Munchy’s sumbang produk RM500,000 sempena HKHM 2026

Munchy’s Malaysia mula menyokong sambutan HKHM pada 2024 dan terus memperkukuhkan penglibatannya setiap tahun.

Feature Image (10)

KUALA LUMPUR, 18 Ogos 2026 – Munchy’s Malaysia menyumbang produk bernilai RM500,000 sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, bersempena ulang tahun ke-35 jenama tempatan itu.

Sumbangan berkenaan merupakan yang terbesar pernah disalurkan Munchy’s setakat ini dan tahun ketiga berturut-turut syarikat itu menyokong sambutan HKHM, sekali gus mencerminkan komitmen berterusannya dalam memupuk perpaduan, semangat patriotisme dan kemeriahan sambutan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Penyerahan sumbangan itu disampaikan kepada Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dalam satu majlis rasmi anjuran Kementerian Komunikasi di Menara Komunikasi di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Munchy’s Malaysia Rodney Wong berkata peningkatan nilai sumbangan itu mencerminkan komitmen syarikat untuk memainkan peranan bermakna dalam sambutan yang mempunyai nilai istimewa kepada rakyat Malaysia.

“Selama 35 tahun, Munchy’s telah berkembang seiring dengan Malaysia dan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat Malaysia merentasi pelbagai generasi dan latar belakang.

“Sambutan HKHM memberi peluang kepada kami untuk meraikan perjalanan yang dikongsi bersama ini serta menyumbang kembali kepada negara dan rakyat yang telah menyokong kami selama ini,” katanya.

Wong berkata Munchy’s berbangga dapat menyalurkan sumbangan terbesar sempena tahun ketiga berturut-turut syarikat itu menyokong sambutan berkenaan.

Beliau berharap produk yang disumbangkan dapat menambahkan keceriaan sambutan serta mencipta detik bermakna buat rakyat Malaysia yang mengambil bahagian dalam pelbagai program di seluruh negara.

Produk berkenaan akan diedarkan menerusi program dan aktiviti terpilih sempena HKHM 2026 bagi membolehkan peserta, orang ramai serta komuniti di seluruh negara turut menikmati kemeriahan sambutan.

Munchy’s Malaysia mula menyokong sambutan HKHM pada 2024 dan terus memperkukuhkan penglibatannya setiap tahun.

Menurut syarikat itu, sumbangan terbaharu berkenaan mencerminkan komitmen jangka panjang Munchy’s dalam menyokong inisiatif yang menyatukan rakyat Malaysia serta mengukuhkan hubungan antara komuniti.

Sebagai jenama Malaysia yang mempunyai warisan 35 tahun, Munchy’s berkata pihaknya kekal komited untuk terus berkembang bersama negara serta menyokong acara yang meraikan identiti, kemajuan dan kepelbagaian Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 Munchy’s boleh diperoleh menerusi laman Facebook dan Instagram rasmi Munchy’s.