Jalinan sinergi STEM: Jelajah siswa UM labuh tirai di MOZAC

Program berimpak tinggi yang berlangsung selama dua hari satu malam itu melibatkan penyertaan lebih 160 pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Melaka.

Feature Image (2)

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2026 – Sekretariat Projek Jelajah Siswa Kolej Kediaman Kesembilan (KK9), Universiti Malaya berjaya melaksanakan Program Jelajah Siswa Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC), Melaka baru-baru ini, sekali gus menjadi program penutup bagi keseluruhan siri Jelajah Siswa sesi kali ini.

Program berimpak tinggi yang berlangsung selama dua hari satu malam itu melibatkan penyertaan lebih 160 pelajar sekolah berkenaan serta 26 ahli sekretariat dan fasilitator Universiti Malaya yang bertolak dari Kuala Lumpur seawal pagi selepas berkumpul di foyer KK9.

Ketibaan delegasi Universiti Malaya di sekolah tersebut disambut baik oleh pihak pengurusan sekolah sebelum program dimulakan secara rasmi menerusi ucapan alu-aluan oleh wakil guru SMS Muzaffar Syah.

Bagi membina keserasian antara mahasiswa dan peserta, slot awal program diisi dengan aktiviti pembahagian kumpulan, sesi suai kenal (Ice Breaking) dan sorakan kumpulan (Cheers), melibatkan seramai 140 peserta.

Pengisian hari pertama diteruskan menerusi slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK) STEM 1 yang memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran berfikir secara kritis dalam kalangan pelajar.

Pada sebelah malam, peserta mengikuti aktiviti Explore Race yang dirangka secara komprehensif bagi menguji kebolehan mereka menyelesaikan tugasan secara berkumpulan melalui enam fasa utama iaitu Find Me, My Birthday, Sehati Sejiwa, You Say We Draw, STEM Mapping dan How About Me.

Aktiviti berstesen itu bukan sahaja menguji ketangkasan fizikal peserta, malah menuntut komunikasi strategik, daya kreativiti dan kerjasama berpasukan yang mantap dalam menyelesaikan setiap cabaran yang diberikan.

Hari kedua program dimulakan dengan slot Energizer bagi meningkatkan fokus dan menyuntik semangat peserta sebelum mereka mengikuti aktiviti akademik utama yang berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Dua modul utama iaitu LDK STEM 2 melalui Aktiviti Balloon Racing dan LDK STEM 3 menerusi Aktiviti Catapult menjadi tumpuan utama program apabila peserta diberi peluang berperanan sebagai jurutera muda untuk mereka bentuk serta membina model perlumbaan belon dan pelancar mekanikal menggunakan bahan yang terhad.

Aktiviti berkenaan berjaya menterjemahkan teori fizik dan mekanik kepada aplikasi praktikal secara kreatif, sekali gus membantu pelajar memahami konsep STEM dengan lebih berkesan melalui pengalaman pembelajaran secara langsung.

Sebelum program melabuhkan tirainya, satu sesi refleksi diadakan bagi memberi peluang kepada peserta dan fasilitator berkongsi pandangan, maklum balas serta impak yang diperoleh sepanjang program berlangsung.

Majlis Penutup yang diadakan selepas itu menyaksikan penyerahan cenderamata sebagai simbol jalinan ukhuwah dan kerjasama strategik antara Universiti Malaya dan SMS Muzaffar Syah, sekali gus menandakan berakhirnya siri Program Jelajah Siswa bagi sesi ini.

Kejayaan pelaksanaan program tersebut mencerminkan komitmen berterusan Sekretariat Projek Jelajah Siswa Universiti Malaya dalam memperkukuh minat komuniti luar terhadap bidang sains dan teknologi, selain menyokong usaha melahirkan modal insan yang berinovasi dan berdaya saing pada masa hadapan.