas individu dan keluarga. Perlindungan tambahan ini mencerminkan komitmen kami untuk memastikan pemegang polisi mendapat penjagaan dan sokongan kewangan yang mereka perlukan sewaktu masa sukar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MSIG Malaysia, Chua Seck Guan.

Untuk maklumat lanjut tentang Perlindungan Tambahan Kemalangan Diri MSIG: Kehidupan Berbantu, sila hubungi Penasihat Insurans MSIG atau hubungi 1-800-88-MSIG (6744).