Adakah memansuhkan AUKU akan membebaskan universiti?

Pemansuhan AUKU tidak wajar diraikan sebagai matlamat akhir kerana ia seharusnya dilihat sebagai permulaan kepada reformasi yang lebih besar.

Feature Image (3)

PENGUMUMAN Perdana Menteri pada 15 Ogos 2026 bahawa kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) merupakan perkembangan penting dalam sejarah pendidikan tinggi Malaysia. Selepas lebih lima dekad dan beberapa siri pindaan, pengumuman ini membuka ruang untuk kita menilai semula bukan sahaja kerangka perundangan universiti, tetapi juga tujuan, watak dan masa depan institusi pendidikan tinggi negara.

Namun, pemansuhan AUKU tidak wajar diraikan sebagai matlamat akhir. Ia seharusnya dilihat sebagai permulaan kepada reformasi yang lebih besar. Persoalan utama bukan sekadar sama ada AUKU perlu dimansuhkan, tetapi apakah bentuk universiti yang mahu kita bina selepasnya.

AUKU sering dipersepsikan semata-mata sebagai undang-undang yang mengawal mahasiswa dan aktiviti politik kampus. Hakikatnya, skop AUKU jauh lebih luas. Akta ini menjadi asas kepada penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti awam, termasuk kedudukan Lembaga Gabenor Universiti, Senat, Naib Canselor, pihak berkuasa universiti, pengurusan kewangan dan hal ehwal mahasiswa.

Kementerian Pendidikan Tinggi menjelaskan bahawa Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 telah menggariskan agenda pembentukan Akta Satu Pendidikan Tinggi atau One Higher Education Act (OHEA) sebagai sebahagian daripada usaha memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi negara.

Namun, setakat ini, OHEA masih merupakan suatu agenda dan hala tuju dasar. Setakat 16 Ogos 2026, belum terdapat draf rang undang-undang, kertas konsultasi atau dokumen perundangan terperinci OHEA yang diterbitkan secara terbuka untuk penelitian umum.

Oleh itu, terlalu awal untuk menilai sama ada akta yang dicadangkan itu benar-benar akan memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan suara mahasiswa. Persoalan mengenai skop, struktur kuasa, institusi yang akan terlibat, hubungan dengan undang-undang sedia ada serta mekanisme akauntabilitinya masih belum dijelaskan.

KPT telah menyatakan bahawa proses ini akan dilaksanakan secara inklusif dengan melibatkan kepimpinan universiti, ahli akademik, IPT awam dan swasta, industri, penyedia TVET, pakar perundangan serta mahasiswa. Komitmen ini perlu diterjemahkan melalui penerbitan kertas konsep, konsultasi terbuka dan peluang yang bermakna untuk setiap cadangan diteliti serta dibahaskan.

Kita juga perlu memastikan bahawa gagasan “satu akta pendidikan tinggi” tidak akhirnya memusatkan lebih banyak kuasa pada peringkat kementerian atau mengenakan satu bentuk tadbir urus yang seragam terhadap institusi yang mempunyai mandat dan misi berbeza. Universiti penyelidikan, universiti komprehensif, universiti teknikal, institusi swasta, politeknik, kolej komuniti dan penyedia TVET tidak semestinya sesuai dikawal melalui pendekatan yang sama.

Justeru, pemansuhan AUKU perlu disusuli bukan sekadar dengan penggantian sebuah akta, tetapi dengan pembentukan kerangka perundangan baharu yang berasaskan autonomi, kebebasan akademik, kepelbagaian institusi, akauntabiliti dan kepercayaan. Jika tidak dirangka dengan berhati-hati, kita mungkin hanya menggantikan AUKU dengan sebuah instrumen kawalan yang lebih besar di bawah nama yang baharu.

Daripada kebebasan formal kepada keberanian intelektual

Perbincangan tentang AUKU sering membawa tanggapan bahawa ahli akademik di Malaysia tidak bebas. Gambaran ini perlu diperhalusi. Berdasarkan pengalaman dalam pengajaran, penyelidikan, Senat dan pentadbiran universiti, ahli akademik secara umumnya mempunyai ruang yang luas untuk menjalankan penyelidikan, menerbitkan dapatan, membentangkan hasil di dalam dan luar negara, membentuk karya ilmiah serta membangunkan kurikulum dan program akademik.

Kes sekatan atau tekanan terhadap aktiviti akademik sememangnya pernah dilaporkan dan tidak harus diketepikan. Namun, pengalaman operasi harian universiti juga menunjukkan bahawa ahli akademik secara umumnya mempunyai ruang yang luas untuk menjalankan penyelidikan, menerbitkan dapatan, membentangkan hasil dan membangunkan program akademik. Persoalannya ialah sama ada ruang itu dilindungi secara konsisten dan dimanfaatkan secara bermakna.

Kita menghasilkan semakin banyak penerbitan, memperoleh geran, meningkatkan sitasi dan memperbaiki kedudukan dalam penarafan antarabangsa. Namun, adakah peningkatan ini turut menghasilkan lebih banyak gagasan besar? Adakah ahli akademik kita semakin berpengaruh dalam pembentukan dasar negara? Adakah universiti menjadi medan perdebatan intelektual yang subur? Adakah masyarakat melihat profesor sebagai sumber pemikiran yang berautoriti dalam isu kritikal?

Di sinilah letaknya cabaran sebenar. Kita mungkin tidak berhadapan dengan krisis kebebasan akademik sepenuhnya, tetapi kita sedang berhadapan dengan krisis manifestasi dan artikulasi intelektual.

Ramai ahli akademik mempunyai kepakaran teknikal yang mendalam, tetapi tidak semuanya mampu menghubungkan dapatan penyelidikan dengan persoalan masyarakat, ekonomi, etika dan dasar awam. Ada yang mampu menghasilkan data tetapi sukar membina hujah.

Ada yang aktif menerbitkan makalah, tetapi kurang bersedia mengambil pendirian intelektual terhadap isu nasional. Ada juga yang memilih berdiam diri bukan kerana AUKU melarang mereka, tetapi kerana budaya organisasi, kebimbangan kerjaya, keselesaan profesional atau ketidakupayaan mengartikulasikan pandangan secara meyakinkan. Kebebasan akademik yang tidak dimanfaatkan akhirnya menjadi ruang kosong.

Autonomi bukan lesen tanpa akauntabiliti

Akta baharu perlu memberikan autonomi sebenar kepada universiti dalam bidang akademik, kewangan, sumber manusia, penyelidikan, pengantarabangsaan dan struktur organisasi. Namun, autonomi tidak boleh ditafsirkan sebagai kebebasan pengurusan universiti melakukan apa sahaja tanpa semak dan imbang.

Autonomi universiti dan kebebasan akademik individu bukan perkara yang sama. Universiti mungkin bebas daripada campur tangan kementerian, tetapi akademiknya masih boleh dikawal oleh kepimpinan institusi. Justeru, autonomi tidak boleh hanya memindahkan kuasa daripada kementerian kepada pengurusan universiti. Ia mesti turut memperkasakan Senat, komuniti akademik dan proses kolegial.

Kedudukan Senat sebagai pihak berkuasa akademik universiti perlu diperkukuh dan dihormati dalam amalan. Keputusan berkaitan kurikulum, standard akademik, penyelidikan, integriti ilmu dan penganugerahan kelayakan hendaklah dipimpin oleh pertimbangan akademik serta proses kolegial. Lembaga pula perlu menumpukan strategi, kewangan, risiko, integriti dan kelestarian institusi.

Pelantikan kepimpinan universiti juga perlu diperbaharui melalui jawatankuasa carian yang bebas, kriteria yang telus, pengisytiharan konflik kepentingan dan penilaian prestasi yang berintegriti. Campur tangan partisan, sama ada secara nyata atau terselindung, perlu dielakkan.

RPTM mesti menjadi instrumen perubahan

Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 berpotensi menjadi penghubung antara undang-undang baharu dengan perubahan sebenar di kampus. Akta menentukan hak dan punca kuasa, manakala RPTM seharusnya menentukan hala tuju, program, sumber, petunjuk prestasi dan garis masa pelaksanaan.

Kebebasan akademik perlu dimasukkan sebagai hasil strategik yang boleh dinilai. Setiap universiti sewajarnya mempunyai Piagam Kebebasan Akademik, prosedur aduan yang bebas dan perlindungan daripada tindakan balas terhadap pandangan ilmiah yang sah.

Malaysia sebenarnya telah mempunyai pengalaman dalam pelaksanaan Ombudsman universiti. USM menjadi pelopor dengan menubuhkan Pejabat Ombudsman pada Julai 2011 bagi menyediakan saluran penyelesaian aduan yang bebas, berkecuali dan sulit kepada staf serta mahasiswa.

Pengalaman ini boleh dijadikan asas kepada pembentukan Piawaian Ombudsman Universiti Nasional. Setiap universiti perlu mempunyai mekanisme bebas yang disesuaikan dengan struktur institusinya, berasaskan prinsip kebebasan, neutraliti, kerahsiaan, keadilan prosedur dan perlindungan daripada tindakan balas.

Pada masa yang sama, sistem KPI dan kenaikan pangkat perlu diperbaharui. Penerbitan jurnal dan geran penyelidikan kekal penting, tetapi sumbangan akademik tidak boleh diukur berdasarkan angka tersebut semata-mata. Buku ilmiah, karya pemikiran, laporan dasar, komunikasi awam, inovasi kurikulum dan penyelesaian kepada masalah masyarakat juga perlu diiktiraf.

RPTM juga perlu memperkenalkan agenda pembaharuan intelektual nasional. Akademik harus diperkasakan dalam pemikiran kritikal, komunikasi sains, penulisan dasar, debat, penghujahan merentas disiplin dan penglibatan awam. Universiti pula perlu menyediakan forum yang membolehkan pandangan berbeza diperdebatkan secara rasional dan beradab.

Budaya universiti mesti berubah daripada budaya yang terlalu menghargai persetujuan kepada budaya yang meraikan perbezaan ilmiah. Kritikan profesional tidak seharusnya dianggap sebagai ketidaksetiaan. Profesor tidak sepatutnya hanya menjadi pelaksana KPI, pengurus projek atau pengeluar penerbitan. Mereka mesti kembali memainkan peranan sebagai penjaga ilmu, suara moral dan pemimpin pemikiran masyarakat.

Peluang membina kontrak sosial baharu

Cadangan pemansuhan dan penggantian AUKU memberikan peluang kepada Malaysia untuk membentuk kontrak sosial baharu bagi pendidikan tinggi. Akta pengganti mesti menjamin tiga lapisan kebebasan secara seimbang: autonomi universiti, kebebasan akademik dan suara mahasiswa. Ketiga-tiganya perlu disertai akauntabiliti, integriti dan tanggungjawab terhadap kepentingan awam.

Kita tidak harus berpuas hati sekadar memansuhkan sebuah akta. Kita perlu membina universiti yang mempunyai keberanian untuk mempersoalkan andaian, menghasilkan ilmu baharu, mengkritik dasar secara konstruif dan menawarkan penyelesaian kepada negara.

Akhirnya, undang-undang hanya boleh menyediakan ruang. Kualiti universiti ditentukan oleh bagaimana ruang itu digunakan.

Cabaran pendidikan tinggi Malaysia bukan semata-mata untuk membebaskan universiti daripada AUKU. Cabaran yang lebih besar ialah membina universiti dan komuniti akademik yang tahu menggunakan kebebasan tersebut untuk memimpin pemikiran, memperkayakan perdebatan dan membentuk masa depan negara.

Jika reformasi ini dilaksanakan dengan keberanian, ketelusan dan kebijaksanaan, pemansuhan AUKU boleh menjadi titik perubahan penting. Jika ia sekadar menukar nama akta tanpa mengubah struktur kuasa, budaya institusi dan keupayaan intelektual, kita mungkin berakhir di tempat yang sama, cuma di bawah tajuk undang-undang yang baharu.

* Pandangan yang dikemukakan dalam artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Universiti Sains Malaysia.