Scoot luaskan rangkaian penerbangan ke Padang, Phu Quoc dan Shantou

KUALA LUMPUR, 13 November 2024 – Scoot, syarikat penerbangan tambang rendah Singapore Airlines (SIA), hari ini mengumumkan pelancaran perkhidmatan penerbangan ke tiga destinasi baharu iaitu Phu Quoc di Vietnam, Padang di Indonesia dan Shantou di China.

Penerbangan ke Phu Quoc dan Padang masing-masing akan bermula pada 20 Disember 2024 dan 6 Januari 2025, melibatkan pesawat Embraer E190-E2 manakala penerbangan ke Shantou pula akan bermula pada 16 Januari 2025 melibatkan pesawat keluarga Airbus A320.

Terkenal bagi hidupan liar unik yang jarang ditemui serta pantai yang indah, Phu Quoc merupakan syurga tropika yang tepat bagi percutian penuh pengembaraan atau untuk beristirehat.

Selain itu, ia juga merupakan rumah bagi Taman Negara Phu Quoc yang telah diiktiraf sebagai kawasan rizab Biosfera UNESCO.

Buat masa ini, Phu Quoc merupakan satu-satunya destinasi di Vietnam yang mempunyai polisi visa percuma selama 30 hari, menawarkan kemudahan akses kepada pelancong antarabangsa.

Bermula daripada 20 Disember 2024, Scoot akan mengendalikan operasi penerbangan 3 kali seminggu ke Phu Quoc.

Tambahan dua penerbangan mingguan pula akan bermula pada 25 Januari 2025, menjadikan keseluruhan jumlah penerbangan mingguan di antara Singapura ke Phu Quoc sebanyak lima kali.

Padang yang merupakan ibu negeri Sumatera Barat dan tempat kelahiran bagi hidangan Padang (Nasi Padang), merupakan destinasi menarik yang terkenal dengan budaya Minangkabau dan pantai yang mempesonakan bagi aktiviti meluncur ombak.

Sesuai untuk penggemar budaya tempatan mahupun pencinta makanan atau alam semula jadi, Padang merupakan destinasi tersembunyi yang perlu diterokai.

Penerbangan Scoot akan beroperasi sebanyak 4 kali seminggu ke Padang.

Merupakan sebuah bandar pantai yang terletak di wilayah Guangdong di China, Shantou adalah sebuah destinasi yang kaya dengan warisan budaya dan merupakan tempat kelahiran bagi hidangan Chaoshan termasuk makanan laut mentah perap.

Pelancong juga boleh bersiar-siar di Taman Kecil Shantou untuk melihat dewan peringatan Dr Sun Yat-sen di Pavilion Peringatan Zhongshan, atau keluar dari bandar untuk menikmati langit biru di Pulau Nan Ao, pantai berpasir lembut dan pemandangan gunung yang indah.

Penerbangan Scoot akan beroperasi sebanyak tiga kali seminggu ke Shantou.

Selain daripada destinasi baharu yang ditawarkan, Scoot juga akan melakukan pelarasan ke atas rangkaian penerbangannya bagi memastikan kapasiti selari dengan permintaan selain daripada mengoptimumkan penggunaan pesawatnya.

Scoot bakal menambah dua lagi penerbangan mingguan ke Jakarta, menjadikan jumlah penerbangan mingguan 19 kali bermula 24 November 2024.

Perkhidmatan penerbangan ke Koh Samui juga akan ditingkatkan dari 14 ke 21 kali seminggu bermula 20 Disember 2024, dan penerbangan ke Davao bakal ditingkatkan dari lima kali seminggu ke penerbangan harian bermula 22 Disember 2024.

Kekerapan penerbangan ke Vientiane akan ditingkatkan dari empat ke lima kali seminggu bermula 9 Februari 2025.

Penerbangan ke Nanchang pula bakal dihentikan dengan penerbangan akhir pada 14 Februari 2025.

Dengan pelancaran penerbangan ke Phu Quoc, Padang dan Shantou, Scoot bakal menawarkan rakyat Malaysia akses yang lebih mudah ke lokasi percutian tersembunyi di Asia dengan 31 penerbangan mingguan ke tiga destinasi di Vietnam, 84 penerbangan mingguan ke 11 destinasi di Indonesia dan 89 penerbangan mingguan ke 17 destinasi di China menjelang Januari 2025.

Tempahan penerbangan ke Phu Quoc, Padang dan Shantou boleh dilakukan bermula hari ini menerusi laman web Scoot, aplikasi telefon bimbit dan secara berperingkat menerusi platform lain.

Tiket sehala bagi penerbangan kelas ekonomi termasuk cukai[ Tertakluk kepada terma dan syarat] bermula pada RM299 ke Phu Quoc, RM269 ke Padang dan RM409 ke Shantou.

“Kami teruja dengan pengumuman pengenalan perkhidmatan penerbangan ke Padang, Phu Quoc dan Shantou dan berharap agar dapat menginspirasikan lebih ramai pelancong untuk meneroka pelbagai pengalaman yang bakal ditawarkan oleh destinasi baharu kami.

“Kami akan terus meneroka peluang bagi memperluaskan rangkaian destinasi dan menghubungkan pelanggan dengan pengalaman perjalanan baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Scoot, Leslie Thng.