UPKK bukan sekadar 9A, ia membina generasi berilmu, beradab dan berakhlak
Pencapaian 9A dalam UPKK wajar diraikan, namun kejayaan Pendidikan Islam lebih luas daripada gred. Ilmu perlu diterjemahkan melalui ibadah, akhlak dan amalan dalam kehidupan.
Oleh: RABIHAH ABD WAHAB
SETIAP tahun, menjelang September hingga November, lebih 200,000 murid Tahun Lima Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara bersiap sedia menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK). Namun, di sebalik angka dan gred, satu persoalan lebih besar perlu diajukan, adakah 9A benar-benar mengukur kejayaan Pendidikan Islam?
UPKK Proses Panjang, Bukan Peperiksaan Seminggu
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menetapkan Pentaksiran Penghayatan Cara Hidup Islam dan Amali Solat bermula 29 Jun hingga 28 September, diikuti Pentaksiran al-Quran (28 September hingga 16 Oktober) dan peperiksaan bertulis pada 2 hingga 5 November 2026. Jadual ini membuktikan UPKK bukan peperiksaan seminggu, sebaliknya satu proses panjang yang menuntut penguasaan ilmu, kefahaman dan penghayatan.
JAKIM meletakkan UPKK sebagai mekanisme pentaksiran untuk melihat sejauh mana murid KAFA menguasai dan menghayati pendidikan Islam, bukan sekadar menghafal fakta untuk dijawab di atas kertas. Di sinilah masyarakat, khususnya ibu bapa dan pendidik, perlu melihat UPKK daripada sudut yang lebih luas.
Tidak dinafikan, 9A adalah pencapaian membanggakan. Di sebaliknya ada usaha murid, kesungguhan guru dan pengorbanan ibu bapa. Ada murid yang sanggup mengulang kaji hingga malam, ada guru yang menyediakan modul dan kelas pengukuhan, dan ada ibu bapa yang menghantar anak ke kelas tambahan serta memastikan jadual pembelajaran mereka terurus.
Dalam kesibukan mengejar 9A, ada persoalan yang perlu difikirkan bersama, adakah pendidikan Islam dianggap berjaya hanya apabila anak memperoleh 9A?
Seorang murid mungkin boleh menjawab soalan rukun solat dengan tepat. Namun, kejayaan pendidikan yang lebih bermakna ialah apabila solat itu benar-benar menjadi sebahagian hidupnya. Seorang murid mungkin boleh menerangkan maksud amanah, sabar, hormat dan ihsan dalam kertas Adab tetapi pendidikan itu hanya benar-benar hidup apabila sifat-sifat tersebut terlihat dalam cara dia berbicara dengan ibu bapa, menghormati guru dan bergaul dengan rakan.
Tegasnya, pencapaian 9A wajar diraikan, tetapi ia tidak seharusnya menjadi satu-satunya ukuran kejayaan Pendidikan Islam.
Selepas Tahun Enam, kanak-kanak melangkah ke dunia yang lebih luas. Di sekolah menengah, mereka berdepan kelompok rakan lebih pelbagai, persekitaran pembelajaran berbeza dan cabaran hidup lebih kompleks. Pada masa sama, mereka semakin terdedah kepada media sosial dan dunia digital, pengaruh yang tidak semuanya boleh dikawal ibu bapa.
Di sinilah asas pendidikan agama yang dibina sejak kecil menjadi sangat penting. Akidah bukan lagi sekadar tajuk dalam buku teks, tetapi pegangan ketika anak mula berdepan persoalan identiti dan nilai hidup. Ibadah bukan sekadar hafalan untuk menjawab soalan peperiksaan, solat, misalnya, sepatutnya menjadi disiplin yang terus dipelihara apabila anak meningkat usia.
Sirah bukan sekadar tarikh dan peristiwa; kisah perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat seharusnya membina ketahanan diri, kesabaran dan keberanian membuat keputusan yang betul. Begitu juga dengan Adab, dalam dunia hari ini, adab tidak hanya terpakai di hadapan guru atau ibu bapa, tetapi turut diperlukan ketika menggunakan telefon pintar, meninggalkan komen di media sosial, berkongsi gambar dan berkomunikasi dalam ruang digital.
Maka, apabila seorang anak meninggalkan bangku sekolah rendah, kita sebenarnya berharap dia membawa lebih daripada sekeping sijil UPKK. Kita mahu dia membawa satu asas yang boleh menjadi panduan apabila memasuki alam remaja.
Daripada Tahu kepada Mahu Mengamalkan
Antara cabaran terbesar dalam Pendidikan Islam ialah bagaimana membawa murid daripada sekadar tahu kepada mahu melakukan. Murid mungkin tahu solat lima waktu itu wajib. Mereka mungkin boleh menyebut syarat sah solat dan perkara yang membatalkannya. Namun, mengetahui hukum tidak semestinya bermaksud seseorang akan terus istiqamah melaksanakannya.
Begitu juga dalam Akidah. Murid boleh menghafal sifat-sifat wajib bagi Allah SWT, tetapi pendidikan yang lebih mendalam seharusnya membantu mereka memahami bahawa Allah mengetahui setiap perbuatan manusia. Kefahaman seperti itulah yang akhirnya membentuk rasa tanggungjawab dalam diri.
Atas sebab itu, komponen seperti Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam dalam UPKK mempunyai makna besar. Ia membawa mesej bahawa pendidikan agama tidak boleh berhenti pada aspek kognitif semata-mata. Ilmu perlu sampai kepada amalan.
Jika seorang murid mendapat A dalam Ibadah tetapi selepas peperiksaan semakin meninggalkan solat, ada ruang yang masih perlu diperbaiki. Sebaliknya, jika ilmu yang dipelajari menjadikan anak semakin menjaga solat, menghormati ibu bapa, mencintai al-Quran dan lebih berhati-hati dalam tingkah laku, di situlah kita melihat kesan sebenar Pendidikan Islam. Inilah peralihan yang perlu diberi perhatian; daripada hafalan kepada kefahaman, daripada kefahaman kepada penghayatan, dan akhirnya daripada penghayatan kepada amalan.
Keinginan ibu bapa melihat anak memperoleh keputusan terbaik sangat difahami. Guru juga mahu melihat murid yang dididik sekian lama berdiri dengan keputusan membanggakan. Mengejar kecemerlangan bukanlah sesuatu yang salah. Yang perlu dielakkan ialah apabila gred dan bilangan A menjadi satu-satunya ukuran sehingga anak merasakan dirinya hanya bernilai apabila mendapat keputusan tinggi.
Ada waktunya anak memerlukan latihan tambahan. Ada waktunya mereka perlu ditegur supaya lebih bersungguh-sungguh. Namun, dalam proses itu, mereka juga memerlukan keyakinan bahawa usaha mereka dihargai. Seorang anak yang mendapat sembilan A perlu diraikan. Tetapi anak yang tidak mendapat sembilan A juga tidak boleh dianggap gagal dalam seluruh perjalanan pendidikannya.
Barangkali dia belum menguasai semua mata pelajaran dengan cemerlang, tetapi dia semakin menjaga solat. Barangkali markah Bahasa Arabnya belum tinggi, tetapi bacaan al-Qurannya bertambah baik. Barangkali keputusan peperiksaannya sederhana, tetapi dia lebih sopan terhadap guru dan lebih bertanggungjawab di rumah. Bukankah semua itu juga sebahagian daripada hasil pendidikan?
Dalam musim UPKK, guru sering dilihat sebagai individu yang menyediakan murid untuk peperiksaan, menyediakan latihan, membincangkan soalan, memberi teknik menjawab dan memastikan sukatan pelajaran dikuasai. Namun, tugas seorang guru KAFA sebenarnya jauh lebih besar. Mereka sedang membantu membina asas agama seorang kanak-kanak sebelum mereka memasuki zaman remaja.
Kadangkala seorang murid mungkin terlupa jawapan yang pernah ditulis dalam kertas peperiksaan, tetapi nasihat seorang guru boleh kekal dalam ingatan bertahun-tahun. Murid mungkin lupa soalan yang pernah keluar dalam UPKK, tetapi mereka boleh terus mengingati bagaimana seorang guru mengingatkan tentang solat, amanah, dosa, pahala dan kepentingan menghormati ibu bapa. Di situlah nilai seorang pendidik, bukan semata-mata menghasilkan calon 9A, tetapi membantu membentuk manusia.
Ibu Bapa dan Guru: Ubah Cara Kita Menilai Kejayaan
Selepas keputusan UPKK diumumkan nanti, soalan pertama yang biasa ditanya mungkin, “Berapa A dapat?” Soalan itu tidak salah. Namun, mungkin kita boleh menambah beberapa soalan lain,
“Solat dah makin terjaga?”
“Bacaan al-Quran makin baik?”
“Sudah boleh mengaji sendiri?”
“Adakah semakin menghormati guru?”
“Adakah apa yang belajar di KAFA menjadikan diri lebih baik?”
Soalan-soalan seperti ini mungkin kedengaran mudah, tetapi ia mencerminkan cara kita memahami tujuan pendidikan agama. Islam tidak pernah memisahkan antara ilmu, amal dan akhlak. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 13 bahawa manusia yang paling mulia di sisi-Nya ialah mereka yang paling bertakwa.
Ayat ini mengingatkan bahawa ukuran seseorang bukan hanya apa yang kelihatan pada pencapaian luaran, tetapi apa yang terbentuk di dalam dirinya dan diterjemahkan melalui amal. Sebab itulah apabila musim UPKK tiba, kita perlu melihat peperiksaan ini dalam perspektif lebih luas.
Ya, kita mahu anak-anak mendapat 9A. Kita mahu mereka menguasai Akidah, Ibadah, Sirah, Adab, al-Quran, Bahasa Arab, Jawi dan Khat dengan baik. Kita mahu mereka mampu menjawab soalan dengan tepat dan memperoleh keputusan membanggakan. Namun, harapan kita tidak sepatutnya berakhir di situ.
Kita mahu ilmu Akidah menjadi pegangan ketika mereka diuji. Kita mahu ilmu Ibadah terus diamalkan apabila mereka meningkat remaja. Kita mahu Sirah mengajar mereka tentang ketabahan dan kepimpinan. Kita mahu Adab menjadi benteng ketika berkomunikasi secara bersemuka mahupun dalam dunia digital. Dan kita mahu al-Quran terus dibaca walaupun peperiksaan telah lama selesai.
9A ialah Pencapaian, Kejayaan Sebenar Lebih Besar
Sembilan A ialah sebuah pencapaian tetapi melahirkan generasi yang berilmu, beradab, berakhlak dan mengamalkan agamanya ialah sebuah kejayaan.
UPKK akhirnya bukan hanya tentang apa yang mampu dijawab seorang murid selama satu jam lebih di dalam dewan peperiksaan. Soalan lebih besar ialah apa yang masih tinggal dalam dirinya apabila peperiksaan itu selesai.
Apabila ilmu itu terus hidup dalam solatnya, tutur katanya, hubungannya dengan ibu bapa, adabnya terhadap guru serta cara dia membawa diri dalam masyarakat, pada ketika itulah pendidikan telah mencapai maknanya yang lebih mendalam.
Mungkin suatu hari nanti anak-anak kita tidak lagi mengingati berapa markah yang mereka peroleh dalam setiap kertas UPKK. Tetapi kita berharap satu perkara tidak pernah hilang: nilai agama yang pernah kita tanam dalam diri mereka.
Barangkali, itulah sebenarnya “9A” yang paling bernilai dalam kehidupan seorang anak.
* Penulis ialah pelajar Program Sarjana Pengajian Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Kampus Kuala Lumpur

