HULU LANGAT, 22 April 2023 – Seorang pendaki lelaki ditemui maut selepas kira-kira 17 jam dilaporkan hilang apabila terjatuh ke dalam sungai di Kem Lolo, Gunung Nuang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mayat lelaki berusia 36 tahun itu dijumpai jam 1 tengah hari tadi, kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
Terdahulu, Ahmad Mukhlis dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.11 malam.
Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terpaksa dihentikan sementara, malam tadi sebelum disambung semula pada jam 10.15 pagi tadi.
Beliau dipetik berkata, operasi SAR hari kedua bermula dari Kem Lolo hingga ke kawasan perkhemahan 1, dengan mengikut aliran air sungai.
Katanya, pencarian juga dilakukan dari empangan lama, dengan mengikut aliran sungai hingga ke kawasan perkhemahan 1.
Selain itu, operasi sama turut dijalankan hingga ke Air Terjun Bomoh Ali, dengan jarak keseluruhan pencarian meliputi tujuh kilometer. – Berita Harian