Westlife kembali ke Malaysia dalam konsert Westlife The Hits Tour 2024

KUALA LUMPUR, 19 April 2024 – Westlife, salah satu kumpulan pop paling terkenal di dunia sepanjang zaman akan kembali ke Malaysia untuk mengadakan konsert satu malam di lokasi yang terletak kira-kira 1,800 meter dari aras laut.

Westlife The Hits Tour 2024 yang akan berlangsung pada hari Ahad, 9 Jun 2024 jam 6 petang di Arena of Stars, Resorts World Genting itu pasti membuat peminat teruja.

Tiket mula dijual pada hari Jumaat, 26 April 2024 dari jam 12 tengah hari dan seterusnya.

Kembali ke arena yang sama selepas 24 tahun, Westlife sekali lagi akan mempamerkan persembahan mereka yang mempersonakan untuk peminat setia.

Persembahan daripada kumpulan yang berasal dari Ireland itu pasti akan mencatat memori indah kepada peminat-peminat Kian Egan, Nicky Byrne dan Shane Filan, manakala Mark Feehily tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.

Westlife yang ditubuhkan pada tahun 1998, berjaya melakar nama sebagai kumpulan lelaki era 2000-an yang menjadi perhatian di seluruh dunia dengan lagu-lagu hits dan persembahan yang memukau.

Antara lagu dendangan Westlife yang menjadi siulan ramai dan masih diminati hingga kini seperti “Uptown Girl”, “My Love”, “Swear It Again“, “Flying Without Wings”, “World of Our Own” dan “Hello My Love”.

Westlife berjaya menjual lebih 55 juta unit album, memperoleh 36 album No. 1, mengumpul lebih daripada 3 bilion aliran global, melepasi 1 bilion tontonan YouTube dan menjual lebih 5.5 juta tiket konsert di seluruh dunia.

Mereka telah menerima pelbagai anugerah termasuk satu World Music Award, dua Brit Awards, empat MTV Awards dan empat Record of the Year Awards.

Tiket ke Westlife The Hits Tour 2024 berharga RM1,188 (VIP), RM988 (PS1), RM788 (PS2), RM588 (PS3) dan RM388 (PS4), tertakluk kepada yuran pemprosesan RM4. Tiket boleh dibeli atas talian menerusi MMIC Entertainment Group di mmic.bigtix.io, Resorts World Genting di rwgenting.com dan BookMyShow di my.bookmyshow.com

Westlife The Hits Tour 2024 dianjurkan oleh MMIC Entertainment Group dengan JS Concert Productions sebagai Promoter.