Integriti Buya Hamka: Warisan kejujuran merentas zaman
Kehebatan Buya Hamka mula menyerlah sejak usia muda apabila beliau aktif menulis pelbagai karya berbentuk novel, esei, artikel, rencana dan buku agama.

APABILA berbicara tentang tokoh Islam di Nusantara, nama Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Buya Hamka pasti berada dalam senarai teratas. Beliau bukan sekadar seorang ulama, malah seorang sasterawan, ahli tafsir al-Quran, sejarawan, ahli politik dan pemimpin masyarakat yang meninggalkan legasi besar kepada dunia Islam.
Namun, di sebalik ketokohan itu, terdapat satu nilai yang menjadi tunjang seluruh perjalanan hidup beliau iaitu nilai integriti.
Gelaran “Buya”, yang berasal daripada perkataan Arab Abi atau Abuya bermaksud ayah atau seseorang yang amat dihormati, bukan sekadar panggilan mesra masyarakat. Gelaran itu melambangkan penghormatan terhadap keperibadian, ilmu dan akhlak beliau. Jika ditelusuri perjalanan hidupnya, jelas bahawa setiap peranan yang digalas oleh Buya Hamka dilaksanakan dengan penuh amanah, keikhlasan dan prinsip yang teguh.
Integriti yang terserlah melalui pena
Kehebatan Buya Hamka mula menyerlah sejak usia muda apabila beliau aktif menulis pelbagai karya berbentuk novel, esei, artikel, rencana dan buku agama. Lebih mengagumkan, beliau mengekalkan disiplin yang luar biasa dalam bidang penulisan. Menurut Iman Baehaqi (2012), secara puratanya Buya Hamka mampu menghasilkan sehingga sepuluh halaman penulisan setiap hari.
Konsistensi ini bukan sekadar menunjukkan bakat, tetapi mencerminkan disiplin, komitmen dan tanggungjawab beliau terhadap penyebaran ilmu. Dalam dunia hari ini yang sering menilai kejayaan berdasarkan populariti segera, Buya Hamka membuktikan bahawa kecemerlangan sebenar lahir daripada usaha yang berterusan dan istiqamah.
Lebih istimewa, setiap karya beliau tidak sekadar menghiburkan, bahkan sarat dengan nilai pendidikan, nasihat dan pembinaan akhlak. Penulisannya sentiasa mengajak pembaca kembali kepada nilai Islam yang syumul, membina keperibadian mulia serta mengimbangi tuntutan kehidupan dunia dan akhirat.
Antara karya yang memperlihatkan pemikiran beliau ialah Lembaga Budi, yang menghuraikan kepentingan pembentukan akhlak berdasarkan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Bagi Buya Hamka, perubahan masyarakat bermula daripada perubahan diri, dan perubahan itu hanya akan berlaku apabila seseorang memperkukuhkan akhlak serta hubungan dengan Allah SWT.
Berani mempertahankan prinsip
Salah satu karya agung beliau, Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, pernah menerima kritikan hebat kerana mengangkat kisah cinta remaja, sesuatu yang dianggap tidak sesuai dengan imej seorang ulama pada ketika itu.
Namun, Buya Hamka tidak pernah mengorbankan prinsip demi memenuhi kehendak masyarakat. Sebaliknya, beliau menggunakan karya tersebut sebagai medium menyampaikan kritikan sosial terhadap budaya masyarakat Minangkabau yang terlalu mengagungkan keturunan dan darjat sehingga memisahkan dua insan yang saling mencintai.
Keberanian beliau menegur kelemahan masyarakat melalui karya sastera membuktikan bahawa integriti bukan sekadar berkata benar ketika mudah, tetapi juga berani mempertahankan kebenaran walaupun berdepan kritikan.
Ketelitian seorang mufassir
Integriti Buya Hamka turut terserlah dalam bidang tafsir al-Quran melalui penghasilan Tafsir al-Azhar, antara karya tafsir paling berpengaruh di Nusantara. Usaha menghasilkan tafsir ini bermula secara tidak formal melalui kuliah Subuh di Masjid Al-Azhar, Jakarta, sejak penghujung tahun 1958 sebelum disiarkan dalam majalah Panji Masyarakat. Ironinya, karya agung tersebut disempurnakan ketika beliau dipenjarakan antara tahun 1964 hingga 1966.
Keadaan yang penuh ujian tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berkhidmat kepada umat. Sebaliknya, saat dipenjarakan dimanfaatkan bagi menyiapkan sebuah karya yang sehingga hari ini menjadi rujukan umat Islam. Hakikatnya, bukan semua orang layak mentafsirkan al-Quran. Seorang mufassir perlu memenuhi syarat-syarat yang ketat sebagaimana dihuraikan oleh Muhammad Husain al-Dzahabi dalam al-Tafsir wa al-Mufassirun. Antara syarat tersebut ialah niat yang ikhlas, akhlak yang mulia, keluasan ilmu, tawaduk, ketegasan dalam menyampaikan kebenaran serta pegangan akidah yang sahih.
Melalui keperibadian dan keilmuan yang dimiliki, Buya Hamka berjaya memenuhi syarat-syarat tersebut sehingga menghasilkan sebuah tafsir yang terus menjadi rujukan umat Islam merentasi generasi.
Amanah dalam kepimpinan
Selain dikenali sebagai ilmuwan, Buya Hamka juga memainkan peranan penting dalam kepimpinan apabila dilantik sebagai Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI). Bagi beliau, jawatan bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya merupakan amanah besar yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Justeru, setiap keputusan yang dibuat perlu berpaksikan kepada kebenaran, bukan kepentingan peribadi atau tekanan pihak tertentu.
Buya Hamka pernah mengungkapkan sebuah perumpamaan yang begitu mendalam:
“Ulama ibarat kuih bika; dari bawah dipanggang api, dari atas pun dipanggang api. Itulah kuih bika. Dari bawah oleh umat dan dari atas oleh pemerintah.”
Ungkapan ini menggambarkan bahawa seorang pemimpin sentiasa berada dalam tekanan daripada pelbagai pihak. Namun, seorang pemimpin yang berintegriti tetap teguh mempertahankan prinsip walaupun berdepan cabaran yang sukar.
Menurut beliau, terdapat empat sifat utama yang mesti dimiliki oleh setiap pemimpin, iaitu amanah (jujur), berani, bijaksana dan bertimbang rasa. Keempat-empat nilai ini kekal relevan sehingga hari ini dalam melahirkan kepimpinan yang adil, berwibawa dan diyakini masyarakat.
Penyatuan bangsa melalui bahasa dan budaya
Walaupun berasal dari Indonesia, Buya Hamka mempunyai hubungan yang sangat erat dengan Malaysia. Beliau sentiasa memperjuangkan penyatuan bangsa serumpun melalui bahasa, tulisan, sastera dan persaudaraan Islam.
Bagi beliau, persamaan budaya dan bahasa bukan sekadar warisan sejarah, tetapi jambatan yang mampu mengukuhkan hubungan dua negara. Pemikiran beliau inilah yang menjadikan Buya Hamka dihormati bukan sahaja di Indonesia, malah turut disanjung di Malaysia.
Legasi integriti yang tidak pernah pudar
Lebih empat dekad selepas pemergiannya, pemikiran dan karya Buya Hamka masih terus hidup. Mutiara kata beliau sentiasa dikongsi, kitab tafsirnya terus menjadi rujukan, manakala novel-novelnya masih dibaca oleh generasi baharu.
Kehebatan Buya Hamka bukan hanya terletak pada keluasan ilmunya, tetapi pada keupayaannya menyatukan ilmu, akhlak dan tindakan dalam satu peribadi yang utuh. Beliau membuktikan bahawa integriti bukan sekadar slogan atau teori, tetapi nilai yang perlu diterjemahkan dalam setiap tindakan, penulisan dan kepimpinan.
Dalam dunia yang semakin mencabar dengan pelbagai isu berkaitan etika dan amanah, kisah hidup Buya Hamka menjadi cerminan bahawa seseorang boleh mencapai kejayaan tanpa menggadaikan prinsip. Integriti yang dipamerkan melalui ketekunan menuntut ilmu, keberanian mempertahankan kebenaran, keikhlasan menyampaikan dakwah dan amanah dalam kepimpinan merupakan warisan yang wajar dicontohi.
Sesungguhnya, Buya Hamka bukan sekadar tokoh besar Nusantara, bahkan ikon integriti yang meninggalkan teladan sepanjang zaman. Legasi beliau mengingatkan kita bahawa manusia akan dikenang bukan kerana jawatan atau kemasyhuran semata-mata, tetapi kerana nilai dan prinsip yang terus hidup dalam setiap karya serta amal baktinya kepada masyarakat.

