OKU dan cabaran penjagaan kesihatan di Malaysia
Sudah bertahun-tahun golongan OKU bergelut hendak dapatkan penjagaan kesihatan yang mampu milik, jauh sebelum krisis ini jadi perhatian ramai.

SAYA mahu meluahkan apa yang terbuku di hati, tentang ketidakpastian kesihatan yang terasa seperti batu besar menindih bahu kami, satu perjuangan yang terasa macam beban berat di bahu.
Golongan orang kurang upaya (OKU), terutama saya yang sudah lanjut usia. Usia makin tua, tenaga makin lemah dan keperluan kesihatan kini jadi keutamaan yang tak boleh ditawar-tawar lagi tetapi hendak dapatkan rawatan yang sesuai dan tidak membebankan poket?
Itu impian yang terasa jauh di mata, dekat di hati. Bagi kami OKU, ini bukan cuma soal kenaikan kos dan duit, ini tentang hak asasi yang selama ini macam dipandang sebelah mata, macam tidak diendahkan.
Baru-baru ini, Malaysia kecoh pasal kenaikan premium insurans perubatan, ada yang melonjak sampai 40 hingga 70 peratus. Berita ini ada di mana-mana, dibahaskan di Parlimen, jadi topik panas di media sosial, malah masuk berita utama akhbar.
Namun, sebagai seorang OKU warga emas yang sudah lama hidup dengan realiti ini, saya mahu cakap satu topik iaitu kami OKU sudah bertahun-tahun bergelut hendak dapatkan penjagaan kesihatan yang mampu milik, jauh sebelum krisis ini jadi perhatian ramai. Kenaikan harga baru-baru ni cuma tambah lagi garam pada luka yang sudah lama berdarah.
Bagi ramai dalam kalangan kami, penjagaan kesihatan swasta bukan pilihan yang realistik. Bukan sebab kami tidak perlukan tetapi sebab kami tidak mampu dan diberi peluang langsung. Saya sendiri pernah cuba mohon insurans perubatan, jawapan yang saya dapat? Ditolak mentah-mentah sebab ada ‘keadaan sedia ada’ berkaitan kecacatan saya.
Ada kawan OKU lain cerita, kalau dapat pun pelan insurans, harganya melambung tinggi sampai tidak munasabah. Banyak syarikat insurans dan takaful tutup pintu rapat, ada yang kata kami ‘terlalu berisiko’, ada yang terus kecualikan kecacatan atau keperluan rawatan berterusan daripada perlindungan.
Sekarang, dengan kenaikan premium ni, ramai OKU yang sebelum ini berjaya dapat insurans pun mungkin terpaksa lepaskan polisi tu sebab tidak mampu untuk bayar lagi. Saya tertanya-tanya, sampai bila kami kena telan kepahitan macam ni?
Kenapa Kos Perubatan Jadi Macam Ini?
Pada tahun 2024, inflasi perubatan di Malaysia cecah 11.9 peratus, jauh lebih tinggi daripada purata global dan Asia Pasifik.
Kos rawatan, ubat-ubatan dan peralatan perubatan semua naik mendadak. Syarikat insurans pula tidak berfikir panjang, mereka terus salurkan beban itu kepada kami, pengguna. Saya faham, kos operasi hospital swasta memang tinggi tapi kenapa kami OKU yang jadi mangsa?
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada sebut pasal krisis ini. Dia minta Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) cari jalan penyelesaian tetapi sebagai OKU warga emas yang sudah lama tengok macam mana sistem ini berjalan, saya tidak berani letak harapan tinggi lagi.
Adakah langkah yang diambil itu akan sampai kepada kami yang sudah bertahun-tahun dipinggirkan? Atau cuma jadi janji manis yang akhirnya luput begitu sahaja?
Jurang Insurans OKU, Ketidaksamaan yang Disenyapkan
Saya hendak bongkar realiti yang jarang orang bualkan secara terbuka:
– Syarikat insurans tolak permohonan OKU macam saya sebab anggap kami ‘berisiko tinggi’ dek kerana kecacatan atau penyakit kronik yang sudah jadi sebahagian daripada hidup kami.
– Kalau ada pun perlindungan, harganya tidak masuk akal, macam hendak suruh kami jual segala-galanya hanya untuk dapat rawatan asas.
– Banyak pelan insurans tidak lindungi keperluan khusus OKU, contohnya, alat bantu seperti kerusi roda, rawatan fisioterapi atau ubat yang kami kena ambil hari-hari.
– Tanpa insurans, kami tidak ada pilihan lain selain harapkan hospital dan klinik awam, tetapi realitinya? Sistem kesihatan awam pun tidak cukup untuk tampung keperluan kami yang semakin ramai.
Bayangkan, pada tahun 2022, insurans perubatan cuma 8.3 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan Malaysia. Maknanya, majoriti rakyat termasuk kami OKU terpaksa bayar kos rawatan dari poket sendiri atau beratur panjang di hospital kerajaan.
Saya sendiri pernah pergi klinik kesihatan, berjam-jam tunggu, kadang-kadang ubat tidak cukup atau doktor tidak ada masa hendak layan kes kami yang ‘rumit’. Mana keadilannya dalam sistem macami ni?
Hospital dan Klinik Awam: Realiti yang Memilukan
Bila cakap pasal hospital dan klinik awam, hati saya lagi sakit. Secara keseluruhan, boleh dikatakan hospital awam di Malaysia ini baik, doktor dan jururawat cuba buat yang terbaik, dan ada usaha untuk beri perkhidmatan berkualiti.
Namun, masalahnya, pesakit terlalu ramai. Bilik-bilik penuh, katil tidak cukup dan waktu menunggu boleh jadi berjam-jam, kadang berhari-hari.
Bagi kami OKU, keadaani ni lagi susah sebab kadang-kadang kami dilayan sama macam orang biasa, tiada keutamaan atau perhatian khusus, walaupun keperluan kami berbeza. Saya pernah guna kerusi roda, tapi pernah tidak dapat masuk bilik rawatan sebab tiada ruang atau kemudahan yang sesuai.
Kebanyakan hospital dan klinik awam pun tidak mesra OKU. Ramp ada, tetapi kadang curam atau rosak. Pintu masuk sempit, lif tidak berfungsi, tandas OKU tidak ada atau tidak terjaga, ini semua benda yang saya hadap selalu.
Klinik kesihatan dekat kawasan saya pun sama—tiada kemudahan asas untuk OKU, apatah lagi alat bantu khusus atau kakitangan yang dilatih untuk faham keperluan kami. Bilangan OKU di Malaysia semakin bertambah, termasuk warga emas macam saya yang makin uzur, tapi kemudahan tidak bertambah seiring dengan keperluan.
Apakah yang Menyebabkan Kesesakan di Hospital Awam?
Saya rasa, kesesakan ini berpunca daripada beberapa benda. Pertama, ramai rakyat Malaysia termasuk OKU tidak mampu bayar rawatan swasta, jadi semua berpusu ke hospital awam.
Kedua, penduduk semakin bertambah dan dengan itu, penyakit kronik macam diabetes dan darah tinggi pun meningkat—tetapi bilangan hospital dan doktor tidak berkembang pada kadar yang sama.
Ketiga, kekurangan dana dan sumber, peralatan lama idtak diganti, ubat-ubatan kerap kehabisan stok dan kakitangan terbeban dengan beban kerja yang terlalu berat.
Bagi OKU macam saya, kesesakan ini lagi terasa sebab kami kena bersaing dengan ramai pesakit lain, tanpa kemudahan tambahan yang boleh mudahkan kami.
Ada pernah tunggu berbulan-bulan untuk jumpa pakar, itu pun kalau nasib baik dapat tarikh temu janji. Ada kawan OKU lain cerita, dia terpaksa baring atas kerusi sebab tidak ada katil kosong. Kami OKU bukan hendak layanan istimewa tapi kemudahan asas yang boleh bagi kami peluang sama untuk dapat rawatan tu tiada.
Apa yang Perlu Berubah?
Saya rasa, sudah tiba masanya kita ubah cara pandang terhadap penjagaan kesihatan. Ini bukan keistimewaan, ini hak asas. Sebagai OKU warga emas, saya mimpi satu hari nanti kami tidak lagi dipinggirkan.
Ini cadangan saya:
– Polisi Insurans yang Adil – Syarikat insurans kena berhenti tolak OKU macam saya tanpa sebab munasabah. Harga premium kena lebih saksama, bukan asyik hukum kami sebab kecacatan yang tidak kami pilih.
– Skim Perubatan Disokong Kerajaan – Saya harap ada insurans atau takaful khusus untuk OKU, yang ambil kira keperluan kami dan tidak membebankan poket.
– Kawalan Ketat pada Kenaikan Kos – BNM dan KKM kena tegas pastikan kenaikan premium tak terus ‘bunuh’ peluang kami untuk dapat perlindungan.
– Sistem Kesihatan Awam yang Mesra OKU – Hospital dan klinik kena ada ramp, tandas OKU, alat bantu dan kakitangan yang tahu layan kami dengan penuh hormat. Rujukan pakar pun kena cepat, bukan buat kami tunggu sampai putus harapan.
Kami OKU tidak minta dikasihani dan simpati, kami cuma mahu peluang sama macam orang lain. Penjagaan kesihatan, pekerjaan dan kehidupan yang bermaruah, itu yang kami perjuangkan.
Kalau anda kerja dalam industri insurans, sektor kesihatan atau buat dasar kerajaan, saya mohon sangat tengok isu ini dengan serius. Kami OKU layak dapat layanan lebih baik daripada apa yang ada sekarang.
Saya sering tertanya-tanya, adakah kami, OKU dan warga emas dilupakan dalam perancangan negara? Kami tidak meminta untuk dilahirkan dengan kecacatan dan kami tidak mahu menjadi beban kepada sesiapa. Apa yang kami harapkan hanyalah kehidupan yang selesa dan akses kepada penjagaan kesihatan yang adil.
Saya berharap kerajaan dan semua pihak yang terlibat dapat mengambil tindakan segera. Jangan biarkan kami terus terpinggir. Kami juga adalah sebahagian daripada masyarakat dan kami layak untuk hidup dengan bermaruah.
Mari kita bersama-sama mendesak perubahan. Bagi saya, ini bukan sekadar tentang insurans atau kos perubatan—ini tentang hak asasi manusia.
Buat rakan-rakan OKU lain, terutama warga emas macam saya—pernah tidak kamu rasa tersepit dengan masalah insurans atau akses kesihatan? Jom bersuara kuat-kuat. Kita tidak boleh diam lagi—perubahan kena mula dari kita!
—
* Penulis pernah bekerja selama 18 tahun di Riyadh, Arab Saudi dan Dubai, UAE sebelum balik ke Kelana Jaya, Selangor akibat diserang strok dan menjadi warga OKU. Beliau merupakan pemenang 5 Hadiah Sastera Perdana Malaysia, 11 kali Hadiah Sastera Utusan, Anugerah Sastera Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan 30 hadiah sastera lain. Beliau juga bekas CEO empat buah syarikat di Dubai, pengarah, pengurus besar di syarikat antarabangsa. Menulis 44 buah buku dan 30 e-buku di clicks4book dan e-sentral.com.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.